Antara UMNO atau Bersatu, Pas pilih yang kurang mudarat jika terpaksa – Murshidul AM

ARAU : Pas akan mengutamakan parti yang kurang mudarat terhadap agenda penyatuan ummah sekiranya terpaksa memilih antara UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bekerjasama dalam politik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, penilaian Pas juga berdasarkan kerjasama yang tidak mengundang bahaya kepada parti itu dan lebih ringan mudaratnya jika bersama.

Dalam suasana politik ketika ini katanya, parti-parti Melayu Islam perlu bersatu bukannya mengutamakan perkara remeh sehingga boleh meruntuhkan penyatuan mereka.

“Pas tidak ada pelan A, B atau C. Dalam suasana politik sekarang memerlukan penyatuan ummah dan kalau terpaksa memilih antara UMNO dan Bersatu demi merealisasikan agenda penyatuan ini, kita akan pilih,” katanya.

Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berakhir kelmarin sebulat suara memberikan mandat kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk menentukan tempoh kepada UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sekiranya PN tidak membubarkan Parlimen sebelum atau selepas tempoh darurat 1 Ogos ini, UMNO akan menarik diri daripada menyokong kerajaan sedia ada.

Sudah terang tak perlu suluh, MN tinggal Umno, BN saja

Sementara itu, Hashim berkata, beliau mengikuti ucapan pucuk pimpinan UMNO yang dilihat tegas menolak kerjasama dengan Bersatu sekali gus menyebabkan harapan Pas untuk melihat ketiga-tiga parti bersatu menjadi sukar.

Bagaimanapun katanya, Pas masih tidak putus harapan bagi menyatupadukan kedua-dua parti itu seterusnya mengelakkan pertembungan tiga penjuru di dalam PRU-15 yang bakal merugikan semua pihak.

Ditanya mengenai Barisan Nasional (BN) yang sedia bergerak solo jika Pas memilih PN, Hashim berkata, masih terlalu awal mengambil keputusan itu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, orang Melayu melihat perlunya umat Islam bersatu dan gambaran penyatuan itu terletak kepada parti politik.

“Oleh kerana itu, Pas akan terus menggerakkan usaha supaya ketiga-tiga parti duduk bersama.

“Pas masih sebahagian komponen PN, kita ada perbincangan bersama Bersatu dan perbincangan bersama UMNO dalam Muafakat Nasional, maka ruang itu masih ada, Insya-Allah,” ujarnya.

Beliau berkata, semua pihak tahu implikasi daripada pentadbiran kerajaan Perikatan Harapan (PH) yang memerintah selama 22 bulan sebelum ini, sebab itu ketiga-tiga parti mendukung untuk membawa perubahan.

“Bagi Pas, gabungan ketiga-tiga parti adalah kehendak rakyat bukannya kehendak parti. Ahli parti sikit sahaja, katakanlah ahli UMNO tiga juta, Pas dua juta, jumlahnya baharu lima juta daripada 33 juta rakyat Malaysia.

“Sebab itu keputusan politik ini bukan hanya dilihat pada keputusan ahli parti, tetapi, kepada keperluan kehendak umum rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Senator Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, Pemuda Pas komited untuk berunding demi agenda perpaduan ummah dalam kalangan anak muda.

Menurut beliau, pihaknya berharap keputusan UMNO tidak akan menjejaskan Muafakat Nasional meskipun parti itu telah meluluskan usul untuk menarik sokongan kepada kerajaan PN.

 

Jika PAS berjiwa besar untuk terima Amanah, UMNO akan cuba terima Bersatu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker