Dr. Khairuddin bidas Haji Hadi, tuduh orang Islam lain munafik adalah dosa besar

Saya membaca dengan teliti tulisan Tuan Guru Presiden PAS bertajuk “Cara Golongan Munafiq Menentang Islam diikuti Israel dan Pakatan Harapan” yang disiarkan di Harakahdaily pada 6 Disember 2023.

Keseluruhan tulisan membawa kepada kesimpulan bahawa beliau cuba membandingkan pendekatan munafik zaman nabi dan Zionis yang membunuh umat Islam Palestin dengan pendekatan PH yang menjadi sebahagian kerajaan perpaduan supaya dibuat kesimpulan akhir oleh pembaca bahawa kerajaan perpaduan adalah munafik dan Zionis.

Ulasan awal saya ialah tonggak kerajaan perpaduan adalah muslim yang mengucap syahadah yang sayangkan Allah dan Rasul-Nya di kalangan pimpinan Umno, PKR dan Amanah sama seperti pimpinan dan ahli PAS mengucap syahadah.

Amat tidak wajar dan tidak berakhlak menuduh orang Islam lain sebagai munafik kerana berbeza parti politik dan berbeza dalam kerjasama politik.

Dalilnya ialah Hadis Bukhari dan Muslim bahawa seorang sahabat bertanya; “Di manakah Malik bin Dukhsyun?” Lalu jawab sebahagian sahabat: “Dia seorang munafik yang tidak sayangkan Allah dan Rasul-Nya”.

Lalu nabi (saw) segera menegur mereka:

“Jangan kamu berkata kepadanya begitu. Tidakkah kamu lihat sememangnya dia menyebut Laailaaha illallah – Tiada Tuhan yang diberikan perhambaan diri melainkan Allah – dia mahukan dengan ucapan itu redha Allah”

Jawab sebahagian: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Tetapi kami melihat wajahnya dan nasihatnya pada orang-orang munafikin sahaja.

Dalam satu riwayat; “tetapi kami tidak melihat kasih sayang dan bicaranya melainkan kepada orang-orang munafikin sahaja”.

Tegas Nabi (saw) lagi:

“Maka sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas neraka (dimasuki) sesiapa yang menyebut Laailaaha illallah dalam keadaan mencari dengannya redha Allah”.

Pengarang kitab Mirqah al-Mafatih (meninggal 1014 H) menjelaskan: “Apabila seseorang menuduh seorang muslim selain daripada zina lalu dia menyebut wahai fasik atau wahai kafir atau wahai si keji atau wahai pencuri dan seumpamanya; wahai pencompet, wahai si jahat, wahai zindiq, wahai si buruk, wahai munafik, wahai Yahudi, dia hendaklah dihukum takzir. Demikianlah secara umumnya dalam fatwa Qadhi Khan. Ia juga disebut oleh al-Natiqi dan beliau mengaitkannya apabila dikatakan begitu kepada orang yang baik”

Gelar-menggelar sesama Muslim dengan gelaran munafik dan fasik jelas merupakan dosa besar sebagaimana disebut oleh Ibnu Hajar al-Haitami (909-974 H) dalam al-Zawajir ‘an iqtiraf al-Kaba’ir. Allah berfirman

“Dan janganlah kamu gelar-menggelar dengan gelaran (buruk)” (Surah al-Hujurat : 11)

Menurut tokoh tafsir di kalangan Tabi’in, Ikrimah (hidup 25-105 H), ayat ini merujuk kepada ucapan seseorang kepada seorang yang lain wahai fasik, wahai munafik.

Begitu juga kata Qatadah (hidup 21-104 H): janganlah kamu berkata kepada saudaramu yang Muslim; orang itu fasik, orang itu munafik.

Saya menyarankan presiden PAS kembali merujuk buku Tafsir Surah al-Hujurat yang beliau hasilkan dan menjadi sukatan usrah PAS.

Tuan Guru Presiden PAS menerusi tulisan beliau cuba mencipta persepsi bahawa Kerajaan Perpaduan mengikut telunjuk munafik dan Zionis dalam pentadbirannya.

Ulasan saya; mencipta persepsi adalah perangai munafik zaman nabi yang mencipta persepi terhadap Aisyah (r.ah), isteri Nabi (SAW) kononnya berzina hingga ada umat Islam terpengaruh lalu menuduh secara terbuka Aisyah berzina sehingga turun beberapa ayat dalam surah al-Nuur. Adakah persepsi-persepsi yang cuba dibina oleh presiden PAS terhadap kerajaan kerpaduan meniru perlakuan munafik zaman Nabi?

Beliau menulis: “Pendekatan pemerintahan mereka sama seperti pendekatan golongan munafiq pada zaman Rasulullah SAW terhadap mereka yang beriman supaya menyekat peruntukan kepada pihak lawan.”

Jika itu perbandingannya maka sifat munafik juga terpalit pada PAS yang turut tidak memberikan peruntukan kepada wakil rakyat Umno di Terengganu pada 2018. Kemudian pada era Muafakat Nasional diberi sedikit dengan amaun yang jauh tak sama dengan wakil rakyat PAS kerana peruntukan dibahagikan dengan sepuluh orang Penyelaras DUN daripada pimpinan PAS di sepuluh DUN yang dimenangi oleh Umno.

Tuan Guru Presiden PAS menulis: “Maka, konsep yang diguna pakai oleh Pakatan Harapan (PH) menepati demokrasi yang diamalkan oleh Israel terhadap Kerajaan Hamas di Palestin yang memenangi pilihan raya dan mencapai majoriti yang mencukupi. Namun, PLO sebagai kumpulan minoriti yang tunduk menjadi boneka Zionis Israel dan Amerika Syarikat pula yang menubuhkan kerajaan dengan mengikuti telunjuk mereka”.

Beliau membandingkan Zionis yang menolak kemenangan Hamas di Gaza dan kononnya mengiktiraf PLO menubuhkan kerajaan yang mengikut telunjuk Zionis sepertimana kerajaan perpaduan yang merupakan kerajaan minoriti tetapi menjadi kerajaan?

Siapa minoriti sebenarnya?

Saya tak nak mengulas isu Hamas dan PLO meskipun ada fakta beliau yang mengelirukan tetapi tidak adakah kalangan pimpinan PAS yang boleh menyedarkan Presiden PAS bahawa PN hanya mempunyai 74 kerusi sahaja berbanding PH 82 kerusi? Siapa yang minoriti sebenarnya?

Presiden PAS sudah lupa barangkali, pasca PRU ke 15 tiada parti mendapat majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan. Oleh kerana itu YDP Agong menitahkan ditubuhkan kerajaan perpaduan yang ditolak mentah-mentah oleh PN. Dan sehingga sekarang PN berterusan mencipta persepsi akan mengambil alih kerajaan persekutuan bagi mewujudkan ketidakstabilan politik dan menghiburkan pimpinan, penyokong dan pendokong PN.

Presiden PAS menulis: “Golongan munafiq mengejek dengan lisan, tulisan, lukisan (karikatur), dan sebagainya kerana melakukan penghinaan terhadap mereka yang berjuang menegakkan Islam sebagai pengemis yang hina meminta sedekah.”

Jika itu perbandingannya maka sifat munafik itu juga turut terpalit pada pimpinan dan penyokong PAS yang berterusan mengejek dengan lisan, tulisan dan lukisan apa sahaja melibatkan DS Anwar Ibrahim, DS Zahid Hamidi dan pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Adakah PAS beserta semua kepimpinan dan pendukung adalah munafik menurut analogi dan perbandingan yang dibuat oleh presiden PAS?

Kesimpulan

Saya mencadangkan agar tuan guru usahlah menjadikan tuduhan-tuduhan seperti munafik, musuh Allah, Zionis dan seumpamanya sebagai modal politik menghentam pihak yang berbeza pendirian politik.

Berpolitiklah secara damai dan berakhlak sebagaimana budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) yang telah diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 2016.

Kepada pimpinan 17 orang ulamak dalam Majlis Syura Ulamak PAS (MSU) silalah menegur presiden parti kerana MSU diwujudkan bagi menjadi pengimbang kepada kuasa presiden dan mewujudkan kepimpinan jamaei oleh para ulamak bukan kepimpinan “fardi” individu seorang yang digelar ulamak.

Sangat malang jika MSU gagal berfungsi menjalankan peranannya menegur presiden sepertimana sejarah pahit dua tahun lalu ketika presiden dengan sewenangnya menolak kertas kerja yang telah diluluskan oleh Muzakarah MSU pada 29 Disember 2021.

Ketika itu saya memegang amanah sebagai Setiausaha MSU sebelum digugurkan oleh presiden sebagai AJK PAS Pusat 2 minggu kemudiannya pada 12 Januari 2022 dan percubaan presiden PAS memecat saya secara tidak sah dan di luar bidang kuasanya mengikut perlembagaan PAS sebagai ahli dan Setiausaha MSU sebulan selepas itu pada 9 Februari 2022.


DR KHAIRUDDIN AMAN RAZALI ialah setiausaha eksekutif Majlis Ulama Umno.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Bila-bila masa bom jangka boleh meletup

Padu teguran David Teo kepada BCL

Kim Jong-un menangis rayu kaum wanita lahirkan anak

Minta maaf atau disaman, Syura Badron dah tak tahan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker