Proses IVF isteri Achey tak berjaya

Proses IVF isteri Achey tak berjaya

“Sejujurnya, sebelum keputusan dikeluarkan, dalam hati saya kuat mengatakan bahawa, akan ada zuriat dari rahim isteri saya sendiri. Perasaan itu juga Allah yang turunkan dan saya tak dapat menipu perasaan dan harapan itu,”.

Demikian kata pelawak, penyanyi dan pelakon, Achey Bocey berhubung keputusan negatif proses persenyawaan in-vitro (IVF) dilakukan isterinya, Nor Hasanah Yahaya seperti mana yang dikongsikan di Instagram, semalam.



Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah berkata, dia dan isteri bagaimanapun tetap redha dengan keputusan itu, namun, tidak akan pernah berputus asa untuk terus berusaha mendapatkan zuriat.

“Walaupun sudah membuang tiub fallopiannya akibat tersumbat dan bengkak pada Ogos lalu, doktor beritahu kami mengenai fakta dari perspektif sains dan juga kuasa Allah SWT.

“Menurutnya, kalau mengikut fahaman doktor, sekiranya menerusi persenyawaan biasa, memang tak boleh mengandung. Tapi, kita tak tahu kuasa Allah.

“Doktor kemudiannya mencadangkan untuk kami cuba melakukan proses IVF,” katanya kepada Harian Metro.



Menurut Achey, dia dan isteri berulang alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur selepas bernekad untuk meneruskan dengan proses IVF itu.

“Saya tak berapa ingat dengan jelas, tapi lebih kurang bulan Oktober, proses IVF pun bermula. Memang kami berulang alik lebih kurang 30 hingga 40 kali dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur sebab mahukan yang terbaik.

“Selepas proses IVF berlangsung dan semua pemeriksaan dijalankan, maka, semalam, tibalah masanya untuk kami menerima keputusan IVF itu. Saya dengan isteri memang dah bersiap sedia dan akan redha saja dengan apa juga keputusan,” katanya.

Menurutnya, walaupun isterinya beremosi ketika keputusan diumumkan, dia tahu, Hasanah adalah wanita yang sangat cekal.



“Sebelum berikan keputusan, doktor pun sudah maklumkan bahawa dia menjalankan tiga ujian iaitu ujian imbasan, air kencing dan juga darah. Menurutnya, ada pesakit yang keputusannya positif (berjaya) dan ada yang sebaliknya.

“Apabila diberikan keputusan, saya nampak ada satu garis, ertinya negatif. Saya masih okay lagi pada ketika itu, cuma isteri saya mungkin tak dapat mengawal emosinya. Tapi, saya tahu, dia adalah wanita yang kuat,” katanya.

Ditanya sama ada Achey dan Hasanah akan mengulangi proses IVF di masa akan datang, Achey berkongsi luahan rasa isterinya yang ingin terus berusaha.

“Untuk ulangi proses IVF itu memang saya mahu, cuma, saya kasihankan isteri saya. Benda ini sakit. Bila dia beritahu doktor bahawa dia akan cuba lagi, saya tahu, dia memang nekad untuk mencuba lagi.



“Dia pun tak boleh melakukan proses IVF secara mengejut kerana perlukan sedikit masa untuk fokus.

“Ramai rakan-rakan yang pernah melalui proses IVF menghubungi isteri dan berkongsi pengalaman mereka. Ada yang melakukan hingga tiga ke empat kali.

“Kami dah lakukan yang terbaik. Dari sudut pandang saya, kami dah jalankan 90 peratus seperti apa yang diperlukan. Isteri saya juga faham dan berkali-kali berterima kasih kepada saya dan memohon maaf,” katanya.

Selain Achey dan Hasanah, anak angkat mereka, Nur Tiara Zinnirah Nasir juga turut menunjukkan kesedihannya.



“Tiada pun nampak seperti tak ada ‘mood’ dan kecewa. Walaupun baru berusia empat tahun, saya tahu, dia mula faham situasi yang berlaku dan nampak kesedihannya apabila dimaklumkan bahawa tak ada bayi dalam perut ibu.

“Dia sampai tak nak makan sebab dalam mindanya, dia dah tahu akan dapat adik. Apa pun, saya berharap agar semua pihak dapat mendoakan kami agar dikurniakan kesihatan dan rezeki cahaya mata. Amin,” katanya.

Di Instagram, Hasanah berkongsi luahan rasa kepada Tiara dan Achey dan tidak akan pernah berputus asa untuk berusaha.

“Kita usaha, Allah menentukan. Mungkin belum ada rezeki untuk kita. Kakak (Tiara) sabar ya. Insya-Allah, ada rezekinya nanti. Kalau kakak sedih, mama dengan ayah 10 kali lagi sedih. Mama sayang awak dan ayah awak.



“Terima kasih selama ini menjadi tulang belakang saya. Banyak bagi kekuatan kepada saya, jaga anak, jaga saya, bahagikan masa awak dan kerja. Kami berterima kasih banyak-banyak.

“Jaga saya waktu sakit. Saya hargai sangat-sangat. Maafkan saya, belum ada rezeki untuk saya bagi awak zuriat. Insya-Allah, saya akan usaha sehingga hujung nyawa. Saya sayang awak,” tulisnya. HM

Proses IVF isteri Achey tak berjaya


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tanah runtuh: ‘Saya masih ‘shaking’

Tanah runtuh: ‘Bunyi seperti letupan kuat, bumi bergerak pantas’

Muat Turun Kalender 2023, Cuti Sekolah & Cuti Umum Malaysia [Percuma]

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker