Bolehkah ‘gelombang hijau’ terus bergelombang?

Bolehkah ‘gelombang hijau’ terus bergelombang?

oleh Mohsin Abdullah

Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang dikuasai PAS pada 1 Dis lalu meluluskan pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022. Ia merangkumi tambahan empat seksyen baharu dan 21 pindaan seksyen sedia ada dalam enakmen 2001.

Satu daripada empat seksyen baharu itu melibatkan tambahan Seksyen 29A berkaitan anak luar nikah – Terengganu mengharamkan hamil dan melahirkan anak luar nikah dengan membawa hukuman tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam sebatan.



Oleh itu, wanita yang belum berkahwin, tetapi hamil atau melahirkan anak luar nikah boleh dihukum seperti disebut tadi.

Ini dipertikai beberapa pihak. Saya tidak mahu mengulas pertikaian itu, cuma diingatkan oleh seorang kawan yang arif mengenai agama akan pesanan Hassan al-Hudaybi, mursyidul am kedua Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Allahyarham berpesan: “Kita pendakwah bukan penghukum.”

Pesanan yang sangat berkesan dan mendalam. Sesuatu yang wajib dihayati pendakwah atau golongan mengaku pendakwah di mana saja. Ia relevan ketika bercakap mengenai enakmen yang diluluskan Terengganu tempoh hari.



Beralih kepada Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial. Ia bukan badan dakwah. Sebaliknya kumpulan pemikir. Bagi Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, tindakan Terengganu mengharamkan kehamilan dan kelahiran anak luar nikah boleh memaksa ke arah pengguguran bayi secara tidak selamat.

Ia juga berpendapat, tindakan itu sekali gus melemahkan sistem kesihatan dan perlindungan terhadap hak wanita mendapatkan rawatan kesihatan.

Pandangan yang wajar diberi perhatian oleh pendakwah dan dalam kes ini, khususnya kerajaan Terengganu. Panjang huraian Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial yang saya tidak ingin ulang di sini.

Apabila kenyataan Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial disiarkan, khususnya oleh media dalam talian, ia mengundang komen pembaca. Ada yang mengingatkan bahawa rakyat Terengganu yang memilih kerajaan negeri – bermakna mereka setuju dengan tindakan kerajaan mereka memperketatkan undang-undang syariah.



Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang memberi komen merujuk kemenangan PAS pada PRU15 lalu, walaupun di Terengganu membabitkan pertandingan kerusi Parlimen, bukan negeri.

Tetapi, mesejnya ialah rakyat yang mengundi PAS menerima tindakan kerajaan negeri, sama seperti mereka terima langkah terdahulu kerajaan Terengganu mengharamkan salun rambut uniseks.

Tindakan itu dilihat usaha dakwah kerajaan negeri (baca: PAS) dan “memperkasakan” undang-undang syariah daripada kaca mata PAS. Oleh kerana tidak ada bantahan secara terbuka daripada rakyat Terengganu, jelas tindakan seperti ini menaikkan imej PAS sebagai parti Islam yang mereka dakwa selama ini.

Maka timbul persoalan, adakah cara itu akan terus memikat hati pengundi Melayu di seluruh negara, bukan saja di Terengganu?

Pada PRU15, PAS menang besar. Menyapu bersih Kelantan dan Terengganu serta menang di beberapa kawasan di utara Semenanjung. Ini dipanggil penyokong PAS “gelombang hijau”. Hijau warna dikait rapat dengan PAS.

Oleh itu, diulangi, adakah gelombang hijau akan terus bergelombang ke seluruh negara?

Jelas saya bukan bercakap mengenai pengundian Parlimen Padang Serai atau DUN Tioman hari ini, 7 Dis 2022. Yang dimaksudkan bukan saja PRN Kelantan, Terengganu, Kedah dan beberapa lagi negeri yang akan diadakan tahun depan, tetapi PRU16 empat atau lima tahun mendatang.

Sebelum itu, kita lihat dahulu apa yang dilakukan PAS untuk menang besar pada PRU15. Tidak dinafikan dakwaan Islam “terancam” dan “Melayu akan hilang di tanah air” bermain.

Dakwaannya ialah hanya PAS dan Bersatu menerusi Perikatan Nasional boleh “menjaga bangsa Melayu dan agama Islam”.

Namun, yang menang besar PAS pimpinan Abdul Hadi Awang, bukan Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin. Kemenangan Bersatu pun banyak dibantu PAS. Kesimpulannya, pengundi Melayu Islam sokong PAS melebihi Bersatu.

Oleh kerana strategi dalam PRU15 berjaya, bolehlah dijangka PAS akan terus guna strategi sama bagi meraih undi Melayu Muslim. Itu kata Yusri Ibrahim, ketua penyelidik Ilham Centre. Ertinya, sentimen perkauman akan terus ditiup, begitu juga taktik memomok-momok orang Melayu.

Oleh itu, bolehkah PAS menawan Malaysia?

“Buat masa sekarang, agak mencabar untuk PAS menguasai pantai barat (Semenanjung) yang majoriti pengundinya etnik bercampur,” kata Yusri.

Kata beliau lagi, PAS berada dalam PN dan kelemahan PN ialah tiada parti bukan Melayu yang kuat. Yang PN ada ialah Gerakan yang kata Yusri “tidak begitu signifikan”. Kata saya, Gerakan parti lemah yang tidak menarik minat masyarakat bukan Melayu.

Dulu, kata Yusri, PAS pernah diterima baik oleh bukan Melayu – ini era “PAS for All” atau PAS untuk Semua. Benar. Kita pasti masih ingat waktu PAS dalam Pakatan Rakyat duduk bersama DAP, parti yang sekarang dilemparnya pelbagai tuduhan.

Menurut Yusri, sejak PAS berpecah pada 2015 (yang menyaksikan penubuhan Amanah) “agenda semacam dah pudar”. PAS kata beliau dilihat semakin kanan dengan kemelayuan, selain elemen Islam sedia ada.

Kita kerap dengar dan baca retorik kemelayuan PAS dan serangannya ke atas DAP dan dikatakan juga masyarakat bukan Melayu.

Hadi dengan lantang mendakwa orang bukan Islam menjadi majoriti perosak politik dan ekonomi negara. Beliau juga menuduh orang bukan Islam “punca rasuah kerana mengejar harta secara haram”.

Banyak lagi kenyataan Hadi yang mengguris perasaan masyarakat bukan Melayu, bukan Islam. Dewasa ini, beliau disiasat polis berhubung beberapa kenyataannya yang dianggap berbaur hasutan dan rasis. Tetapi akibat siasatan ke atasnya, Hadi diangkat penyokong sebagai wira.

Semua itu tidak membantu matlamat PAS kerana bak kata Yusri “untuk menguasai Malaysia secara keseluruhan, PAS mesti kembangkan elemen sokongan segmen bukan Melayu”.

Sehingga kini, itu tidak dapat dilakukan PAS. Orang bukan Melayu-Islam bukan peminat, malah takut. Contoh terbaharu ketika negara melalui fasa Parlimen tergantung selepas PRU15, Gabungan Parti Sarawak diberitakan mahu menyokong PN untuk menjadi kerajaan persekutuan. Rakyat Sarawak, khususnya masyarakat etnik membantah.

Mereka tidak mahu GPS bersengkongkol dengan PAS dalam PN, yang kata mereka “akan membawa Malaysia ke arah pemerintahan ala Taliban”.

Kata Yusri: “Untuk memerintah Malaysia, sesebuah parti atau gabungan politik perlu disokong multi etnik.” Benar itu realitinya.

Beberapa hari selepas saya mendapatkan ulasan Yusri, ADUN Batu Buruk yang juga Pengerusi Majlis Hal Ehwal Antarabnagsa dan Hubungan Luar PAS Pusat, Muhammad Khalil Hadi menulis di portal berita Malaysiakini, “setelah menang besar PRU15, PAS kini parti yang menunggu untuk jadi kerajaan atau “government-in-waiting”.

Khalil anak presiden PAS. Kata beliau, “politik Islam makin popular”. Berkata pula Raja Kamarul Bahrin Shah, pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, yang anjur PAS “bukan politik Islam yang sihat dan rahmah, tetapi merupakan politik anarki yang mempolitikkan Islam membawa kepada perpecahan di kalangan rakyat berbilang kaum.”

Hadi kerap menegaskan beliau dan partinya bukan rasis – sambil menunjuk ke arah apa yang dikenali sebagai Dewan Himpunan Pendukung PAS yang dianggotai orang bukan Islam. Yang mahu dinyatakan beliau ialah orang bukan Islam sokong PAS.

Jika ada orang bukan Melayu, bukan Islam sokong PAS, ingin saya katakan ada orang Melayu-Islam yang tidak sokong PAS. Tentu Hadi tahu hakikat ini. FMT

Bolehkah ‘gelombang hijau’ terus bergelombang?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Anwar ‘tegur’ Syed Mokhtar, Bernas – Pesawah akan terima bayaran RM60j

Anwar arah siasat perbelanjaan RM600 bilion semasa era PN

Jangan berani sentuh Messi – Tyson

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker