Mesyuarat MKT UMNO tak bincang singkir Zahid

Mesyuarat MKT UMNO tak bincang singkir Zahid

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu akan membincangkan agenda menyingkirkan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaliknya Asyraf Wajdi berkata mesyuarat di Ibu Pejabat UMNO itu akan meneliti tawaran dan syarat dikemukakan bagi pembentukan kerajaan perpaduan, seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak ada agenda untuk desak Presiden letak jawatan,” katanya di sini, malam ini.

Sebelum ini, wujud desakan daripada pelbagai pihak supaya Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) melepaskan jawatannya susulan prestasi buruk gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Antara yang tampil mendesak ialah Timbalan Ketua UMNO Rembau, Khairy Jamaluddin; bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Menteri Besar Johor merangkap Pengarah Operasi Pilihan Raya BN negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sementara itu, Asyraf Wajdi ketika mengulas sokongan 10 Ahli Parlimen BN terhadap Perikatan Nasional (PN), berkata perkara berkenaan sudah dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi gabungan itu.

Ini kerana, katanya, calon BN ketika menerima watikah pelantikan pada PRU15 perlu menandatangani empat dokumen, iaitu surat tawaran, perjanjian pencalonan dan akujanji serta akuan bersumpah (SD).

“Secara kolektifnya semua dokumen perundangan ini memberikan implikasi dan kerusi yang ditanding oleh mana-mana Ahli Parlimen, bukan milik peribadi mahupun parti komponen, sebaliknya ia milik BN.

“Ia tertakluk kepada terma tertentu, termasuk dokumen terbabit secara jelas memberikan mandat kepada Presiden dan Pengerusi BN secara progresif untuk berunding soal pembentukan kerajaan atau pencalonan Perdana Menteri,” katanya.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, mana-mana individu secara automatik bersetuju melepaskan jawatan atau keahliannya, jika melanggar atau memberikan sokongan kepada calon Perdana Menteri daripada gabungan parti politik yang tidak dipersetujui BN.

Sehubungan itu, katanya, tidak timbul isu mana-mana Ahli Parlimen dipaksa menandatangani SD kerana keseluruhan proses berkenaan perlu dibuat di hadapan Pesuruhjaya Sumpah dan peguam.

“Apabila (mereka) melanggar sebarang ketetapan parti, sekali gus secara automatik mereka perlu mengosongkan kerusi dimenanginya. Mungkin 10 (Ahli Parlimen BN) ini terlupa, namun Dewan Tertinggi BN sudah membatalkan SD, sekali gus menyatakan pendirian mereka menarik balik sokongan.

“Sebab inilah Istana Negara menjelaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) tidak memiliki majoriti untuk mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10, biarpun beliau menyatakan ada sokongan 115 Ahli Parlimen ketika sesi mengadap Yang di-Pertuan Agong, sebelum ini,” katanya.

Semalam Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata Ahmad Zahid mesti mendengar luahan dan pandangan pemimpin serta ahli akar umbi yang mendesak beliau untuk berundur daripada parti.

Perdana Menteri berkata Ahmad Zahid tidak wajar menutup telinga, tanpa memberi sebarang kata putus terhadap desakan kepadanya.

“Presiden kena dengar pandangan daripada semua. Bila Ketua Bahagian UMNO buat kenyataan, beberapa pihak buat kenyataan. Saya harap Presiden UMNO buat pertimbangan sewajarnya. Jangan menutup telinga untuk tidak mendengar langsung pandangan.

“Mungkin untuk kebaikan parti, presiden mesti memikirkan masa depan parti, sama ada perlu kekal kerana dia menang pemilihan dan tak boleh dipecat begitu saja. Presiden kalau mahu dipecat mesti dua pertiga ahli panggil mesyuarat agung luar biasa untuk pecat presiden.

“Tapi presiden juga boleh menarik diri atau berhenti. Itu kuasa yang diberikan Perlembagaan (parti). Presiden perlu memikirkan demi masa depan parti dan jangan menutup telinga (desakan) Ketua Bahagian UMNO, pemuda. Setiap hari kita dengar macam-macam desakan,” katanya. HM

Mesyuarat MKT UMNO tak bincang singkir Zahid


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Agama, bangsa tak patut jadi isu dalam penubuhan kerajaan – Johari

Agong cadang kerajaan perpaduan PH-PN, Anwar setuju Muhyiddin tolak

Bakal pengantin ‘dirasuk’ roh, menari tarian Jawa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker