Teks penuh ucapan Pengerusi BN melancarkan Manifesto BN yang dikenali sebagai PADU

 

Rakyat Malaysia yang saya hormati,

1. Kurang dari dua minggu dari sekarang, kita akan memilih Kerajaan yang baharu.

2. Ini adalah saat yang sangat penting. Kerana Malaysia memerlukan permulaan yang baharu setelah empat tahun yang sangat tidak menentu.

3. Dan untuk bersama-sama memastikan permulaan baharu ini berlaku dengan selayaknya, kita semua memikul tugas dan tanggungjawab yang sama.

4. Kita mesti memilih parti yang boleh membentuk kerajaan yang bertanggungjawab, yang pragmatik dan yang mempunyai rencana yang jelas untuk Malaysia.

5. Atas kesedaran bahawa sesebuah parti yang berhasrat menjadi kerajaan, perlu mempunyai agenda dan pelan yang konkrit untuk negara, maka Barisan Nasional tampil menawarkan kestabilan dan kemakmuran yang Malaysia perlukan.

6. Sebelum menyerahkan tugas dan tanggungjawab kepada para pengundi untuk memilih yang terbaik, BN sedar bahawa kami mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menawarkan yang terbaik kepada negara.

7. Dan ini kami lakukan melalui dua strategi penting.

8. Pertama, kami akan mewujudkan kestabilan politik dengan membentuk sebuah Kerajaan yang kuat.

9. Kerajaan yang berupaya mengakhiri segala politik jelik dan pelik, lompat melompat, ugut-mengugut dan tekan-menekan. Kerajaan yang akan menoktah segala sandiwara yang membawa ketidakstabilan dan ketidaktentuan dalam politik dan kerajaan.

10. Kedua, kami akan menguruskan Malaysia agar menjadi sejahtera dan makmur.

11. Percaya ini akan dicapai dengan melaksanakan pelbagai pelan dan perancangan yang bersifat prorakyat, propembaharuan, prokemajuan dan mengutamakan keterangkuman.

12. Justeru, malam ini, saya dengan sukacitanya menampilkan Perancangan Amal dan Usaha BN untuk Malaysia yang tercinta atau ringkasnya, PADU.

Rakyat Malaysia yang saya hormati,

13. PADU adalah tawaran baharu yang segar atau ‘ a new and fresh deal’ daripada BN kepada rakyat Malaysia.

14. Di dalam PADU ini terdapat 99 Amal dan Usaha BN yang akan menjadi panduan kami dalam mengemudi tanah air kita menjadi negara berkemajuan.

15. PADU bukan janji-janji manis dan indah. PADU bukan tentang segala-galanya percuma. PADU bukan tentang pemansuhan dan pengurangan tanggungjawab dalam serba serbi.

16. Tetapi, PADU adalah pelan yang serius dan rasional. Pelan yang mempunyai sasaran yang jelas. Dan pelan yang BN akan amal dan usahakan dengan sebaiknya demi kemaslahatan semua, Insya-Allah.

17. Saya ingin memfokuskan kepada lima (5) idea besar yang mendasari tawaran utama di bawah PADU.

18. Pertama, PADU adalah penyelesaian nasional yang komprehensif bagi menjawab pelbagai isu paling mendesak seperti kos kehidupan dan sara hidup yang tinggi.

19. Untuk itu, PADU akan melakukan satu revolusi besar-besaran dalam sistem pengagihan bantuan di seluruh negara dengan memperkenalkan skim bantuan pendapatan asas atau”Assistive Basic Income.”

20. Melalui skim ini, kerajaan akan mengkreditkan atau memasukkan secara automatik kepada semua isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM2208.

21. Ia adalah satu ‘top up’ atau tambahan pendapatan bulanan bagi memastikan semua isi rumah di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya RM2208 sebulan.

22. Skim ini akan hadir sebagai jalan paling adil, munasabah dan strategik. Bukan sahaja bagi menangani kos sara hidup yang sangat membebankan. Namun bagi memastikan tiada lagi isi rumah yang terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan. Atau dalam erti kata lain, selepas ini, insiden kemiskinan mutlak hanya akan tinggal sejarah di Malaysia.

23. Bagi mereka yang mempunyai pendapatan dalam kelompok M40 dan termasuk dalam kumpulan pembayar cukai antara RM50 ribu hingga RM100 ribu pula, kita akan memberi 2% potongan cukai pendapatan. Ini sudah pasti akan membolehkan kuasa beli golongan M40 meningkat dan mengurangkan beban kewangan mereka.

24. Selain dua tawaran utama yang bersifat secara langsung ini, PADU turut memuatkan beberapa lagi inisiatif yang akan secara tidak langsung membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup.

25. Kedua, PADU adalah tentang tekad dan nekad BN untuk melakukan beberapa pembaharuan yang radikal dan bersifat struktural dalam negara kita.

26. BN akan membawa perubahan-perubahan besar yang akan mengubah kehidupan dan keseluruhan cara kita menguruskan masyarakat. Ini akan dilaksanakan dengan masukkan perkara yang paling diperlukan negara dan paling bertanggungjawab untuk dilakukan.

27. Apakah perkara-perkara tersebut?

28. Pertama, menyedia dan memperkasa pendidikan awal yang terbaik melalui sistem asuhan dan pendidikan awal nasional percuma untuk semua kanak-kanak berusia enam (6) tahun dan ke bawah.

29. Ini bermakna, selain sistem sekolah rendah dan sekolah menengah, selepas ini Malaysia akan turut mempunyai sistem pendidikan awal dan asuhan percuma di seluruh negara.

30. Ia tidak lagi bersifat serpihan-serpihan atau bergantung kepada budi bicara atau tahap kemampuan ibu bapa. Sebaliknya, ia akan diwujudkan sebagai sebuah sistem universal yang tersedia untuk semua di seluruh negara.

31. Perubahan sistem yang radikal ini bukan sahaja akan mengurangkan sebahagian besar kos penjagaan dan pendidikan kanak-kanak di seluruh negara, tetapi menjadi bukti komitmen dan pelaburan besar negara dalam memastikan asuhan dan pendidikan awal dilakukan dengan cara terbaik.

32. Semoga perubahan radikal ini akan menjadi titik mula dalam ikhtiar kita untuk membangun keupayaan kognitif anak-anak kita agar mereka membesar menjadi generasi yang kuat, cerdas dan berkemahiran.

33. Kedua, di peringkat sekolah pula, agenda pendigitalan pendidikan akan dilakukan secara besar-besaran. BN akan memperkenalkan Sistem Persekolahan Tanpa Buku Teks yang akan menyaksikan pembelajaran berlangsung menggunakan laptop atau komputer riba. Untuk itu, 2 inisiatif besar BN untuk perkara ini adalah memberi komputer riba percuma kepada semua pelajar B40 dan memastikan 100% liputan Internet 5G di semua sekolah dalam masa 18 bulan.

34. Perkara ini akan membantu menyelesaikan isu-isu seperti beg sekolah yang berat serta membolehkan kemas kini sukatan pelajaran dilakukan dengan lebih pantas dan mudah.

35. Pada peringkat pengajian tinggi pula, Barisan Nasional akan memberikan pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak dalam kalangan B40. Ini adalah sebahagian usaha serius kita untuk membasmi kemiskinan secara strategik, adil dan bersifat jangka panjang.

36. Selain pengajian tinggi tanpa yuran kepada semua individu dari kelompok B40, universiti awam atau Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara akan menawarkan sistem pengajian anjal. Iaitu 50% pengajian di kampus, dan 50% lagi secara dalam talian atau jarak jauh, yang akan sekali gus mengurangkan sehingga separuh kos pengajian.

37. Malah, selepas ini, bagi menghapuskan eksploitasi, semua mahasiswa atau sesiapa sahaja yang melakukan latihan amali atau internship akan diwajibkan bayaran elaun oleh majikan.

38. Perkara-perkara ini kita usahakan kerana kita sedar, pendidikan bukan sahaja pertahanan terbaik atau our best defence, malah senjata ampuh atau our best weapon dalam memerangi kekurangan serta kesenjangan hidup.

39. Seterusnya, memandangkan Malaysia sedang bergerak menjadi sebuah negara tua (aged nation), perubahan radikal ketiga yang akan dilakukan adalah mewujudkan ekosistem perlindungan dan penjagaan warga emas yang lebih baik.

40. Ini termasuklah penggubalan Akta Penjagaan Warga Emas dan memantapkan fungsi dan keupayaan pertubuhan bukan kerajaan atau NGO yang mengendalikan pusat penjagaan warga emas dan OKU dengan peruntukan RM105 juta untuk lima (5) tahun.

41. Semua ini adalah pembaharuan struktural yang kita perlukan untuk melonjak Malaysia menjadi negara yang meletakkan kesejahteraan dan keadilan sosial pelbagai kumpulan masyarakat pada tahap terbaik dan selayaknya.

Warga Malaysia yang saya hormati,

42. Perkara ketiga yang PADU akan tampilkan ialah keterangkuman dan pengiktirafan kerencaman.

43. BN tidak mahu sesiapa pun tertinggal, tercicir dan terpisah. Kita sedar, dalam fabrik sosial masyarakat Malaysia yang kaya dengan latar belakangnya, mengiktiraf dan menghargai kepelbagaian adalah satu-satunya jalan mengekalkan keharmonian dan nilai muhibah antara kita.

44. BN percaya dan yakin bahawa formula untuk Malaysia yang stabil dan sejahtera ialah pembangunan yang terangkum.

45. Untuk itu BN akan menjadikan sekolah kebangsaan sebagai medan menyubur keharmonian dan menyemai nilai menghargai satu sama lain.

46. Selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang kini diajar di semua sekolah, di bawah BN nanti, semua sekolah akan turut mengajar bahasa-bahasa komunikasi asas yang lain seperti Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan, Dusun dan bahasa-bahasa etnik yang lain.

47. Ia bukan sahaja akan menjadikan pembelajaran sesi yang menyeronokkan, malah sekolah akan menjadi tempat semua pelajar bersahabat dan membesar sebagai rakyat yang bersatu-padu.

48. BN akan menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan untuk pendidikan semua. Malah BN akan menjadikan sekolah sebagai tempat kita memupuk minda terbaik melalui pengajaran kemahiran baharu seperti pengekodan atau coding dankreativiti.

49. Yang pasti, sekolah akan dijadikan medan paling ampuh untuk memupuk kesedaran kemajmukan dan perpaduan.

50. Di peringkat swasta pula, kita ingin memastikan para majikan mengambil pekerja daripada pelbagai bangsa, gender dan latar belakang dengan menawarkan insentif cukai kepada syarikat-syarikat yang mempunyai kemajmukan pada peringkat pengurusan.

51. Selain itu, kita mahu isu gangguan seksual, ketidaksaksamaan gaji, imbuhan dan layan kerana perbezaan gender dihapuskan sama sekali dengan meneliti kesesuaian penubuhan Tribunal Kesaksamaan Gender dan menubuhkan Tribunal Anti Gangguan Seksual.

52. Pada masa yang sama, atas nama keterangkuman juga, kita tidak lagi mahu, anak-anak yang dilahirkan melalui perkahwinan campur, atau mereka yang berbeza identiti bangsa dan agama dinafikan hak untuk menjadikan Malaysia tanahair tercinta.

53. Oleh itu, saya tegaskan di sini bahawa BN bersedia untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing.

54. Ini kita lakukan atas kesedaran bahawa patriotisme dan nilai sayangkan negara itu hadir dari kerencaman dan keterangkuman.

Saudara dan saudari sekalian,

55. Perkara keempat, PADU adalah satu penggandaan usaha untuk kita meletakkan asas-asas penting untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk semua.

56. Proses pembinaan negara yang berjaya dan masyarakat yang sejahtera adalah tugas dan tanggungjawab yang mengambil masa.

57. Sesetengah kudrat dan keringat yang kita tumpahkan, hanya akan menampakkan hasil sedekad dari sekarang. Atau pada satu tempoh yang lebih lama. Atau mungkin pada suatu ketika yang tidak sempat pun untuk kita sendiri saksikan hasilnya.

58. Akan tetapi, itu tidak bermakna kita tidak harus berusaha dari sekarang. Masa depan yang baik untuk semua harus dimulakan dari sekarang.

59. Untuk itu, BN nekad memastikan amalan politik di negara ini dihidupkan hanya dengan cara yang bertanggungjawab dan telus melalui penggubalan Akta Pendanaan Politik.

60. Pada masa yang sama, pelantikan jawatan utama negara seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengerusi SPR akan melalui saringan jawatankuasa khas Parlimen.

61. Melalui wakil mereka di Parlimen, rakyat akan diberikan mandat untuk meneliti dan terlibat dalam tapisan pelantikan jawatan awam terpenting di negara ini.

62. Masa depan Malaysia juga mesti lestari dan selamat. Untuk itu kita akan menghapuskan semua permit import atau AP untuk semua jenis kereta elektrik bagi memastikan akses yang lebih luas kepada kereta mesra alam mampu milik.

63. Dan kita juga akan berusaha menambah litupan kawasan berhutan negara kepada 60 peratus keluasan dengan kerjasama kerajaan negeri.

Warga Malaysia yang saya hormati,

64. Perkara kelima dan terakhir yang ingin saya tegaskan adalah, kejayaan 99 perkara dalam PADU ini bergantung kepada bagaimana BN mengamal dan mengusahakan dengan berstrategi.

65. Ini bermakna, perancangan yang baik mesti disusuli dengan amalan yang berstrategi, baik dan usaha yang gigih.

66. Bagi melaksanakannya, BN bukan sekadar harus menjadi kerajaan yang kuat dan stabil. Akan tetapi kerajaan dengan pasukan terbaik.

67. Bersandarkan kesedaran ini, Insya-Allah PADU akan didukung dan diusahakan dengan mengumpul bakat-bakat terbaik dalam kalangan calon yang terpilih.

68. BN akan membentuk pasukan yang mempunyai ilmu, pengalaman dan berwibawa yang diperlukan dalam menjadikan PADU satu realiti.

69. Pasukan yang jiwa dan raga mereka, didedikasikan kepada rakyat dan negara tercinta. Pasukan yang bersedia memberikan yang terbaik demi menterjemahkan PADU.

70. Namun, BN tidak boleh berseorangan dalam ikhtiar besar ini. Kami memerlukan sokongan dan penglibatan semua. Sesungguhnya 99 Amal dan Usaha yang kami nukilkan dalam PADU ini adalah sesuatu yang kami rasakan terbaik untuk negara dan masyarakat kita.

71. Justeru, saya pulangkan semuanya kepada pertimbangan baik saudara dan saudari yang mempunyai kuasa untuk menentukan masa depan negara.

72. Saya jemput semua untuk meneliti pelan amal dan usaha kami. Lihatkan dengan berlapang dada bagaimana semua itu akan mengubah negara dan masa depan kita.

73. Saya akui, ini bukan pelan yang sempurna. Tapi saya dan seluruh pasukan BN percaya, ia mempunyai kekuatan dan kelebihan tersendiri.

74. Dengan rendah hati, saya menyeru sokongan dan doa daripada semua. Semoga apa yang kita lakukan bersama ini membuahkan hanya yang terbaik untuk tanah air, Insya-Allah.

75. Undilah kestabilan. Undilah Kemakmuran. Undilah Barisan Nasional.

76. Terima kasih.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Hamzah ‘ketat’ disambut dengan sorakan ‘Katak & Pengkhianat’

Budak Kena Terajang Dek Lelaki Sebab Bengang Lama Sangat Bersandar Di Keretanya [VIDEO]

Pemandu letak pesanan ‘manja’ buat ramai terhibur

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker