Sejarah panjang Mahathir dan badan kehakiman

Sejarah panjang Mahathir dan badan kehakiman

MANTAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa UMNO hanya menggunakan medium Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk mendapatkan semula kuasa mereka. Mahathir juga mendakwa UMNO akan melantik Peguam Negara baharu bagi menyembunyikan semua ”perbuatan jahat” yang pernah dilakukan oleh parti terbabit.

Kenyataan Mahathir itu seolah-olah menggambarkan beliau tidak mengaku pernah melakukan tindakan serupa semasa menjadi kerajaan sebelum ini. Untuk rekod, Mahathir pernah melantik Tommy Thomas dan Hakim Datuk Tengku Maimun Tengku Mat sejurus menjadi Perdana Menteri buat kali kedua. Langkah itu sedikit sebanyak turut memberi ”manfaat” kepada mantan Perdana Menteri itu ketika era pemerintahannya.

Mahathir melantik Thomas sebagai Peguam Negara pada 2018 selepas Pakatan Harapan menjadi kerajaan dan kekal memegang jawatan berkenaan sehingga Mac 2020, sewaktu kerajaan PH tumbang. Thomas sendiri mengakui bahawa pelantikannya adalah merupakan lantikan politik, bukan berdasarkan merit.

Malahan, ramai pemerhati dan penganalisis politik melihat pelantikan Thomas bertujuan untuk menyelamatkan pemimpin DAP, Lim Guan Eng dalam kes rasuah pembelian banglo. Thomas merupakan peguam bela Guan Eng sebelum dilantik menjadi Peguam Negara. Setelah PH berkuasa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan terkejut melihat Guan Eng dibebas dan dilepaskan begitu sahaja. Pemerhati dan penganalisis politik juga melihat Mahathir menggunakan Thomas untuk mendakwa musuh politik beliau.

Pelantikan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara juga diragui sehingga kini. Apatah lagi, Tengku Maimun dilantik oleh Mahathir bagi mengadili kes perbicaraan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Kredibiliti Tengku Maimun juga sempat diragui sepanjang prosiding perbicaraan Najib apabila suaminya sendiri iaitu Zamani Ibrahim merupakan penyokong parti pembangkang dan mengeluarkan kenyataan berbaur permusuhan terhadap Najib.

Walaupun Tengku Maimun didesak untuk menarik diri daripada kes berkenaan susulan kebimbangan berlakunya penghakiman berat sebelah, namun beliau enggan menarik diri, sekali gus mengundang kecaman daripada penyokong Najib. Pemerhati politik melihat situasi itu sebagai langkah tegas yang cuba ditonjolkan oleh Mahathir untuk menggulingkan musuh politik seperti Najib, sama seperti apa yang pernah dilakukan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Meskipun Mahathir menafikan berlaku campur tangan dalam keputusan mahkamah Najib, namun ramai mengetahui beliau bukanlah seorang yang hanya ”duduk diam”, malah pernah mencampuri sistem kehakiman negara ini pada 1980-an. Penyingkiran hakim sering dilihat dalam era pemerintahan Mahathir. Antara kes yang menjadi polemik orang ramai sehingga kini adalah membabitkan Tun Salleh Abbas.

Mahathir pada era 1980-an dilaporkan tidak berpuas hati dengan sistem penghakiman negara ketika itu, yang sering kali tidak menyebelahi Mahathir sehingga menyebabkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri goyah. Mahathir didakwa menggunakan sebaran media untuk memburukkan barisan hakim di mahkamah.

Susulan tekanan yang diterima, Tun Salleh dan 20 orang hakim Mahkamah Tinggi mencapai kata sepakat untuk menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon agar campur tangan kerajaan dalam badan kehakiman dihentikan. Surat itu bagaimanapun dijadikan senjata oleh Mahathir bagi dijadikan alasan untuk melaksanakan rombakan besar-besaran terhadap sistem kehakiman negara.

Mahathir juga mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong memohon supaya Tun Salleh digantikan atas faktor kesihatan dan telah hilang keupayaan untuk membuat keputusan dengan baik. Tun Salleh akhirnya terpaksa akur untuk meletakkan jawatan selepas tiada sokongan ditunjukkan kepadanya lagi.

Tuntasnya, dakwaan Mahathir terhadap UMNO diibaratkan seperti ”mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih”. Pelantikan proksi dalam badan kehakiman pada era Mahathir digambarkan sebagai langkah untuk memudahkan perjalanan politiknya terutamanya menjatuhkan musuh politik.

Meskipun generasi muda ketika ini tidak hidup pada era pemerintahan pertama Mahathir, namun di zaman teknologi, banyak maklumat tentang Mahathir terbongkar. Sebelum Mahathir mencetuskan naratif sedemikian pada masa akan datang, beliau perlu merujuk kembali tindakan lampau yang pernah dilakukannya. MG

Ahmad Zhafran Dzulkarnain

Sejarah panjang Mahathir dan badan kehakiman


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Khairy tayang bakat main gitar (Video)

UFC 280: Anak buah Khabib, Islam Makhachev berjaya tumbangkan Juara Dunia [VIDEO]

Silap Saya Sebab Teruskan Walaupun Ibu Bapa Tak Restu- Abang Viva [VIDEO]

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker