Anuar Zain pukau 8,000 peminat

Anuar Zain pukau 8,000 peminat

Kegigihan Anuar Zain, 53, mementaskan konsert dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu lalu, membuktikan dirinya penghibur sejati.

Dalam keterbatasan vokal akibat demam dan batuk, Konsert Anuar Zain 40th Anniversary (AZ40) di lokasi dan acara sama sedekad lalu, berlangsung lancar dan berjaya memukau kira-kira 8,000 penonton.



“Sakit ini bukan saya cari. Saya tidak cari hilang suara, batuk dan demam… Kalau hendak jadi, maka, jadilah.

“Tetapi saya bersyukur semua ini berlaku seminggu sebelum konsert. Saya hilang vokal secara total sehingga tidak mampu buat latihan, hanya berlatih dengan mendengar rakaman lagu sahaja.

“Bagaimanapun, konsert tetap diteruskan. Saya cakap kepada diri sendiri, tidak mengapa. Saya beritahu kepada semua audiens keadaan sebenar supaya mereka faham,” katanya yang mengaku kecewa kerana apa yang ditampilkan tidak mencapai standard dimahukan.

Namun, melihatkan sokongan padu peminat, biarpun dalam keadaan vokalnya yang kurang baik membuatkan Anuar seakan terlupa seketika keadaan kesihatannya.



Anuar masih beraksi lincah sepanjang persembahan. Namun, pada malam itu, selain ditemani pemuzik pengiring, Anuar bergantung kepada alat pelega pernafasan atau ‘nebulizer’ bagi memudahkannya bernafas.

Malah, Anuar sempat berseloroh ketika menggunakan alat itu sebelum memulakan persembahan.

“Macam berdramalah,” katanya disambut hilai tawa peminat fanatiknya.

Membuka tirai persembahan dengan lagu Kaulah Satunya diikuti Sesucinya Cintamu, penonton bagai dipukau apabila secara keseluruhan lebih 20 lagu didendangkan Anuar dalam konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu.



Antara lagu popular dipersembahkan adalah Bila Resah, Sedetik Lebih, Ketulusan Cinta, Ajari Aku, Perpisahan, Mungkin dan banyak lagi.

Peminat Anuar yang dibesarkan di Shah Alam, sangat terhibur, malah tidak terkesan biarpun ada ketikanya, vokal penyanyi kesayangan mereka turun naik.

Malah, peminat bagai tidak puas walaupun sudah lebih dua jam berhibur apabila tidak mahu berganjak daripada stadium. Mereka melaungkan ‘we want more’ sebelum Anuar tampil semula di pentas menutup tirai persembahan dengan lagu Lelaki Ini.

Melihat sokongan padu peminat, tidak hairanlah Anuar mengakui mereka menjadi tulang belakang hingga beliau mampu bertahan empat dekad.



Dedah Anuar, dalam perjalanannya, pernah timbul kebimbangan dan persoalan di hati apakah dia masih relevan dan wajar untuk meneruskan kerjayanya.

“Apa yang membuatkan saya terus berada di sini adalah kasih sayang dan ingatan peminat.

“Setiap kali rasa ‘down’, saya akan lihat kembali video persembahan dan mesej langsung berbentuk sokongan daripada peminat yang dihantar ke akaun media sosial saya.

“Pada 2007, saya pernah lalui fasa yang sangat ‘down’ di mana berlarutan tiga tahun. Saya bertanya pada diri adakah saya masih relevan dan patutkah saya teruskan karier?



“Perkara ini melarat sehingga saya layan perasaan itu selama tiga tahun. Tetapi, sekarang, saya lebih matang dan mampu tepis gangguan itu,” katanya ditemui sebaik konsert berakhir.

Apa yang membuatkan Anuar terharu dan lebih bersemangat apabila melihat peminat yang datang lebih ramai berbanding acara sama, kira-kira 10 tahun lalu, juga di lokasi sama.

“Selepas 40 tahun, saya dapat lebih ramai audiens berbanding konsert pada 2013. Masih ramai yang sokong. Untuk penyanyi lama seperti saya, tidak tahu bagaimana hendak gambarkan perasan itu.

“Saya sangat bangga dan hargai peminat saya… Anda memang hebat,” katanya.



Lebih bermakna, pada malam itu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan mencemar duli menyaksikan Anuar beraksi.

Antara rakan artis yang hadir memberi sokongan adalah kakaknya, Ziana Zain, Datuk Sheila Majid, Datuk Syafinaz Selamat, Rozita Che Wan, Misha Omar, Ernie Zakri, Syamel dan ramai lagi.

Anuar turut memberi dedikasi istimewa kepada sahabatnya, Allahyarham Adibah Noor menerusi lagu Cinta Tak Harus Memiliki.

Janji Anuar pada malam itu, AZ40 bukanlah konsert terakhirnya kerana ada penganjur daripada Singapura menunjukkan minat membawa acara sama ke republik itu.

Malah, Anuar mengimpikan bertemu peminat di Johor, Sabah dan Sarawak.

“Selagi diizinkan, saya tidak akan berhenti mementaskan konsert. Selain menjadi punca rezeki, ini salah satu cara untuk berjumpa peminat,” katanya.

Konsert AZ40 dipimpin pengarah muzik Lee Sze Wan bersama 25 pemuzik pengiring. BH

Anuar Zain pukau 8,000 peminat

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Achey guna populariti anak demi lariskan bisnes?

Penyertaan dalam FD3 macam sampah, ini kata Ryan Bakery

Nabil gurau ‘face shaming’ pulak kali ini

Leona dikecam nampak lurah, Azhar Sulaiman ‘back up’

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker