Berpadu mendukung aspirasi Islam

Berpadu mendukung aspirasi Islam

oleh Muhammad Fahmi Md Ramzan

Reformasi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah antara isu antarabangsa yang mencetuskan perdebatan hangat berterusan dalam kalangan pemimpin, diplomat mahupun pemikir.



Hal terbabit berpunca daripada kelemahan, kecacatan dan ketidakadilan yang wujud dalam organ PBB itu sehingga muncul beragam proposal untuk mereformasinya.

Salah satu topik yang menjadi wacana utama reformasi Majlis Keselamatan ialah berkaitan komposisi keanggotaannya yang dianggap berat sebelah sehingga mengundang kritikan beberapa tokoh.

Sebagai contoh, mantan Pengerusi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu Westminster, Titus Alexander dalam tulisannya berjudul Unravelling Global Apartheid: An Overview of World Politics menggambarkan Majlis Keselamatan sebagai tonggak apartheid global memandangkan tiga daripada lima anggota tetap adalah negara Eropah manakala empat daripadanya adalah negara berkulit putih.

Selain itu, komposisi keseluruhan bagi Majlis Keselamatan yang berjumlah 15 anggota juga dianggap tidak seimbang dan tidak mencerminkan realiti semasa antarabangsa dengan mengambil kira jumlah negara yang bergabung di bawah PBB.



Untuk rekod, hanya sekali reformasi berkaitan peluasan keanggotaan Majlis Keselamatan pernah dilaksanakan iaitu pada 1963 membabitkan penambahan jumlah anggota tidak tetap daripada enam kepada 10 anggota. Antara alasan penambahannya pada waktu itu ialah peningkatan jumlah keanggotaan PBB kepada 115 negara anggota berbanding 50 buah negara ketika penubuhannya pada 1945.

Atas dasar itu, terdapat beberapa tuntutan dan usulan supaya dilaksanakan kembali proses reformasi keanggotaan Majlis Keselamatan baik bagi kerusi anggota tetap mahupun tidak tetap pada abad ke-21 ini.

Antara negara yang pernah membuat tuntutan serius untuk kerusi tetap ialah Brazil, Jerman, India dan Jepun yang dikenali sebagai kumpulan G4 dengan jaminan pelepasan kuasa veto buat sementara waktu selama 15 tahun. Namun tuntutan terbabit secara dasarnya diterima berbelah bahagi oleh lima anggota tetap sedia ada bahkan ditentang gerakan reformasi Majlis Keselamatan dikenali sebagai Uniting for Consensus (UFC) yang ditubuhkan secara bersama oleh Itali, Pakistan, Mexico dan Mesir.

UFC sebaliknya mencadangkan supaya diwujudkan sembilan kerusi tetap baharu yang diagihkan secara adil dalam kalangan kumpulan serantau (regional group) serta dua kerusi tidak tetap yang diduduki selama dua tahun dengan peluang bagi penyandang untuk dicalonkan semula.



Cadangan terbabit diharap dapat menambah suara perwakilan serantau dan meningkatkan legitimasi Majlis Keselamatan di samping mewujudkan lebih banyak peluang kepada negara anggota PBB untuk mengambil bahagian dalam isu keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Model peluasan keanggotaan Majlis Keselamatan juga pernah dikemukakan Mantan Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan yang menyeru anggota PBB supaya mencapai kata sepakat mengenai cadangan supaya diperluas saiz Majlis Keselamatan. Pada 21 Mac 2005, beliau menerbitkan suatu laporan disebut sebagai In Larger Freedom yang mengandungi dua alternatif berhubung reformasi keanggotaan Majlis Keselamatan, iaitu:

i. Mewujudkan enam anggota tetap baharu, ditambah tiga ahli tidak tetap baharu yang menjadikan keseluruhan 24 kerusi.

ii. Mewujudkan lapan kerusi baharu dalam kategori baharu, yang akan berkhidmat selama empat tahun, tertakluk kepada pembaharuan, ditambah satu kerusi tidak tetap yang menjadikan keseluruhan 24 kerusi.



Namun cadangan yang dikemukakan Annan mengalami kegagalan sehingga ia tidak dapat dibawa ke peringkat pengundian dipercayai berpunca daripada kegagalan Kesatuan Afrika (AU) dalam memutuskan siapa antara mereka yang layak dan sepatutnya mewakili rantau terbabit sebagai anggota tetap.

Sehingga kini, wacana perluasan keanggotaan Majlis Keselamatan adalah suatu agenda yang amat penting supaya suara bagi setiap rantau antarabangsa dapat disampaikan dengan lebih demokratik terutamanya membabitkan kes konflik kemanusiaan serta pelanggaran hak asasi manusia yang masih kurang berkesan ditangani oleh Majlis Keselamatan.

Komposisi sedia ada yang tidak seimbang berpotensi menyumbang kepada diskriminasi kerana sesetengah kerajaan mungkin akan dilindungi sekutu mereka dan sebaliknya sesetengah yang lain pula lebih terdedah kepada sekatan antarabangsa.

Oleh sebab itu, cadangan supaya keanggotaan Majlis Keselamatan diperluaskan dengan mengambil kira keahlian atau perwakilan berdasarkan kumpulan atau pertubuhan serantau adalah langkah ideal supaya masing-masing dapat memainkan peranan menggembleng tenaga untuk menjaga perdamaian dan keamanan antarabangsa secara adil dan saksama.



Dalam konteks ini, negara Islam seharusnya konsisten menyuarakan desakan supaya proses reformasi Majlis Keselamatan dapat dilaksanakan segera secara adil seterusnya melobi keanggotaan yang mencukupi untuk mewakili suara umat Islam dan rantau berkaitan (Asia-Afrika). Lebih-lebih lagi, konflik kemanusiaan yang berlaku dewasa ini sebahagian besarnya membabitkan penindasan terhadap umat Islam serta berlaku di rantau yang diduduki umat Islam.

Tuntutan ini hakikatnya pernah dibangkitkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi pihak negara Islam pada 2004 dan dimasukkan dalam dokumen rasmi Perhimpunan Agung PBB (A/59/425). Perenggan 56 dokumen terbabit menyatakan bahawa setiap cadangan reformasi yang mengabaikan perwakilan umat Islam yang memadai untuk kategori anggota mana pun dalam Majlis Keselamatan tidak akan diterima oleh negara Islam.

Perkara ini juga dibangkitkan kembali dalam Resolusi Hal Ehwal Politik ketika Mesyuarat Majlis Menteri Luar Negeri ke-48 di Islamabad, Pakistan pada Mac lalu. Antara isi kandungan resolusi terbabit menyebutkan bahawa sebarang reformasi Majlis Keselamatan mesti memastikan perwakilan yang mencukupi bagi Negara Anggota OIC dalam mana-mana kategori keahlian dalam Majlis Keselamatan yang diperluaskan.

Keterangan terbabit jelas menegaskan bahawa sebarang reformasi terhadap Majlis Keselamatan perlu mengambil kira keanggotaan negara OIC sebagai pertubuhan serantau yang mewakili suara umat Islam.



Justeru, bersempena Perhimpunan Agung PBB (UNGA) kali ke-77 yang berlangsung September ini, diharapkan perwakilan negara Islam termasuk Malaysia berpadu suara dan terus konsisten mendukung aspirasi umat Islam dan masyarakat antarabangsa supaya proses reformasi Majlis Keselamatan dapat direalisasikan. HM

Penulis Penganalisis Undang-Undang Antarabangsa Islam (Siyar) dan Calon Doktor Falsafah di Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Berpadu mendukung aspirasi Islam


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Arab Saudi Perkenalkan Robot Yang Mampu Sampaikan Khutbah Daripada Imam Dan Muazin

Majlis Peguam ‘kurang ajar’ – Zaid

Melur Untuk Firdaus kembali untuk musim ke-2, netizen tak setuju

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker