Kehilangan pasangan hidup selepas 19 hari berkahwin

Kehilangan pasangan hidup selepas 19 hari berkahwin

Kota Bharu: Gerak hati isteri yang rasa tidak sedap hati sebaik arwah suami menghantarnya ke tempat kerja memberi petanda yang dia bakal kehilangan insan dicintai buat selama-lamanya.

Menurut Nur Aishah Mat Hassan, 22, sebelum arwah suaminya, Mohamad Norhakim Nor Rusdi, 21, maut dalam kemalangan di Kilometer 71 Jalan Kota Bharu- Kuala Krai, dekat Kampung Damar, semalam, dia beriya-iya meminta supaya arwah suami menghantarnya ke tempat kerja di Machang selepas arwah pulang daripada berniaga satay.

Katanya, selepas menghantarnya ke tempat kerja pada 3.42 petang semalam, arwah suami ke rumah saudaranya di Kampung Pahi, Kuala Krai untuk berjumpa dengan adiknya yang akan berangkat ke Kuala Lumpur.

“Bagaimanapun, tidak beberapa lama selepas itu, adik arwah menghubungi saya dan memaklumkan abangnya masih belum sampai setelah menunggu selama sejam dan saya kemudiannya menghubungi telefon arwah lebih 10 kali, tetapi tidak berjawab selain mesej yang dihantar melalui WhatsApp juga tidak dibaca.

“Sepanjang berada di tempat kerja saya tidak tenteram selain perasaan juga berdebar-debar selepas tidak dapat menghubungi arwah suami sehinggalah mendapat panggilan telefon daripada keluarga yang memaklumkan anggota polis datang ke rumah dan meminta membuat pengecaman ke atas mayat yang terbabit dalam kemalangan di Kuala Krai.

“Pada waktu itu, saya sudah dapat merasakan, mangsa kemalangan yang maut adalah suami sendiri memandangkan nombor pendaftaran kereta yang diberitahu oleh anggota polis yang datang ke rumah adalah kereta yang dinaiki oleh arwah ketika menghantar saya ke tempat kerja,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, dalam Mohamad Norhakim meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit serta mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang memandu dari arah Kota Bharu menuju ke Gua Musang secara tiba-tiba hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan bas ekspres.

Bas ekspres yang membawa 17 penumpang itu datang dari arah Gua Musang ke Kota Bharu kemudiannya bergesel dengan Perodua Kelisa dipandu wanita berusia 40 tahun yang ketika itu berada di belakang kereta dipandu mangsa.

Akibat pelanggaran itu, mangsa tersepit di bahagian pemandu dan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu bas ekspres hanya mengalami luka dan calar.

Sementara itu, 17 penumpang bas ekspres serta pemandu Perodua Kelisa tidak cedera.

Nur Aishah berkata, arwah suaminya sebelum ini seorang yang suka bergurau, namun sejak beberapa hari lalu berubah menjadi pendiam dan tidak menyangka perubahan itu petanda yang arwah akan meninggalkannya buat selama-lamanya.

“Saya dan arwah baharu sahaja mendirikan rumah tangga pada 13 Ogos lalu dan kini kehilangan pasangan hidup yang menjadi sandaran untuk bergantung harap, namun perlu kuat demi meneruskan hidup dan menerima qada dan qadar Allah SWT.

“Alhamdulillah, arwah juga suami sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pahi pada jam 11 pagi tadi,” katanya. HM

Kehilangan pasangan hidup selepas 19 hari berkahwin


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Karangan mengenai kemalangan, jadi kenyataan buat pelajar

Resepi Kuih Keria Antarabangsa Gula Melaka

Shila Amzah buat ‘perangai’ lagi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker