Usah berniat hisap ganja di Thailand

Usah berniat hisap ganja di Thailand

Rantau Panjang: Usah mudah terpedaya dengan ‘persona’ ganja halal di Thailand sehingga ada rakyat negara ini terutama mereka yang tinggal bersempadan dengan negara jiran itu mengambil kesempatan untuk ‘melancong sambil menghisap dadah’.

Malah, pembukaan semula pintu sempadan negara yang ditutup sebelum ini akibat pandemik Covid-19 ibarat membuka peluang kepada individu yang mungkin mempunyai niat tidak murni ke negara terbabit bagi memenuhi nafsu mereka untuk melepaskan gian.

Berikutan itu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi Unit Antidadah Sempadan (UAS) merangka strategi dalam mencegah cubaan individu untuk melakukan aktiviti serampang dua mata di Thailand.

Ini berikutan negara Gajah Putih itu menjadi negara Asia pertama yang menghapuskan ganja daripada senarai narkotiknya sekali gus membenarkan orang ramai menanam tumbuhan itu di rumah.

Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Azmi Mustafa berkata, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan kelonggaran diberikan kerajaan Thailand kerana dadah seperti ganja akan merosakkan kehidupan.

Menurutnya, mereka yang terjebak dalam penagihan dadah boleh meruntuhkan institusi keluarga dan menghancurkan komuniti.

“Ada beberapa pintu masuk utama negara iaitu melalui darat, laut dan udara di mana Rantau Panjang adalah salah satu pintu masuk utama di darat selain dua lagi di Pangkalan Kubur dan Bukit Bunga di Kelantan.

“Jika dilihat, Kelantan bersempadan dengan Thailand, maka banyak isu-isu di mana UAS berfungsi untuk menggerak dan menyebarluaskan kesedaran kepada rakyat supaya tidak terbabit dalam penagihan mahupun pengedaran dadah,” katanya kepada Harian Metro ketika membuat tinjauan di UAS Rantau Panjang di sini.

Azmi berkata, pihaknya percaya proses pengedaran dan permintaan dadah berlaku di kawasan sempadan negara dengan Kelantan mempunyai tiga pintu sempadan yang boleh disalah guna untuk tujuan penyeludupan dadah.

“Sebab itu, UAS berperanan untuk mengawal kerana kita tidak mahu dalam proses mereka membawa barang daripada negara jiran turut berlaku penyeludupan termasuk dadah.

“Kita bimbang berlaku aktiviti penyeludupan dadah berikutan pembukaan semula pintu sempadan negara. Masyarakat terutama mereka yang tinggal di sempadan jika mahu ke Thailand, biarlah dengan tujuan yang murni,” katanya.

Beliau berkata, terdapat kemungkinan rakyat menyalahguna tujuan ke Thailand dan UAS sudah merangka strategi bagi mencegahnya.

“Kita dapati keputusan Thailand menghalalkan ganja itu sudah tentu akan menarik perhatian rakyat kita untuk pergi melancong dan menyalahgunakannya (dengan menghisap ganja).

“Sebab itu, UAS berperanan mencegah dan mengurangkan keinginan mereka untuk menagih di sana sebaliknya melancong dengan gaya hidup yang sihat,” katanya.

Katanya, UAS bukan sekadar melakukan saringan ujian air kencing, tetapi paling penting kehadiran anggotanya sebagai proses pencegahan supaya rakyat negara ini tidak terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

“Kita menyebarkan risalah dan menerangkan jika mereka pergi ke Thailand untuk membuat perkara yang menyalahi undang-undang maka perlu bersedia menanggung akibatnya jika ditahan. Jika masuk ke sana untuk menjual dan berniaga ikan bilis contohnya masuklah dengan baik bukannya bawa balik ganja dan dadah lain,” katanya. HM

Usah berniat hisap ganja di Thailand


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


‘Aku Simpati Dengan Dia’ ….Hattan Simpati Dengan Ning Baizura

Hattan Tiada Masalah BBNU ‘Cover’ Lagunya, Bagi ‘Warning’ Awal-awal Tahan Telinga Jika Jahanam [VIDEO]

‘I Love Being Viral’ – Cubaan Jatuhkan Reputasi …Ning Baizura Tak Endah Kecaman [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker