Krisis dalaman parti politik harus dihentikan – Hishammuddin
Krisis dalaman parti politik harus dihentikan – Hishammuddin
Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mahu krisis pertembungan membabitkan pimpinan dalaman parti politik, termasuk UMNO, segera dihentikan.
Beliau juga berharap agar tiada pihak tertentu di semua peringkat kepemimpinan mengambil kesempatan melaga-lagakan pemimpin.
“Usaha melaga-lagakan pemimpin sama ada di dalam parti atau kerajaan mesti dihentikan.
“Selain itu, semua yang diberi tanggungjawab dengan jawatan sama ada dalam jemaah menteri atau majlis tertinggi (parti politik), mereka bertanggungjawab untuk ikhlas memastikan situasi sebegini dapat dibendung.
“UMNO dari dulu lagi tidak asing daripada situasi yang menuntut untuk rapatkan barisan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kanan Pertahanan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Stesen Udara Kota Kinabalu dan Skuadron 503 serta menyaksikan Penyerahan Helikopter Operasi Maritim kepada pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertempat di Markas Pemerintahan Armada Timur Pangkalan TLDM, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin menyifatkan perbalahan dalam kalangan pimpinan tertinggi parti politik turut memberi gambaran kepada rakyat seolah-olah parti politik terbabit adalah parti yang tidak bertanggungjawab.
“Akhirnya kita akan berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) dan rakyat akan menentukan kedudukan kita sebagai sebuah kerajaan.
“Kemudian, kita akan berdepan dengan pemilihan parti dan ahli parti akan menentukan kedudukan pimpinan tertinggi parti.
“Jadi, belum apa-apa lagi kita sudah menuduh dan berbalah sesama kita. Ia bukan sahaja tidak sihat, malah memberi mesej serta gambaran kepada orang luar bahawa kita ini macam tidak bertanggungjawab.
“Jadi, kalau mahu tanya saya secara peribadi, hentikanlah,” katanya.
Sementara itu, mengulas pertembungan sehingga mencetuskan perbalahan dalam kalangan pimpinan UMNO, Hishammuddin berkata, ia usah dilihat hanya berlaku dalam UMNO atau Barisan Nasional (BN) sahaja.
Beliau berkata, parti politik lain juga berdepan situasi sama, justeru fenomena itu tidaklah hanya berfokus kepada UMNO
“Untuk UMNO, saya yakin parti telah melalui situasi begini yang telah ditangani dengan baik sebelum hari ini dan apa yang kita telah warisi daripada pemimpin UMNO terdahulu yang mungkin terpaksa berdepan pertembungan lebih hebat.
“Tetapi ia tidak menjejaskan wadah UMNO sebagai satu parti yang boleh diharapkan orang ramai,” katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin turut ditanya pemberita mengenai pautan yang tular di laman sosial, mengenai senarai barisan kepemimpinan baharu UMNO selepas era Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.
Beliau sebaliknya menyifatkan perkara terbabit adalah perkara biasa yang terjadi, terutama ketika waktu pemilihan pemimpin tertinggi dalam parti semakin dekat.
“Apabila dekat dengan pemilihan nanti, akan banyak lagi senarai. Itu biasa daripada pengalaman saya,” katanya. BH
Krisis dalaman parti politik harus dihentikan – Hishammuddin
Baca Artikel Menarik:
- Najib jawab dakwaan Anwar
- Biadap! 12 kedai diarah tutup, promosi arak percuma kepada pelanggan Islam
- Isteri hilang selepas keluar bekerja
- Ismail lancar Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia myezycover.com
- Ekonomi global dan kenaikan harga barang – Dr Akmal Saleh
- Bapa Rogol Anak Sendiri Hampir 12 tahun Hingga Wanita Ini Anggap ‘Ayah Sudah Lama Mati’
- Rakam Video Seks Depan Panorama Indah, Pasangan ‘Buat Projek’ Atas Bangunan The Shard 72 Tingkat
- Daiyan Trisha padam video
- Tok Pa, Mas Ermieyati dan Noor Azmi saman Zahid jika berada dipihak yang benar
- Berkhalwat ketika suami keluar kerja
- Perbuatan kamu lebih teruk daripada binatang
- Kasi makan ayam bukan sebab sayang buaya – Shabery
Layari Laman Facebook MYKMU.NET