Kartel rancang tutup ladang ayam, catu bekalan

Ada kartel didakwa merancang menutup ladang ternakan ayam hujung minggu ini sebagai tanda protes kepada kerajaan. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Sekumpulan kartel industri ternakan ayam didakwa merancang menutup ladang ternakan pada Sabtu dan Ahad ini sebagai protes kepada kerajaan yang dikatakan lambat melakukan bayaran subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.

Penutupan itu bukan sahaja bakal meningkatkan harga ayam di pasaran manakala pengguna pula perlu berebut untuk mendapatkan bekalan yang dicatu oleh mereka malah turut menjejaskan operasi perniagaan pembekal

Sumber dalaman industri memberitahu Utusan Malaysia, tindakan yang didalangi sebuah persatuan itu dipercayai dalam perancangan untuk dilaksanakan dalam dua hari tersebut ba­gi memboikot kerajaan.

Malah satu pekeliling yang dikeluarkan semalam oleh sebuah syarikat ladang ternakan di Melaka kepada pembekal memaklumkan bekalan ayam akan dihentikan pada 21 hingga 22 Mei ini atas alasan ‘masalah-masalah ayam di ladang ternakan’.

Menurut sumber tersebut, stra­tegi lama ‘tangan hitam’ itu mencatu ayam di dalam pasaran sebelum ini telah gagal hingga mereka mengambil keputusan menutup ladang-ladang ayam.

“Saya percaya niat mereka adalah untuk boikot kerajaan, pengguna dan pihak lain.

“Alasan mereka lakukan itu juga adalah kerana kos dedak dan anak ayam yang semakin meningkat serta kelewatan bayaran subsidi daripada pihak berkuasa.

“Sebab strategi peladang hari ini catu atau kurangkan ayam kepada pembekal tidak berjaya. Kerajaan tak ambil peduli pun walau banyak pembekal mahupun pengguna mengadu tidak dapat bekalan ayam sepatutnya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, akhbar ini men­de­dahkan mengenai kewuju­dan kumpulan kartel yang me­ngawal harga pasaran ayam di negara ini didakwa menyebabkan harga ternakan itu tidak menentu di pasaran sejak kebe­lakangan ini.

Malah, hampir keseluruhan rantaian industri penternakan itu dikawal beberapa kartel besar yang menggunakan persatuan sebagai kaedah penyamaran perbuatan mereka.

Sumber menambah, penutupan ladang ternakan ayam itu akan menyebabkan pasaran tidak lagi dapat menampung permintaan pengguna kerana rantaian akan terputus sepenuhnya apabila ia berlaku.

Jelasnya, pembekal terpaksa mengikut kenaikan dari ladang lalu menyebabkan penjual terpaksa jual dengan harga tinggi kepada pengguna walaupun antara tiga komponen itu sudah melebihi harga kawalan.

“Sebelum ini ada kenaikan tapi sejak seminggu dua ini kenaikan mendadak sehingga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) banyak saman kami. Saman itu juga tinggi dan melampau.

“Maksud di sini apa yang peladang nak beritahu sebenarnya adalah kenaikan harga itu dise­babkan kos bela ayam.

“Punca masalah adalah satu dunia, banyak negara mula berhenti eksport gandum dan jagung sedangkan sebelum ini jika dua barangan itu tidak berkualiti ia akan menyebabkan tumbesaran ayam terbantut,” jelasnya.

Tambahnya, ia kini bukan lagi isu atau masalah mengenai harga tetapi lebih kepada bekalan makanan asas masyarakat negara yang bakal terputus lalu menghuru-harakan pasaran industri negara.

“KPDNHEP perlu selesaikan masalah ini sebenarnya tapi mereka hanya mahu jadi ‘juara’ untuk kekalkan harga murah tanpa selesaikan masalah induk kepada penternak. Kerugian demi kerugian penternak harus tanggung.

“Mungkin ini masanya untuk mereka buat sesuatu agar kerajaan tahu akan masalah utama dan mula ambil serius. Jika tidak perang antara peladang dan pihak berkuasa akan terus berlanjutan, korbannya rakyat biasa,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga di Pasar Borong Selayang, turut khuatir akan tindakan yang bakal diambil oleh peladang kerana secara tidak langsung akan menjejaskan operasi perniagaan mereka lalu memaksa mereka untuk meningkatkan harga jualan ayam.

“Kerajaan perlu menghentikan protes peladang-peladang ini, ajak mereka berbincang untuk mendengar apa masalah yang mereka hadapi sehingga mengambil keputusan ini. Jika tidak huru-hara negara hilang sumber makanan asas.

“Malah, jika perkara itu terjadi permintaan di pasaran akan meningkat tetapi tiada bekalan untuk memenuhi permintaan tersebut. Akhirnya, harga melambung tinggi, sekarang ni pun kami sudah sering dimarahi kerana harga ayam mahal jika perkara tersebut benar-benar terjadi bagaimana kita nak hadapi?,” soalnya. – UTUSAN

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


DJ Dave Menyanyikan Lagu Raya Untuk Pandalela Di Hanoi

Farahdhiya tayang paha sebaik habis Ramadan

Gambar MK K-Clique berkahwin cetus huru-hara

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker