India haram eksport gandum

India haram eksport gandum

India mengharamkan eksport gandum berkuat kuasa serta-merta pada Sabtu (14 Mei), hanya beberapa hari selepas mensasarkan rekod penghantaran tahun ini, ketika gelombang panas terik mengekang pengeluaran dan harga tempatan mencecah paras tertinggi sepanjang masa di tengah-tengah permintaan eksport yang kukuh.

Bagaimanapun, kerajaan masih membenarkan eksport untuk surat kredit yang telah dikeluarkan dan atas permintaan negara yang cuba “memenuhi keperluan keselamatan makanan mereka”.



Pembeli global bergantung pada pengeluar gandum kedua terbesar dunia untuk bekalan selepas eksport dari rantau Laut Hitam menjunam berikutan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine pada akhir Februari.

Sebelum larangan itu, India mensasarkan untuk melakukan penghantaran 10 juta tan tahun ini.

Larangan India boleh menaikkan harga global ke puncak baharu dan menjejaskan pengguna miskin di Asia dan Afrika.

“Larangan itu mengejutkan,” kata sebuah firma perdagangan global yang berpangkalan yang menjangkakan sekatan ke atas eksport selepas dua hingga tiga bulan, tetapi nampaknya angka inflasi mengubah keputusan Kerajaan India.



Kenaikan harga makanan dan tenaga mendorong inflasi runcit tahunan India naik ke paras tertinggi lapan tahun pada April, mengukuhkan pandangan ahli ekonomi bahawa bank pusat perlu menaikkan kadar faedah dengan lebih agresif untuk mengekang harga.

Harga gandum di India telah meningkat kepada rekod tertinggi, di beberapa pasaran spot sehingga setinggi 25,000 rupee (AS$322.71 atau kira-kira RM1,418.96) setiap tan berbanding harga sokongan minimum yang ditetapkan kerajaan sebanyak 20,150 rupee.

Awal minggu ini, India menggariskan sasaran eksport rekodnya untuk tahun fiskal 2022/23 yang bermula pada 1 April, sambil menambah ia akan menghantar delegasi perdagangan ke negara-negara seperti Maghribi, Tunisia, Indonesia dan Filipina untuk meneroka cara meningkatkan lagi penghantaran.

Tetapi kenaikan suhu yang mendadak dan memuncak pada pertengahan Mac bermakna saiz tanaman mungkin lebih kecil daripada jangkaan iaitu sekitar 100 juta tan atau lebih rendah, kata peniaga yang berpangkalan di New Delhi berbanding anggaran tinggi semasa kerajaan sebanyak 111.32 juta tan.



“Perolehan kerajaan telah jatuh lebih daripada 50%. Pasaran tempatan mendapat bekalan jauh lebih rendah berbanding tahun lepas. Semua perkara ini menunjukkan tanaman yang lebih rendah,” kata peniaga itu.

Pada bulan April, India mengeksport rekod 1.4 juta tan gandum dan perjanjian telah ditandatangani untuk mengeksport sekitar 1.5 juta tan pada bulan Mei.

“Larangan India akan menaikkan harga gandum global. Buat masa ini, tiada pembekal besar dalam pasaran,” kata peniaga itu. – Reuters

India haram eksport gandum




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


TMJ jawab punca JDT rai kemenangan seperti final



Tony Fernandes dan Kamarudin terima gaji lebih RM14j tahun lalu

Khir Toyo ziarah Hamid Gurkha



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker