Uncle Kentang rayu negeri lain contohi DBKL

PUCHONG – Aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng merayu pemimpin kerajaan di negeri lain mencontohi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di bandar raya mulai esok.

Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, wabak koronavirus (Covid-19) yang menular bukan sahaja di negara ini, malah di seluruh dunia menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan dan terputus sumber kewangan.

Menurutnya, ia menyebabkan ramai orang terpaksa mencari duit dengan berniaga secara kecil-kecilan.



“Saya ucapkan tahniah kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa kerana memberi peluang kepada mereka yang ingin berniaga di tepi jalan untuk mendapatkan lesen secara percuma.

“Sayangnya di negeri lain saya masih belum nampak pemimpin yang menerajui pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membenarkan inisiatif itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Chee Heng berkata, pemberian lesen atau permit sementara kepada penjaja kecil adalah salah satu usaha bagi sama-sama mengharungi situasi sukar akibat Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, PBT masih perlu membuat pemantauan selepas memberi lesen sementara tersebut kepada peniaga.



“Ini adalah cara kita diajar sedari kecil iaitu mempermudahkan orang lain dan juga memberi kemudahan kepada mereka yang ingin mencari rezeki halal.

“Saya rasa kita harus sama-sama mengharungi Covid-19 ini dengan memberi lesen sementara mungkin untuk tempoh enam bulan atau satu tahun kerana ramai hilang kerja.

“Mereka yang terjejas ini ada mulut yang perlu disuap di rumah, ada bayi yang memerlukan susu dan lampin pakai buang, malah ada juga mempunyai ibu bapa terlantar sakit yang perlu ditanggung. Permudahkanlah,” katanya.

Chee Heng berkata, kelulusan permit sementara itu perlu dipertimbangkan bukan sahaja berlandaskan lunas undang-undang, malah dari segi keagamaan dan kemanusiaan.



“Mengapa kita harus menyukarkan mereka? Saya sarankan kalau ada yang minta lesen berniaga dalam 10 minit, kita selesaikan. Saya merayu pemimpin semua tolonglah permudahkan mereka yang dalam keadaan sukar ini.

“Hidup ini adalah sementara, kita permudahkan mereka yang bukan ingin mencari kekayaan tetapi hanya nak menyuap anak-anak makan, bayar sewa rumah, bayar ansuran kereta atau motosikal,” katanya lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan DBKL memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai di bandar raya mulai esok.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, peniaga perlu memohon lesen perniagaan sementara yang sah selama enam bulan di laman web DBKL yang ditawarkan secara percuma.



“Mulai Ahad, 15 November ini (esok), Kuala Lumpur akan menjadi ‘Wilayah Bebas Berniaga’ – SH

“Bapa OKU, anak pula curi kerusi roda bapa..” – Uncle Kentang Sebak [ VIDEO ]



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker