M40 wajar dapat pelepasan cukai istimewa

SHAH ALAM – Kumpulan M40 khususnya mereka yang terjejas pendapatan ekoran pandemik Covid-19 wajar diberi pelepasan cukai pendapatan istimewa oleh kerajaan dalam Bajet 2022.

Inisiatif berkenaan akan meningkatkan pendapatan boleh guna golongan itu ketika tempoh pemulihan ekonomi negara sekali gus mengurangkan bebanan mereka.

Pakar Percukaian, Dr Veerinderjeet Singh berkata, pelepasan cukai istimewa itu dicadangkan diberikan antara RM2,000 ke RM3,000 untuk tempoh setahun atau dua tahun.

“Dalam keadaan sekarang pelepasan cukai istimewa mungkin boleh diberikan kepada golongan M40 ini tetapi ia hanya untuk golongan yang terjejas seperti yang mengalami pengurangan pendapatan.

“Ia kerana pelepasan cukai ini juga akan memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan akibat kehilangan pendapatan jutaan ringgit selain defisit negara juga akan bertambah,” katanya kepada Sinar Ahad.

Kelompok M40 sebelum ini mendakwa mereka sering tercicir daripada mendapat bantuan kerajaan dalam pembentangan belanjawan saban tahun.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, M40 ialah golongan kelas pertengahan yang menerima pendapatan bulanan antara RM4,850 dan RM10,959.

Mengulas lanjut, Veerindejeet berkata, berdasarkan laporan ekonomi yang dikeluarkan sebelum ini, didapati hanya 16 peratus atau tidak sampai tiga juta individu yang membayar cukai di negara ini.

Beliau berkata, situasi itu menunjukkan asas percukaian negara juga tidak besar dan tidak banyak inisiatif yang boleh digunakan kerajaan untuk membantu M40 dari segi percukaian.

Justeru, untuk terus membantu kelompok M40, Veerinderjeet berkata, kerajaan boleh memberikan bantuan yang diperlukan mereka.

“Misalnya bagi M40 yang hilang kerja, kerajaan boleh berikan kursus, latihan semula dan platform cari kerja agar mereka dapat pekerjaan baharu.

“Bantuan seperti moratorium bayaran balik pinjaman juga boleh diteruskan selain bantuan lain,” ujarnya.

Senada dengan Veerinderjeet, Tokoh Kewangan Islam, Profesor Dr Zaharuddin Abd Rahman yang berpendapat pelepasan cukai adalah satu inisiatif jangka pendek yang amat disukai dan dialu-alukan oleh golongan M40.

“Ia amat diharapkan kerana pendapatan boleh gunanya akan bertambah kerana cukai yang perlu dibayar berkurang.

“Kerajaan juga boleh memasukkan beberapa elemen yang boleh ditolak daripada cukai seperti untuk pendidikan dan penggunaan teknologi hijau,” katanya.

Zaharuddin menjelaskan, elemen teknologi hijau adalah salah satu kaedah baharu yang boleh ditolak daripada cukai dan pada masa sama menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup lestari.

Katanya, kumpulan M40 menjadi antara golongan yang menggunakan tenaga elektrik yang tinggi setiap bulan disebabkan penggunaan penyaman udara dan banyak barangan elektrik lain.

“Jadi, kalau ada kumpulan M40 ini yang memasang tenaga solar misalnya untuk jimatkan tenaga elektrik, kos pemasangan itu mungkin boleh ditolak daripada cukai kerana kosnya agak tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga wajar menyediakan peruntukan khas untuk memberikan latihan dan pendedahan kepada pengurusan wang yang bertanggungjawab, berhemah dan berkesan kepada golongan M40.

Menurutnya, ia berikutan statistik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menunjukkan kadar literasi kewangan yang rendah menjadi salah satu punca menyebabkan ramai rakyat negara ini tenggelam dalam masalah hutang dan bebanan kos perubatan.

“Kalau kita lihat statistik kira-kira 75 peratus rakyat Singapura tahu cara mengurus kewangan dengan berkesan manakala di Malaysia hanya 25 peratus ke 30 peratus rakyat yang tahu mengurus kewangan mereka dengan berkesan.

“Jadi, pendedahan kepada literasi kewangan inilah yang sebenarnya diperlukan M40 sebab bila mereka ini (M40) gagal urus kewangan dengan baik, maka dia boleh jatuh ke kategori B40 atau kalau dia cekap dalam pengurusan, dia boleh naik dalam kategori T20,” ujarnya.

Zaharuddin menegaskan, pengurusan kewangan itu merangkumi cara untuk berjimat atau berhemah dalam menguruskan hutang dan tidak menambah hutang yang tidak perlu.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pengecualian cukai jualan kereta, HOC mungkin dilanjut dalam Bajet 2022

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker