Ganja perubatan: Jawatankuasa fatwa perlu muzakarah – exco Pahang

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam perlu bermuzakarah mengenai isu ganja perubatan, kata exco perladangan dan komoditi Pahang Sharkar Shamsudin.

“Memandangkan Islam agama persekutuan, pihak jawatankuasa fatwa kebangsaan, mereka perlu bersidang untuk mempertimbangkan perkara ini dengan serius, bahawa walaupun ada sisi negatif tetapi perlukan penilaian sudut positif dari segi perubatan itu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Dia juga mengambil maklum setakat ini, cuma Mufti Pulau Pinang Dr Wan Salim Mohd Noor yang memberikan pendapat bahawa penggunaan tumbuhan semula jadi seperti ganja dalam perubatan adalah harus jika tidak mengancam keselamatan.

“Kalau kita boleh menjusifikasikan bahawa kegunaannya untuk perubatan dan dari segi hukumnya dibenarkan, saya fikir kenapa tidak (digunakan),” soal Sharkar.

Sharkar yang turut memegang potfolio pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar Pahang berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pertemuan rasmi Kaukus Ganja dan Ketum Perubatan Parlimen bersama Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada 12 April lalu.

Menurut kenyataan kaukus ahli parlimen rentas parti itu, Ismail Sabri dalam perjumpaan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah memberikan maklum balas positif terhadap cadangan mereka dan akan membawa perkara itu dalam mesyuarat kabinet.

Kaukus itu terdiri daripada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar), Azalina Othman Said (BN-Pengerang), Khalid Abd Samad (PH-Shah Alam), Dr Xavier Jayakumar (Bebas-Kuala Langat), Ignatius Darell Leiking (Warisan- Penampang), Kelvin Yii (PH-Bandar Kuching) dan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah).

Sementara itu, Sharkar berkata selain data berasaskan kajian saintifik, fatwa ulama penting untuk mendidik masyarakat mengenai ganja perubatan.

Katanya, perkara itu boleh membuatkan masyarakat terkejut.

“Anda kena faham, ada orang kena hukum mati sebab ganja. Tiba-tiba kita nak halalkan ganja ini pula,” katanya.

Jelasnya, masyarakat perlu dididik mengenai ganja bagi tujuan perubatan dan banyak negara di dunia telah menghalalkan penggunaannya.

“Kena didik masyarakat bahawa ada masa untuk maju ke hadapan, mencari alternatif baru dalam dunia perubatan dengan ujian klinikal kesihatan dan juga penggunaan herba dan sebagainya.

“Sebab perkara ini terbukti di negara-negara yang telah menggunakannya. Ia ada kesan positif. Banyak kesan positif daripada negatif untuk perubatan,” katanya.

“Kerajaan kena melihat perkara ini dalam bigger picture, maknanya melihat ganja ini bukan sekadar benda yang memabukkan tetapi juga boleh menjadi penawar perubatan terhadap penyakit-penyakit tertentu.

“Dunia perubatan ini sangat progresif. Maknanya kita melihat alternatif-alternatif baru yang ia boleh menyembuhkan penyakit,” katanya lagi.

Seperti kawal ubat farmasi

Menurut Sharkar, melalui seliaan peraturan masalah penyalahgunaan ganja akan dapat dikawal, sebagaimana kerajaan dapat mengawal dengan baik penjualan ubat-ubatan di farmasi.

“Tapi kita kena kawallah. Penyalahgunaan kena kawal. Orang tanam barli buat arak. Orang tanam beras pun boleh buat arak. Memabukkan. Jadi kena kawallah,” katanya.

Selain kaukus parlimen rentas parti, terdapat juga inisiatif serupa yang digerakkan Ahli Parlimen Padang Besar Zahidi Zainul Abidin bersama Pusat Racun Negara selain beberapa NGO dan syarikat swasta.

Suruhanjaya Dadah Narkotik (CND) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengklasifikasikan semula ganja sebagai “dadah yang kurang berbahaya” dan mengeluarkannya daripada senarai dadah yang boleh membunuh dan mewujudkan ketagihan.

Sidang yang ke-63 di Austria, pada 2 Disember 2020 bersetuju menerima usul untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis daripada Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 pindaan Protokol 1972 (Konvensyen 1961).

“(Sebanyak) 53 negara anggota CND memilih untuk membuang ganja (daripada jadual itu) yang selama 59 tahun dikawal secara ketat, bahkan sampai ke tahap tidak menggalakkan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan,” kata Suruhanjaya Dadah Narkotik PBB itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Lembaga Narkotik Thailand pada 25 Jan lalu berkata ia akan mengeluarkan ganja daripada senarai dadah, membuka jalan kepada orang ramai untuk menanam tumbuhan itu di rumah bagi kegunaan sendiri.

Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang menghalalkan ganja pada 2018 untuk kegunaan perubatan dan penyelidikan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker