Buat perintah cerai, nafkah serentak – Ismail

Buat perintah cerai, nafkah serentak – Ismail

Kerajaan bersetuju mencadangkan supaya hakim Mahkamah Syariah membuat perintah secara serentak bagi permohonan perceraian dan urusan tuntutan nafkah untuk isteri dan anak-anak.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bagi mengelakkan masa yang terlalu lama diambil untuk menyelesaikan isu itu sehingga bekas isteri dan anak-anak tidak mendapat keadilan.

“Sekarang ini satu persatu bawa ke mahkamah untuk selesaikan kes perceraian. Selepas diputuskan perceraian baru bawa sekali lagi untuk nafkah. Ia kadang-kadang memakan masa yang lama.

“Sebab itu kita bersetuju mencadangkan supaya dibawa terus dua-dua serentak, perceraian dan juga (tuntutan) nafkah untuk isteri dan anak-anak. Jika ini dapat dilakukan maka cepatlah urusan yang lebih besar, selain daripada perceraian adalah urusan nafkah anak dapat disegerakan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan wakil Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) bagi membincangkan isu membabitkan undang-undang syariah.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga mencadangkan pembayaran terus nafkah anak daripada akaun akan dilaksanakan segera membabitkan penjawat awam berdasarkan keputusan yang dibuat oleh mahkamah.

Beliau berkata mahkamah mempunyai peruntukan untuk mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap majikan yang enggan membuat potongan gaji kakitangan secara terus untuk tuntutan nafkah daripada akaun pekerja.

“Seperti yang saya umumkan pada Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini, akaun suami perlu dibekukan untuk membuat bayaran terus melalui akaun bank bekas isteri dan anak-anak.

“Kita juga minta Mahkamah Syariah tegas kepada mana-mana suami yang ingkar terhadap keputusan mahkamah, mahkamah mesti mengeluarkan perintah penghinaan mahkamah supaya tindakan perundangan seterusnya boleh diambil terhadap suami,” tambahnya.

Sehubungan itu Ismail berkata beliau akan berbincang dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia untuk mengarahkan bank-bank mengambil tindakan mengenai pembayaran nafkah yang ditetapkan oleh Mahkamah Syariah.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan penubuhan Pusat Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) yang bermatlamat untuk memastikan umat Islam di negara ini terutamanya golongan B40 diberi akses kepada keadilan khususnya di Mahkamah Syariah.

Beliau berkata BAGUS berteraskan kepada dua perkhidmatan asas iaitu memberi khidmat nasihat undang-undang secara percuma kepada masyarakat Islam yang ingin mendapatkan nasihat perundangan berhubung proses dan prosedur tuntutan dan menjawab tuntutan mal di Mahkamah Syariah.

Selain itu, pusat berkenaan juga menyediakan khidmat bantuan guaman secara percuma iaitu mewakili pihak-pihak untuk membuat tuntutan atau menjawab tuntutan di Mahkamah Syariah dengan kos yang minimum, yang akan dibiayai oleh kerajaan.

“Kita nak pastikan setiap ibu atau bekas isteri apabila ke mahkamah mesti mempunyai peguam bagi mendapatkan keadilan yang lebih baik kepada mereka. Untuk itu saya meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta sebagai permulaan untuk menggerakkan pusat bantuan guaman ini,” katanya.

Untuk permulaan, BAGUS akan dimulakan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai projek rintis sebelum diperluaskan ke negeri-negeri lain. FMT

Buat perintah cerai, nafkah serentak – Ismail


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Cara Mudah Trace Semula Password

3 jahanam PAS: Surat terbuka buat Tuan Ibrahim

Segalanya Tentang Perempuan Itu, Zul Ariffin Dan Siti Hariessa

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker