Bekas Majistret makan rasuah dipenjara 58 tahun denda RM1.05 juta

Bekas majistret, Mohamad Amin Shahul Hamid dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 58 tahun dan denda RM1.05 juta terhadap seorang bekas majistret, selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan meminta dan menerima suapan daripada seorang peniaga kira-kira dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain juga memerintahkan Mohamad Amin Shahul Hamid, 41, menjalani hukuman penjara tambahan 72 bulan, jika tertuduh yang sebelum ini berkhidmat di Lipis dan Raub, gagal menjelaskan denda tersebut.

Bagaimanapun, Zamzani membenarkan semua hukuman penjara berjalan serentak, bermaksud tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 12 tahun, selain membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda kerana ingin merayu di Mahkamah Tinggi.

Bagi tujuan itu, mahkamah menetapkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dinaikkan menjadi RM50,000, selain syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dilanjutkan sehingga selesai rayuan.



Zamzani dalam penghakimannya berkata, pembelaan tertuduh diberikan secara bersumpah hanya berbentuk pemikiran semula dan penafian kosong yang gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap semua pertuduhan.

Setelah meneliti keterangan dan hujahan pihak terlibat, katanya, mahkamah memutuskan keterangan semua 15 saksi pendakwaan, terutamanya saksi terakhir, iaitu peniaga Hassan Basri Ahmad Sutan Modo (SP15) yang didakwa memberi suapan itu, sebagai saksi boleh dipercayai dan utuh.

“Keterangan tertuduh bahawa dia berada dekat dengan kedai SP15 pada 22 Okt 2019 untuk membeli air adalah kali pertama didengari mahkamah di peringkat pembelaan. Perkara ini tidak pernah dicadangkan atau dibangkitkan mana-mana saksi pendakwaan.

“Keterangan kecederaan dialami tertuduh juga tidak pernah dibangkitkan atau dicadangkan kepada pegawai penyiasat. Mahkamah juga dapati hujahan pembelaan bahawa keterangan lisan tertuduh tidak pernah bersetuju meminta atau menerima rasuah tidak berasas, tidak munasabah dan tidak diterima.



Tertuduh didakwa meminta suapan berjumlah RM100,000 dan menerima suapan bernilai RM110,000 daripada Hassan Basri di sekitar Lipis dan Raub antara 5 Julai hingga 22 Okt 2019, yang didakwa sebagai dorongan untuk hanya mengenakan hukuman denda dan bukan penjara terhadap lelaki itu yang didakwa memiliki rokok seludup.

Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam S Meheraj yang hadir mewakili peguam tertuduh RSN Rayer, merayu mahkamah menjatuhkan hukuman minimum atas alasan tertuduh memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM, selain tidak memiliki rekod kesalahan lampau dan menghidap asma.

“Tertuduh juga telah digantung kerja dari 2019 dan kini menerima separuh gaji. Bagi menampung kehidupan, dia membantu bapa saudaranya mengusahakan bendang di Sungai Petani, Kedah.”



Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran perlu diberikan kerana kes itu melalui perbicaraan penuh, selain tertuduh membuat persediaan untuk melakukan jenayah.

Selain itu, sikap tertuduh yang tidak menggunakan orang tengah, sebaliknya berjumpa SP15 sendiri untuk mengutip wang menunjukkan dirinya tidak mempunyai perasaan “segan”, selain tamak kerana melihat peluang untuk memeras ugut mangsa, selepas mengetahui SP15 dituduh buat kali kedua.

“Tertuduh sanggup menelefon SP15 dan menjual nama Pengarah Pendakwaan Pahang dan mengugut SP15 akan dipenjarakan, jika tidak membayar suapan. Tertuduh boleh diibaratkan ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Tertuduh telah memalukan sistem kehakiman dan penjawat awam.”

 



Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]



Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Mahathir, Anwar & Hadi sudah tidak releven dalam politik negara



Muafakat Nasional kemungkinan terkubur kerana ego PAS

Memalukan! Tiga wanita bergelek di majlis akhir tahun sekolah tahfiz [VIDEO]

Rafizi tidak mahu ‘langgar’ Anwar kerana mahu parti stabil

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker