Lelaki mati ditetak selepas tunjuk kemaluan

Alor Gajah: Seorang lelaki mati ditetak dalam pergaduhan dengan beberapa lelaki di pekarangan rumah di Taman Pengkalan Indah, di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris berkata, dalam kejadian 9 malam itu, mangsa berusia 25 tahun dan bekerja sebagai pemandu lori serta seorang rakannya datang ke rumah seorang penduduk taman berkenaan sebelum memulas pendikit motosikal hingga menyebabkan bunyi bising.

Beliau berkata, selepas membuat bising, mereka beredar, tetapi datang semula selang beberapa minit kemudian dan mengulangi perbuatan sama sambil mengeluarkan kata-kata kesat dan beredar selepas itu.

“Wanita yang menghuni rumah berkenaan menghubungi dua abangnya dan selepas tiba, mereka menutup pintu pagar rumah.

“Bagaimanapun, mangsa dan rakannya datang semula dan bertengkar dengan kedua-dua abang wanita terbabit sebelum melemparkan topi keledar dan parang ke halaman rumah itu,” katanya.

Beliau berkata, pertengkaran itu berlarutan hingga mangsa dipercayai menunjukkan kemaluannya kepada wanita terbabit.

Katanya, ia menyebabkan pertengkaran itu bertukar menjadi pergaduhan menggunakan parang dan mangsa serta rakannya dikejar sejauh 80 meter.

“Seorang daripada abang wanita terbabit dipercayai menetak badan mangsa dengan parang manakala rakan mangsa berjaya melarikan diri.

“Dalam keadaan berlumuran darah, mangsa sempat melarikan diri ke pekarangan rumah seorang penduduk dan seorang lelaki penghuni rumah berkenaan yang mengenali mangsa segera menunggang motosikal ke rumah mangsa untuk memberitahu isteri mangsa mengenai kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, isteri mangsa bergegas memandu kereta ke rumah lelaki terbabit sebelum membawanya ke Hospital Alor Gajah, tetapi mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

Menurutnya, berikutan itu, polis menahan sembilan lelaki berusia antara 20-an hingga 50-an di sekitar bandar ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.-HM

Related Articles

One Comment

  1. Dah banyak insiden bekaitan mengenai ekzos bising nie. Jadi tak hairan kalau pekara nie akan berlaku lagi di masa hadapan kalau tiada tindakan tegas dilakukan. Di tempat saya, bilangan samseng jalanraya nie semakin bertambah, macam tiada apa2 tindakan diambil ke atas mereka walau pun perbuatan mereka nie terang2 melanggar undang2. Kalau buat operasi, senang2 boleh cekau dan sita 10-15 buah motor.

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker