Kebun haram Cameron Highlands, pegawai daerah akui pantau tetapi tidak kerap

CAMERON HIGHLANDS: Kebun sayur yang terbabit tanah runtuh mengakibatkan lima mangsa maut di Batu 59, Blue Valley di sini, diusahakan secara haram sejak lebih setahun lalu.

Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman, berkata kebun seluas 4.31 hektar di kawasan Hutan Simpan Sungai Wi D itu pernah disita Jabatan Perhutanan pada April tahun lalu, selain pengusahanya turut pernah ditahan sebelum ini.

Beliau berkata, pemilik kebun berusia 33 tahun itu pernah melalui proses sitaan pada 10 April 2023 selepas dikesan mengusahakan kebun di situ sebelum ditahan pada 14 April kerana melanggar peruntukan Seksyen 81 Akta Perhutanan Negara 1984.



Menurutnya, pemilik kebun itu sebelum ini ada mengemukakan permohonan permit penggunaan hutan kepada Pejabat Perhutanan bagi membuka kebun di situ namun permohonan itu ditolak kerana semakan mendapati nilai kecerunan kawasan lebih daripada sepatutnya.

“Permohonan mereka ditolak sebab ketika kecerunan dinilai, ia tidak sesuai kerana dikategorikan cerun kelas tiga atau empat yang membabitkan nilai melebihi 35 darjah dan kerana itu permohonan permit penggunaan hutan untuk tanaman sayur mereka tidak disokong.

“Selepas sitaan pada April lalu, pemantauan di kawasan itu dibuat secara berkala namun tidak kerap. Mungkin memandangkan untuk ke kebun itu memerlukan perjalanan masuk sedikit ke kawasan dalam maka mereka mengambil kesempatan itu untuk mengusahakan kebun terbabit secara tidak sah,” katanya di sini semalam.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Azri Ramli dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi.



Katanya lagi, pengusaha berkenaan juga turut menggajikan pekerja yang merupakan pemegang kad UNHCR di negara yang sepatutnya tidak boleh digajikan, justeru beliau menyerahkan perkara itu kepada agensi berkaitan mengikut kesesuaian bidang kuasa perundangan masing-masing.

“Selepas daripada operasi mencari dan menyelamat (SAR) ini selesai, maka kerja-kerja yang di luar daripada kawasan ini akan dilaksanakan bersekali dengan jabatan-jabatan lain yang membabitkan kepentingan bersama.

“Ia termasuk mengenai penggunaan pekerja asing tanpa permit atau penggunaan pekerja asing yang tidak sewajarnya untuk diambil bekerja. Penguatkuasaan secara bersepadu dan menyeluruh itu juga nanti yang membolehkan kita kenal pasti bilangan sebenar pekerja pemegang kad UNHCR di kawasan itu,” katanya.

Dalam pada itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) semua mangsa tertimbus ditamatkan petang semalam selepas dua mangsa terakhir ditemukan.



Penemuan mayat masing-masing pada jam 6.10 petang dan 6.50 petang tadi dengan selang lima meter, menjadikan semua mangsa sudah ditemukan.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET



Fizz Fairuz dikecam teruk, Almy Nadia ucap selamat berjaya

Saya anak yang tidak diinginkan – Zainal Abidin



Suara wanita mengaji selepas hantar jenazah

Adegan panas di dalam bilik mandi, Shukri Yahaya mohon maaf



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker