Wan Saiful dibidas tidak matang dan bersikap keanak-anakan

PETALING JAYA – Tindakan Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang beberapa kali membuat kenyataan bahawa partinya memberi sokongan bersyarat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah bersifat tidak matang.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, Wan Saiful perlu mendapat kepastian daripada partinya sama ada mahu terus menyokong kepimpinan Ismail Sabri atau tidak.

“Membuat kenyataan berulang kali bahawa sokongan Bersatu terhadap Perdana Menteri adalah bersyarat tidak membawa apa-apa kebaikan kepada kestabilan politik nasional mahu pun kerajaan hari ini.

“Dia mendakwa Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri atas sokongan Bersatu dan bukannya UMNO juga tidak tepat kerana jawatan itu didokong ahli-ahli Parlimen dalam UMNO, Bersatu, Pas, Gabungan Parti Sarawak dan lain-lain ahli Parlimen,” jelasnya melalui satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, Bersatu sahaja tidak cukup untuk mengangkat Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Sama juga seperti Bersatu sahaja tidak mampu mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

Justeru katanya, Bersatu dan semua pihak perlu sedar kedudukan Ismail Sabri didokong oleh pelbagai parti dan bukannya satu parti sahaja.

“Sudah tentu sokongan Bersatu kepada Ismail Sabri bersyarat seperti mana juga sokongan UMNO kepada Muhyiddin suatu ketika dahulu. Jika Wan Saiful merasakan Bersatu tidak lagi mahu menyokong Ismail Sabri maka mereka boleh mengumumkan keputusan tersebut.

“Jika Bersatu berpendapat kerajaan ini perlu kekal sehingga tamat tempoh, maka orang seperti Wan Saiful perlu bertindak seperti pemain politik yang matang, bukannya bersikap keanak-anakan, marahkan nyamuk kelambu dibakar,” katanya lagi.

Setakat ini katanya, Perdana Menteri telah sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara di sebalik kekangan kewangan kerajaan dan tekanan politik pelbagai pihak yang berkepentingan.

“Tentulah dalam kempen pilihan raya negeri Johor ini, Bersatu rasa tersepit dan terhimpit dengan keputusan UMNO untuk tidak bekerjasama.

“Namun ini bukan isu baharu. Sebelum Bersatu menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri pun UMNO telah membuat keputusan menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya.

“Faktor ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyerang Perdana Menteri. Kata orang jangan lain yang bengkak, lain pula yang bernanah,” ujarnya

Wan Saiful dibidas tidak matang dan bersikap keanak-anakan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Shahrol Shiro bakal ambil tindakan undang-undang

Jong-un dirakam berjalan tempang [VIDEO]

Pakar tangkap ular kritikal dipatuk tedung selar [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker