Akaun bank diguna sindiket menipu di Facebook, 2 ditahan



Akaun bank diguna sindiket menipu di Facebook, 2 ditahan

Alor Setar: Dua lelaki ditahan polis selepas disyaki dijadikan ‘keldai akaun’ sindiket penipuan jual beli kamera melalui sebuah laman sesawang beli-belah dengan menjalankan urus niaga di laman sosial Facebook (FB).

Difahamkan, kedua-dua lelaki itu mulanya berurusan dengan sindiket itu bagi tujuan pinjaman wang, namun tidak menyedari mereka diperdaya selepas menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kepada sindiket itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kedua-dua lelaki itu diminta mengepos kad ATM mereka kepada satu alamat sebelum akaun bank mereka digunakan pihak lain untuk kemasukan wang bagi tujuan menipu.

Beliau berkata, semua maklumat perbankan seperti kata laluan perbankan internet dan maklumat keselamatan turut diserahkan kepada sindiket itu kononnya sebagai syarat membuat permohonan pinjaman wang secara dalam talian.




“Selepas kad ATM diposkan, sindiket ini akan menjual pula kad ATM ini kepada mana-mana sindiket seperti Sindiket Macau Scam, Love Scam, pelaburan tidak wujud, pinjaman wang tidak wujud dan penipuan belian secara dalam talian.

“Kedua-dua lelaki ini hanya menyedari kad ATM mereka digunakan untuk kemasukan wang penipuan selepas dihubungi polis atau pihak bank menyekat akaun mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, kedua-dua lelaki itu ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar secara berasingan di sekitar daerah ini, hari ini, bagi membantu siasatan.

Katanya, dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dengan mendorong supaya harta diserahkan yang membawa kepada hukuman dari 10 tahun dan dengan sebat, dan boleh juga dikenakan denda.

Ahmad Shukri mengingatkan orang ramai supaya tidak sesekali menyerahkan maklumat kad ATM atau maklumat bank kepada orang lain yang tidak dikenali bagi mengelak disalahgunakan.




Sebelum, membuat sebarang bayaran orang ramai boleh membuat semakan status akaun di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my>semakmule.

Sebarang kemusykilan atau pertanyaan, orang ramai bolehlah menghubungi CCIS Response Centre di talian 03-26101559 / 1599. HM

Akaun bank diguna sindiket menipu di Facebook, 2 ditahan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET





Shahrol Shiro bakal ambil tindakan undang-undang

Jong-un dirakam berjalan tempang [VIDEO]

Pakar tangkap ular kritikal dipatuk tedung selar [VIDEO]



Leave a Reply

Your email address will not be published.