Keluarga Shebby ucap terima kasih atas penghormatan dan kasih sayang
Sonuljit (kiri)
Keluarga Shebby ucap terima kasih atas penghormatan dan kasih sayang
Anak lelaki kepada mendiang Shebby Singh memaklumkan keluarganya terharu dengan penghormatan dan kasih sayang yang ditunjukkan rakyat Malaysia terhadap kejadian yang menimpa bapanya, semalam.
Sonuljit Singh, 32, bagaimanapun berkata, dia mewakili seluruh keluarga meminta semua pihak dapat memberi ruang kepada mereka dalam berdepan kejadian yang cukup menyedihkan itu.
“Saya dan keluarga berterima kasih kepada semua, khususnya kasih sayang dan penghormatan yang ditunjukkan di media sosial, itu satu perkara yang baik untuk dilihat.
“Saya juga berharap semua pihak dapat memberi kami ruang untuk berdepan keadaan sukar ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.
Shebby, 62, atau nama sebenarnya, Serbegeth Singh yang meninggal dunia ketika sedang berbasikal petang semalam meninggalkan balu, Harbans Kaur, 62, dan dua orang anak, Sonuljit dan kakaknya, Natassha Kaur, 36.
Tambah Sonuljit, mayat mendiang bapanya akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk diuruskan mengikut adat dan tradisi masyarakat Punjabi.
“Mayat mendiang akan diuruskan secara pembakaran, jadi pada masa ini keluarga sudah buat keputusan untuk membawa mayat mendiang ke Kuala Lumpur. Kerana lebih 40 tahun dia menetap di sana, membina karier dan bermain bola sepak di sana, jadi kesemua majlis akan diadakan di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Difahamkan, selepas tamat proses bedah siasat di HSA, mayat mendiang akan dibawa untuk dibersihkan di Taman Nesa, Skudai sebelum dibawa ke Pusat Pembakaran Mayat di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.
Sementara itu, adik ipar mendiang, Kuldit Singh, 60, berkata, keluarga terkejut dengan berita berkenaan kerana mendiang diketahui sebagai seorang yang amat menjaga kesihatan fizikalnya.
“Memang kami terperanjat dengan berita ini, kerana dia amat sihat orangnya, dia sentiasa bermain basikal dan tahap kecergasan dia juga kita tahu, jadi berita itu amat mengejutkan.
“Sedih sudah pasti dan ketika ini kami seperti masih tidak percaya, ia agar sukar untuk diterima,” katanya memaklumkan mendiang aktif berbasikal sejak kembali menetap di Johor Bahru kira-kira tujuh tahun lalu.
Dalam pada itu, rakan mendiang, Rajwinder Singh, 60, pula berkata, kehilangan Shebby pasti akan dirasai komuniti sukan khususnya dunia bola sepak di negara ini.
“Saya mengenali beliau sejak muda lagi ketika bersama-sama di Kluang, dia memang seorang ahli sukan, selepas sukan bola sepak, sukan berbasikal memang aktiviti pilihan. Sebagai kawan, dia memang seorang rakan yang sangat baik, sebagai pemain bola sepak dia pemain yang sangat baik dan juga kapten yang bagus.
“Kami juga terkejut dengan berita ini, bukan sahaja rakan dan keluarga, tetapi komuniti Sikh dan juga komuniti sukan pasti akan terasa kehilangan,” ujarnya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan Shebby meninggal dunia ketika sedang berbasikal di Sunway Iskandar, Iskandar Puteri di sini, sekitar pukul 7 malam.
Mendiang pernah menyarung jersi Harimau Malaya pada 1982 hingga 1991 dan beraksi dalam Sukan Asia di New Delhi pada 1982, Sukan Asia di Seoul pada 1986 dan Sukan Asia di Beijing 1990 serta memenangi pingat emas Sukan Asia Tenggara (SEA) Kuala Lumpur pada 1989.
Mendiang yang berasal dari Johor turut pernah menyarung jersi negeri itu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur dan turut bergiat aktif sebagai pengulas sukan bola sepak tempatan dan antarabangsa selain pernah menjadi Penasihat Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT). Utusan
Keluarga Shebby ucap terima kasih atas penghormatan dan kasih sayang
Baca Artikel Menarik :
- Ada ‘tangan ghaib’ ubah data kematian Covid-19, dakwa Tiong
- Khairy jadi sasaran Tiong lagi, kali ini isu pembelian vaksin
- Kekasih pisau cukur saman putera diraja Itali
- Abang Viva dapat hadiah superbike Yamaha XJ6
- Pemuda Umno lancar kaji selidik berhubung isu pengeluaran KWSP
- Kelibat lembaga ‘misteri’ bergolek atas jalan raya
- Pegawai JIM dakwa diugut pegawai penyiasat SPRM
- Isteri serang kekasih gelap suami
- Pening kepala dapat jiran perangai macam ini
- Hati Mahadi Sedih Dapat Tahu Lamaran Ditolak, Rupanya Kena Prank Dengan Ibu Bapa Heliza [VIDEO]
- “Jangan Buat Perkara Mengarut!! PU Syed Tegur Trend ‘Unboxing Pengantin’ Di TikTok [VIDEO]
Layari Laman Facebook MYKMU</a
Hakim berbogel di bilik isteri orang selepas minta izin solat