Kandungan merkuri Ikan bandaraya lebih rendah dari ikan siakap, selamat dimakan dan boleh menjana pendapatan

KUALA LUMPUR: Usaha menerokai potensi ikan tombot atau bandaraya sebagai sumber ekonomi perlu dipergiat, selari dengan pelbagai penemuan tempatan yang menunjukkan spesies ikan pendatang itu mempunyai nilai pasaran tinggi untuk dikomersial.

Presiden Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya, Mohd Nur Badri Mat Sidik, berkata Jabatan Perikanan digesa melihat secara menyeluruh kegunaan ikan bandaraya memandangkan ia boleh diproses untuk menghasilkan pelbagai produk.

“Usaha memburu untuk menghapuskan ikan bandaraya ini perlu berjalan seiring dengan melihat kepada tarikan ekonomi yang ada padanya. Sebenarnya ada banyak bahagian ikan ini daripada kulit, isi hingga telurnya yang boleh memberikan pulangan ekonomi.

“Sebagai contoh, pengasas Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya, Mohamad Haziq A Rahman, pada 2022, yang mula-mula bereksperimen dengan menggunakan telur ikan itu sebagai umpan memancing.

“Ternyata telurnya boleh dijadikan umpan memancing hingga kini dicari ramai pemancing dari seluruh negara,” katanya kepada BH

Mohd Nur Badri menunjukkan telur ikan bandaraya yang sedia untuk dijual sebagai umpan pancing. - Foto ihsan FB Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya
Mohd Nur Badri menunjukkan telur ikan bandaraya yang sedia untuk dijual sebagai umpan pancing. – Foto ihsan FB Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya

 

Mohd Nur Badri yang juga pempengaruh media sosial, berkata harga telur ikan bandaraya mencecah RM40 hingga RM60 sekilogram, bergantung kepada saiznya dengan pendapatan hasil jualan mampu mencapai RM2,000 seminggu.

Beliau berkata, sejak itu juga, semakin ramai pemancing dan nelayan darat yang mula turun ke sungai untuk memburu ikan bandaraya bagi tujuan meraih pendapatan sampingan daripada jualan telur ikan terbabit.

“Setakat ini, kami ada lebih 2,900 ahli. Jadi, selain mengadakan misi berkala bagi mengeluarkan lebih banyak ikan bandaraya dari sungai kita, mereka juga boleh menjana pendapatan tambahan.

“Kami secara kecil-kecilan turut merasa isi ikan bandaraya. Ternyata, isinya sangat sedap dan ramai yang menyukainya. Malah, ada di antara ahli yang berniaga dengan menjadikan isi ikan bandaraya sebagai kepingan daging dalam hidangan burger, selain sesuai dimasak sebagai lauk,” katanya.

Nilai kandungan merkuri

 

Ikan bandaraya berpotensi jadi sumber pendapatan.
Ikan bandaraya berpotensi jadi sumber pendapatan.

 

Selain itu, katanya, usaha Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya terutama bagi mengkomersialkan ikan itu turut mendapat perhatian dalam kalangan universiti tempatan dan swasta.

Jelasnya, ada universiti awam mengambil sampel ikan bandaraya untuk penilaian kandungan merkuri untuk menentukan tahap keselamatannya sama ada selamat untuk dimakan.

“Hasil kajian sebuah universiti awam pada 2022 menunjukkan kandungan merkuri ikan bandaraya lebih rendah berbanding ikan yang biasa kita makan seperti gelama, selar kuning dan siakap. Kadarnya kurang daripada 0.5 yang membuktikan ia selamat untuk dimakan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Universiti Selangor (UNISEL) membuat kajian mengenai penghasilan makanan ikan daripada ikan bandaraya.

Katanya, Universiti Teknologi MARA juga menyelidik penghasilan makanan (daripada isi ikan bandar raya) untuk haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.

Mohd Nur Badri berkata, Jabatan Perikanan disaran mewujudkan akta khusus atau lesen untuk menternak ikan bandaraya mengambil kira pulangan ekonomi dan permintaan menggalakkan merangkumi pelbagai industri.

“Melalui lesen khas menternak ikan bandar raya yang disertakan syarat tertentu, misalnya memastikan kolam ternakan tidak bersambung dengan sungai, ini berpotensi memberi nilai ekonomi yang baik untuk negara, selain menggalakkan rakyat untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Jabatan Perikanan misalnya dapat mengurangkan kos memburu ikan bandar raya, memandangkan ramai yang akan berlumba-lumba menjala untuk mengeluarkan ikan itu di sungai bagi meraih pendapatan sampingan,” katanya.

 

Ahli Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya giat menjala ikan bandaraya sekitar sungai di Lembah Klang. - Foto ihsan FB Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya
Ahli Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya giat menjala ikan bandaraya sekitar sungai di Lembah Klang. – Foto ihsan FB Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya

 

 

Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya ketika menjalankan operasi Memburu Ikan Bandaraya di Denai UKM Sungai Langat pada 10 Mac lalu. - Foto ihsan FB Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya
Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya ketika menjalankan operasi Memburu Ikan Bandaraya di Denai UKM Sungai Langat pada 10 Mac lalu. – Foto ihsan FB Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker