Hadi kritik media lapor dakwaan salah laku sebelum dibawa ke mahkamah

Hadi kritik media lapor dakwaan salah laku sebelum dibawa ke mahkamah

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengecam media kerana melaporkan dakwaan salah laku individu sebelum perkara itu dibawa ke mahkamah.

Abdul Hadi tidak menamakan individu itu tetapi komen itu dibuat di tengah-tengah perhatian orang ramai mengenai pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam dua syarikat senaraian awam.



“Pendekatan yang dilakukan itu berkonsepkan kebebasan media yang diamalkan oleh dunia Barat yang mendukung konsep demokrasi, bahawa suara rakyat adalah suara Tuhan.

“….Apakah semua ciptaan Barat boleh diikut secara semberono, sehingga membentuk persepsi yang mencelarukan dan mewujudkan naratif yang salah serta sesat lagi menyesatkan?” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Hadi berkata Islam mewajibkan maruah manusia dihormati termasuklah mereka yang sudah nyata melakukan kesalahan kerana adalah berdosa sekiranya seseorang yang bersalah itu tidak dihormati.

“Lebih-lebih lagi terhadap mereka yang tidak bersalah, maka lagi besar dosanya.



“Namun, masyarakat Barat yang sekular tidak mempunyai sebarang perhitungan soal dosa dan pahala.

“Adakah kita mahu menjadi rosak di dunia atau dihumban ke neraka di akhirat sepertimana mereka yang sesat fikirannya?” katanya.

Azam menjadi tumpuan berhubung pemilikan 1,930,000 saham dalam Gets Global Berhad (sebelum ini KBES Berhad) pada 30 April 2015 bernilai sekitar RM772,000 pada masa itu.

Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad turun kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000 pada masa itu.



Azam juga memegang 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Pemilikan saham pada 2015 dan 2016 telah menimbulkan persoalan sama ada ia setimpal dengan pendapatannya sebagai penjawat awam.

Dalam sidang media khas pada 5 Jan lepas, Azam tidak mempertikaikan pemilikan saham tersebut sebaliknya mendakwa ia dibeli atas namanya oleh adik lelakinya.

Bagaimanapun, penjelasan itu menarik perhatian Suruhanjaya Sekuriti kerana kemungkinan penyalahgunaan akaun dagangan.



PAS bagaimanapun percaya penjelasan Azam sepatutnya meredakan dakwaan salah laku itu.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mendakwa tuduhan terhadap Azam bertujuan untuk menggugat kestabilan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

PAS bagaimanapun nampaknya tidak mempunyai pendirian yang selari dengan sayap pemudanya yang menggesa siasatan bebas.

Tiga timbalan Azam dalam SPRM turut membela bos mereka dengan mendakwa tuduhan berkenaan bermotif politik.



Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin telah mengkritik pegawai SPRM kerana mempertahankan bos mereka walaupun sebelum siasatan dilakukan dan menggesa kepimpinan SPRM dirombak.

Mohd Asri berkata adalah menjadi kewajipan setiap rakyat Malaysia untuk membuat pendirian menentang rasuah.

“Para agamawan wajar bangkit menentang hal ini melebihi kesibukan mereka membincangkan isu dosa dosa peribadi individu yang berlaku antara seseorang dengan tuhannya.

“Dosa rasuah membabitkan dosa seseorang dengan Allah dan manusia. Minum arak contohnya, memang haram dan salah. Namun, dalam banyak keadaan ia antara individu dengan tuhannya.



“Taubat boleh dilakukan antara dia sendirian dengan Allah. Namun rasuah adalah dosa yang menjahanamkan negara, membawa ketidakadilan dan penindasan ke atas orang lain,” tegas Mohd Asri.

Hadi kritik media lapor dakwaan salah laku sebelum dibawa ke mahkamah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Ada apa dengan 11 Mac, 19 April dan 17 September?

Pelakon Indonesia, Cassandra Angelie kantoi melacur

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker