Bekas Menteri Pendidikan bidas KPM

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik, menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) segera berbincang dengan Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) bagi mengatasi beberapa masalah yang sedang dihadapi mereka.

Kata Maszlee dia menerima banyak keluhan daripada pengusaha kantin sekolah yang berdepan pelbagai kekangan khususnya akhir-akhir ini.

Antara lain, katanya, mereka terpaksa menanggung kerugian akibat kesan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana ancaman Covid-19.



“Sistem penggiliran sekolah menyebabkan kapasiti murid berkurangan sebanyak 50 peratus.

“Daripada jumlah itu kehadiran sebenar murid pula merosot dengan kehadiran tidak mencapai 60 peratus dan bukan semua mereka yang hadir membeli makanan di kantin,” katanya.

Semalam Malaysiakini melaporkan keluhan pengusaha kantin yang mempersoalkan tindakan pihak sekolah meminta mereka menjelaskan sewa sedangkan keadaan kesan pandemik Covid-19 masih dirasai.

Justeru Presiden PPKSM, Hamzah Omar, meminta kerajaan memberikan penangguhan bayaran sewa kantin selama enam bulan bagi membantu mereka yang berdepan kesulitan selepas hampir dua tahun tidak berniaga.



“Ketika memikirkan pasal modal nak mula berniaga, sekolah pula minta sewa Jan dilunaskan sebelum 7 hari bulan ini, tanpa boleh ditangguh (kerana) menyalahi peraturan audit katanya. Nampaknya peraturan audit tersebut sangat rigid (kaku), tak boleh diusik,” katanya.

Harga barang basah meningkat

Menurut Hamzah PPKSM sudah meminta agar pengecualian itu diberikan namun sehingga berita itu ditulis, belum ada jawapan diberikan pihak KPM.

Maszlee yang juga bekas menteri pendidikan berkata beban pengusaha kantin semakin meruncing apabila SOP menetapkan murid hanya boleh membuat pesanan makanan.



Dalam keadaan begitu katanya mereka mendakwa mendapat pesanan makanan hanya daripada kira-kira 10 hingga 20 peratus murid yang hadir.

Keadaan semasa juga tambah Maszlee memaksa pengusaha kantin mengeluarkan kos tambahan bagi membeli bekas makanan pakai buang selain menggaji pekerja tambahan bagi menghantar makanan ke kelas-kelas.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, kos bahan mentah yang meningkat pada ketika ini membebankan lagi keperitan hidup pengusaha kantin.

“Mereka tidak dibenarkan untuk menaikkan harga makanan kerana tertakluk kepada perjanjian dibuat sebelum PKP (perintah kawalan pergerakan) tanpa mengambil kira kenaikan harga barang pada masa ini.



“Menurut mereka, penetapan harga RM2.50 bagi pembekalan RMT (rancangan makanan tambahan) kepada murid-murid sudah tidak relevan dan berharap agar kadar itu dikaji semula seiring dengan kenaikan harga barang basah,” katanya.

Selain itu kata Maszlee KPM didakwa mengeluarkan pekeliling baru kepada pengusaha kantin untuk membekalkan susu kepada murid dalam program RMT dengan peruntukan yang dinyatakan sebanyak RM 1.50 sekepala.

Sedangkan, katanya, kos yang ditanggung mereka ialah RM 1.20 hingga RM1.50 sekotak di pasaran.

Program sarapan percuma penting



Justeru kata Maszlee keuntungan daripada membekalkan susu ini amatlah tipis atau kadang-kadang mengalami kerugian sekirang berlaku kerosakan.

“Saya ingin mengulangi gesaan di Dewan Rakyat ketika membahaskan Belanjawan 2021, iaitu pemberian geran khas kepada pengusaha kantin sekolah dan bantuan khusus untuk pekerja kantin di seluruh negara.

“Geran khas ini akan membantu pengusaha yang terjejas untuk memulakan semula operasi apabila sekolah dibuka semula nanti, manakala bantuan khusus akan membantu pekerja kantin yang terlibat kerana kebanyakannya tidak boleh memohon skim upah pekerja sedia ada.

“Seramai 70,000 pekerja kantin seluruh negara dapat diselamatkan melalui bantuan khusus ini,” katanya.



Selain itu Maszlee menggesa agar kadar RMT dinaikkan daripada RM 2.50 kepada RM4 berdasarkan keadaan barang-barang basah semasa semakin mahal.

“Jika kekalkan pada kadar lama, perkara ini akan menjejaskan kualiti makanan, atau menjejaskan pengusaha kantin,” katanya.

Maszlee juga sekali lagi menyeru agar program Sarapan Percuma dilaksanakan dengan penerima RMT diperluaskan kepada golongan M40 yang memerlukan, bukannya terhad kepada murid dari keluarga B40 saja.

Bekas Menteri Pendidikan bidas KPM


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Myvi tahan lasak – Kecut Perut Lihat Pokok Tumbang Mengejut (Video)

LPPR bersih nama Azam Baki daripada salah laku pembelian saham

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker