Rundingan 22 Januari tentukan hidup mati Muafakat Nasional di Kelantan

SHAH ALAM – UMNO negeri tidak pernah menolak kerjasama dengan Pas Kelantan untuk menubuhkan gagasan Muafakat Nasional (MN) di negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia terbabit.

Justeru, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, UMNO Kelantan terus menyokong sebarang usaha dan kerjasama untuk menubuhkan MN di peringkat Negeri Che Siti Wan Kembang terbabit.

Bagaimanapun, Ahmad Jazlan berkata, UMNO Kelantan akan menolak kerjasama dengan Pas menerusi MN jika mereka terus berdegil mahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai gagasan berkenaan.



“Sebagai contoh kenapa UMNO menolak bersatu samalah seperti Pas enggan menerima kemasukan Parti Amanah Negara (Amanah) ke dalam MN.

“Pas tidak boleh menerima Amanah kerana parti itu dikatakan ditubuhkan oleh individu yang mengkhianati Pas. Begitu juga kenapa kita tidak boleh menerima Bersatu kerana ramai pemimpin mereka pernah mengkhianati UMNO,” ketika kepada Sinar Premium pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, UMNO Kelantan juga mempunyai prinsip tersendiri di mana mereka berpegang kepada keputusan parti dan akar umbi yang menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu seperti diputuskan oleh Perhimpunan Agung UMNO, sebelum ini.

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, Mesyuarat Perwakilan UMNO Kelantan dari dulu hingga sekarang konsisten sebulat suara menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.



Justeru itu, Ahmad Jazlan berkata, rundingan antara UMNO dan Pas pada 22 Januari ini penting bagi menentukan sama ada terdapat keperluan kerjasama antara kedua-dua parti menerusi penubuhan gagasan MN di Kelantan, nanti.

“Ini bermakna belum ada sebarang ikatan atau kerjasama rasmi antara UMNO dan Pas menerusi pembentukan gagasan MN buat masa sekarang. Jadi hubungan UMNO dan Pas Kelantan sekarang saya ibaratkan sebagai tergantung tak bertali.

“Bagaimanapun, pendirian UMNO Kelantan adalah jelas kerana kita tidak akan menjalinkan sebarang kerjasama dengan Bersatu mahu pun PN kecuali dengan Pas sahaja,” katanya.

Ditanya sama ada sejauh mana keyakinan beliau mengenai penubuhan MN di Kelantan, Ahmad Jazlan menegaskan, beliau tidak boleh memberikan sebarang jaminan kerana ramai pemimpin tertinggi Pas masih mempertahankan PN yang turut disertai oleh Bersatu.



“Saya tidak boleh jaminan mengenai masa depan MN di Kelantan kerana ia akan diputuskan dalam rundingan dengan Pas Kelantan pada 22 Januari ini.

“Saya belum pasti keputusan Pas namun asas pertemuan kita jelas iaitu bagi mewujudkan atau menubuhkan MN di peringkat negeri Kelantan tanpa penyertaan Bersatu.

“Itu terpulang kepada pemimpin Pas negeri untuk membuat keputusan muktamad, namun UMNO senang sahaja dari kita sentiasa konsisten dan berpegang teguh kepada Piagam MN antara parti ini dengan Pas dan ketika itu tidak wujud lagi PN,” katanya.

Selamatkan Muafakat Nasional demi Abata



 

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata semasa mesyuarat pemimpin tertinggi kedua-dua parti sebelum ini, UMNO sudah menyatakan pendirian tegas kepada pemimpin Pas berkali-kali bahawa mereka tidak sekali-kali menyertai PN.

“Istilah tidak mahu menyertai PN bermaksud UMNO tidak akan bekerjasama dengan PN yang disertai Bersatu bagi menghadapi PRU15,” katanya.



Ketika ditanya adakah itu bermakna UMNO menolak kerjasama dengan Pas jika mereka terus mahu PN dan Bersatu menyertai MN, Jazlan berkata, beliau enggan mendahului keputusan rundingan antara UMNO dan Pas, pada 22 Januari nanti.

“Saya tidak berkata begitu, kerana mungkin Pas di Kelantan mereka mahu bersama Bersatu atau bersama MN tanpa penyertaan Bersatu? Itu dua kemungkinan berbeza tetapi apa pun keputusan muktamad akan diketahui pada 22 Januari ini,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada UMNO akan mempertahankan semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Kelantan dimenangi pada PRU14 lalu, Jazlan berkata, perkara itu bergantung kepada rundingan dengan Pas pada 22 Januari ini.

Sementara itu, Ahmad Jazlan berkata, rundingan antara Pas dan UMNO pada 22 Januari ini bukan berlangsung atas usaha Pas sebaliknya susulan surat dihantar Biro Politik UMNO Kelantan kepada Menteri Besar, baru-baru ini.



“Sebenarnya rundingan Pas dan UMNO pada 22 Januari ini adalah susulan surat saya kepada Pesuruhjaya Pas Kelantan merangkap Menteri Besar yang di mana saya mengemukakan permohonan untuk mengadakan rundingan antara Biro Politik UMNO Kelantan dengan pimpinan Pas negeri.

“Saya mahu menjelaskan bahawa idea pertemuan pada 22 Januari ini adalah cetusan daripada UMNO bukannya Pas. Kita yang menghulurkan ‘jambatan’ untuk memulakan hubungan dan penubuhan MN di Kelantan bukannya Pas.

“Sebenarnya, UMNO mencadangkan tarikh pertemuan itu diadakan lebih awal iaitu pertengahan bulan Januari tetapi Pas memberi tarikh 22 Januari dan tanpa menyemak saya terus bersetuju biarpun kita mungkin terpaksa menangguhkan majlis dan program UMNO dirancang lebih awal pada tarikh sama,” katanya.

Ahmad Jazlan berkata rundingan antara UMNO dan Pas Kelantan itu penting bagi menentukan hala tuju penubuhan MN dan membuat persiapan awal menjelang PRU15 yang mungkin diadakan tidak lama lagi.

“Kita perlu capai keputusan muktamad mengenai kerjasama dengan Pas menerusi gagasan MN secepat mungkin bagi membuat persiapan rapi jentera parti menjelang PRU15.

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


 

MKT UMNO akan tentuan tarikh baru PAU 2021

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker