Al-kisah kambing dan PAS

Al-kisah kambing dan PAS

Oleh Mohsin Abdullah

Adalah dikisahkan seorang hamba abdi bernama Aesop yang hidup pada zaman Yunani kuno ialah juga seorang yang pandai mengilhamkan cerita dan menyampaikan ciptaannya dengan gaya tersendiri.

Ceritanya walaupun dongeng, ketika mana binatang boleh bercakap dan sebagainya, membawa mesej positif bertujuan memberi pengajaran kepada masyarakat. Ia disifatkan sebagai “dongeng yang menunjuk ke arah kebenaran”.

Lebih 600 kisah dikatakan dicipta Aesop. Namun ada juga yang berpendapat Aesop itu sendiri dongengan, yakni watak yang tidak wujud. Sebaliknya dikatakan cerita ciptaan Aesop ialah hasil kerja beberapa penulis yang semuanya menggunakan satu nama iaitu Aesop. Dalam lain perkataan, Aesop ialah beberapa penulis .

Seorang atau beberapa penulis, cerita yang dihasilkan dan yang dikenali sebagai “Aesop’s fables” amat menarik dengan mesej pengajaran cukup baik. Lazimnya ia digunakan oleh guru untuk mengajar anak murid akan nilai murni kemanusiaan.

Antara cerita Aesop yang popular ialah kisah budak gembala kambing dengan serigala, “The Boy Who Cried Wolf”. Sebenarnya semua kisahnya popular tetapi untuk artikel ini saya pilih kisah si budak gembala kambing.

Ia menceritakan bagaimana budak gembala kambing ini yang gemar “kenakan” orang kampung dengan berbohong bahawa kononnya serigala ganas datang menyerang. Setiap kali si budak berteriak ada serigala menyerang orang kampung datang untuk membantu tetapi ternyata tertipu dan ditertawakan si budak gembala kambing.

Ini dilakukan beberapa kali dan setiap kali orang kampung terpedaya. Akhirnya apabila serigala ganas benar-benar datang menyerang orang kampung tidak menghiraukan pekik lolong budak gembala kambing meminta tolong.

Kali ini orang kampung tidak percaya. Lantas kambingnya menjadi habuan serigala. Ada cerita mengatakan si gembala kambing turut dimakan serigala.

Pengajaran cerita ini ialah jangan suka bercakap bohong. Orang mungkin tertipu beberapa kali tetapi bukan selamanya. Itu kisah ciptaan Aesop yang saya yakin anda pernah mendengarnya masa kecil-kecil dahulu.

Beberapa hari lalu, anggota Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik, juga menggunakan analogi kambing untuk mencerita keadaan dalam partinya menerusi hantaran di Facebook.

Saya percaya ia kisah benar. Bukan dongeng. Bukan “Aesop’s fables” .

Begini kata Mokhtar:

“Walaupun tiada ‘statement’ jelas bahawa kamu suruh kambing makan pokok-pokok sayur tapi perbuatan kamu melepaskan kambing dan meruntuhkan pagar bermakna kamu sedang membinasakan kebun sayur-sayuran.”

Itu sindiran yang bawa maksud “lain cakap lain buat”. Saya bertanya kawan-kawan arif dalam soal politik dan bahasa kiasan.

Dalam konteks PAS masa kini, kata mereka, ia boleh diibaratkan sebagai “orang cakap sokong Presiden tetapi dalam diam, atur strategi untuk lawan atau jatuhkan Presiden”.

Mokhtar tidak menamakan pihak yang beliau maksudkan. Tetapi beliau berkata “kalau kamu berhasrat nak langgar Presiden maka saya akan ‘kesah’. Saya percaya saya masih ada teman-teman untuk bersama mempertahankan Presiden”.

Pada pemilihan parti November tahun lalu Mokhtar tewas dalam pertandingan merebut tempat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Lantas beliau “terpaksa” menekankan beliau “masih ada teman-teman untuk bersama mempertahankan Presiden.”

Kata Mokhtar lagi, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, ialah “guru dan murabbi kami”. Oleh itu “kamu (merujuk kepada golongan yang menentang Hadi) jangan galak sangat sebab kami sedang memerhati”.

Istilah “kamu” digunakan Mokhtar pada keseluruhan hantaran Facebooknya. Kata beliau “kamu nak cantas saya, saya tak pernah risau dan resah. Lagi pun saya tiada apa-apa kepentingan peribadi. Sebab itu saya tak pernah ‘playsafe’ seperti kamu”.

Siapa “kamu” yang dimaksudkan? Siapa yang “play safe”, ambil jalan selamat? Memang tidak jelas orang (atau beberapa orang) yang dimaksudkan Mokhtar.

Bolehkah dikaitkan dengan pendedahan rakaman video sebelum ini di mana ada pemimpin PAS yang mempertikaikan cara Hadi berpolitik? Pemimpin itu seakan mengadu (atau merungut?) kepada seorang lagi pemimpin kanan parti. Waullahualam.

Mokhtar juga menegaskan “yang tak kena saya tegur je walau merugikan perjalanan politik saya. Apa saya kesah. Saya bukan makan gaji dengan parti jauh sekali dengan kamu. Saya naik pun bukan kerana pengaruh ayah saya.”

Bercakap mengenai “pengaruh ayah” pastinya Mokhtar tidak memerli atau menyindir anak Presiden PAS, Muhammmad Khalil yang mendapat undian tertinggi sebagai AJK PAS Pusat pada pemilihan parti tahun lalu. Mokhtar menyokong Hadi, masakan dia perli anak Presiden.

Mungkin beliau menyindir seorang anak bekas pemimpin parti. Tetapi jika orang itu sasarannya, agak pelik kerana orang itu seperti Mokhtar, turut tewas pada pemilihan parti November lalu.

Apa pun yang jelas ialah hantaran FB Mokhtar mengesahkan apa yang umum sudah tahu bahawa bukan semua dalam PAS setuju dengan Hadi walaupun yang diuar-uarkan ialah Presiden PAS mendapat sokongan padu parti. Apa lagi dengan pendirian wala’ kepada pimpinan, PAS tetap bersatu.

Walaupun diakui Hadi masih mendapat sokongan ahli partinya tetapi tidak boleh dinafikan ada yang menentang dan tidak setuju dengan cara beliau bermain politik. Antara isu hangat membabitkan Muafakat Nasional (PAS bersama Umno) dan Perikatan Nasional (PAS dengan Bersatu).

Baru-baru ini Hadi menerusi penulisannya di lidah rasmi PAS, Harakahdaily, membicarakan tajuk “Bersama Muafakat Nasional mempertahankan Perikatan Nasional”. Sekali gus menonjolkan kegemaran PAS bermain dalam dua kolam.

Hadi sendiri menerusi artikelnya itu mengakui “apabila ditegaskan tajuk itu ada kalangan yang menganggap PAS tidak ikhlas dalam politiknya”. Namun bagi Hadi “demikian itulah kata-kata mereka yang tidak memahami makna ikhlas mengikut bahasa Al-Quran.”

Kata-kata keras seperti itu bagi saya hanya memburukkan keadaan dalam PAS. Kita tahu ada ahli PAS yang mahu PAS menolak Bersatu sekaligus Perikatan Nasional. Mereka tidak mahu parti “makan dua-dua belah”. Ini tidak ikhlas pada hemat mereka. Golongan ini mahu PAS “ikhlas” dalam berpolitik.

Lalu apabila Presiden parti menuduh mereka tidak faham “bahasa Al-Quran” hanya kerana berbeza pendapat, tentunya mengguris perasaan mereka. Tuduhan tidak faham bahasa Al-Quran untuk orang yang duduk dalam parti yang mengaku Islamik satu tamparan. Persepsinya ialah apabila seseorang duduk dalam parti Islamis tentulah dia tahu bahasa Al-Quran.

Maka seperti dikatakan tadi, Hadi memburukkan keadaan. Kata penganalis dan pemerhati, politik berpuak-puak dalam PAS sebelum ini pun sudah wujud. Bagaimanapun, sekarang lebih ketara apabila PAS menjadi sebahagian kerajaan persekutuan. Berpuak-puak untuk merebut kedudukan, kata mereka.

Maksudnya politik PAS tidak beza dengan parti politik lain yang merupakan organisasi siasah sekular walaupun ada perkataan Islam pada nama rasminya.

Setuju atau tidak terpulang. Hakikatnya ini bukan kisah dongeng Aesop. FMT

Al-kisah kambing dan PAS


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Aliff Syukri gila publisiti tapi realitinya lain

Janggut suami Heliza jadi tumpuan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker