Khalid Samad kecewa ‘khemah besar pembangkang’ gagal libatkan UMNO

SHAH ALAM – Konsep pembentukan khemah besar pembangkang yang diluluskan melalui Retreat Pakatan Harapan (PH) di Port Dickson sebelum ini sepatutnya turut melibatkan penampilan parti yang mengetuai kerajaan sekarang iaitu UMNO.

Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad mendakwa sikap khianat UMNO yang kembali bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PN, menyebabkan konsep ‘khemah besar’ kembali tertumpu untuk menyatukan blok pembangkang.

Di sebalik tamparan hebat diterima PH itu, Khalid menegaskan, Amanah selaku parti yang paling awal mencadangkan penubuhan khemah besar pembangkang akan terus berusaha menjadi juara dalam menjayakan hasrat itu bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).



“Apabila Parti Warisan (Warisan) mengumumkan pelebaran sayap ke Semenanjung, kami tidak boleh halang mereka, sebaliknya amat mengalu-alukan kehadiran parti itu bagi mengukuhkan lagi sokongan rakyat Sabah dan Sarawak yang berada di Semenanjung terhadap blok pembangkang.

“Begitu juga dengan Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang) yang masih belum menyahut saranan kami untuk bersama dalam pembentukan khemah besar pembangkang bagi menghadapi PRU15.

“Cuma buat permulaan, paling penting kami tidak mahu mana-mana pemimpin parti pembangkang serang-menyerang di antara satu sama lain dengan kesemua mereka perlu bersatu untuk menghalakan kritikan kepada kerajaan campuran Barisan Nasional (BN) dan PN,” katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gesaan sebahagian pemimpin akar umbi Amanah dan DAP yang menggesa pembentukan satu khemah besar pembangkang bagi mendepani cabaran BN dan PN pada PRU15.



Gesaan mewujudkan khemah besar pembangkang sebagaimana dikecapi PH sewaktu menghadapi PRU14 adalah rasional susulan terdapat fraksi di antara koalisi pembangkang dipimpin PH dengan parti-parti pembangkang lain seperti Warisan, Pejuang dan Ikatan Demokratik Muda (Muda).

Bagaimanapun, bekas Ahli Jawatankuasa CEC DAP, Ronnie Liu mendakwa agenda mewujudkan khemah besar pembangkang adalah merupakan taktik pihak tertentu dalam PH bagi mengembalikan pengaruh bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam PH.

Dakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu, agenda itu sekali gus mengenepikan kredibiliti Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada terus mengetuai PH bagi menghadapi PRU15.

KETUA KHEMAH BESAR



Sementara itu, Ketua Amanah Kawasan Bukit Bintang, Ahmad Asri Talib mengulangi laungan khemah besar pembangkang mesti diwujudkan segera dan tidak boleh sekadar retorik jika pembangkang ingin mewujudkan kerajaan baharu selepas PRU15.

Beliau turut mengakui, penubuhan khemah besar di bawah PH mungkin mustahil terbina ketika ini apabila dalam kalangan ketua parti-parti pembangkang selain PH iaitu Pejuang, Warisan dan Muda seolah-olah tidak yakin kepada figura yang menjadi ketua kepada PH sekarang.

“Perebutan jawatan Perdana Menteri adalah menjadi faktor utama kenapa jatuhnya kerajaan PH dan peluang diambil oleh para pengkhianat melalui rampasan kuasa di kenali sebagai ‘Langkah Sheraton’.

“Jangan diulang perkara yang telah lepas, bina negara dengan membelakangkan sifat pentingkan diri sendiri. Siapa ketua di bawah khemah besar pembangkang biarlah ditentukan oleh majlis presiden dalam gabungan besar itu nanti.



“Jangan jadi pelepah pisang hingga perlu ada yang menariknya, jadilah pelepah kelapa yang jatuh sendiri apabila rasa dirinya telah tidak mampu lagi,” katanya lagi.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Mokhtar Senik beri amaran pada puak dalaman yang cuba ‘langgar’ Presiden PAS



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker