Rosyam Nor, makin tua makin hebat

Rosyam Nor, makin tua makin hebat

AKTOR berpengalaman, Datuk Rosyam Nor melihat pembabitannya dalam filem aksi G Storm yang sudah ditayangkan termasuk di 25,000 pawagam di China, mampu mengetengahkan namanya dalam kalangan penonton berbangsa Tionghua.

Impak sama diterima Rosyam ketika muncul dalam filem Kollywood, Kaabali sekitar lima tahun lalu apabila diikuti ramai peminat India yang mengenalinya selepas berkongsi layar dengan bintang lagenda Rajinikanth.

“Selepas Kabali, nama saya semakin dikenali ramai peminat berketurunan India sehingga diajak pula ke negara itu bagi membintangi sebuah filem. Sayangnya tawaran tersebut terpaksa ditolak kerana jadual penggambaran bertembung dengan KL Special Force.

“Kini apabila promosi besar-besaran G Storm digerakkan, saya yang menjadi aktor Malaysia tunggal dalam produksi mega tersebut turut meraih banyak liputan dalam akhbar dan platform digital termasuk berbahasa Cina dan Inggeris.

“Baru-baru ini ketika mahu membeli mesin jet air bagi menyempurnakan misi pembersihan rumah mangsa banjir, pengarah urusan syarikat itu mengenali saya menerusi poster filem dengan Louis Koo. Jadi, mereka terus menaja 19 set peralatan tersebut secara percuma.

“Inilah ‘branding’ yang saya maksudkan. Sudah pasti saya berbesar hati apabila filem ini mengukuhkan jenama Rosyam Nor dalam kalangan masyarakat Tionghua. Pada masa sama, saya harap mereka menonton semula filem saya yang terdahulu,” kata Rosyam, 54, usai tayangan perdana filem G-Storm baru-baru ini.

ROSYAM NOR

Penjenamaan

Filem tersebut membariskan ramai bintang handalan Hong Kong seperti Louis Koo, Julian Cheung, Kevin Cheng, Jessica Hsuan dan Bosco Wong, baru-baru ini.

G Storm mengisahkan seorang pegawai di Jabatan Anti Rasuah Hong Kong, William Luk lakonan Louis yang berdepan cabaran besar ketika melaksanakan misi menyiasat kegiatan korupsi membabitkan jenayah antarabangsa pemerdagangan manusia.

Rosyam yang juga penerbit Suhan Movies diamanahkan membawakan karakter penjenayah bernama King yang diburu semua agensi apabila menjadi dalang di sebalik pembunuhan serta kejadian pengeboman di sebuah lokasi awam.

Peluang beraksi dalam produksi antarabangsa juga menjadi bukti kepentingan menjaga ‘branding’ sepanjang lebih tiga dekad berjuang dalam industri seni, sekali gus meninggalkan contoh buat pelakon generasi baharu.

“Saya berniaga ‘nama’ saya, saya ada Rosyam Mart dan beberapa perniagaan lain. Saya cukup menjaga nama dan jenama ini supaya adik-adik saya (pelakon generasi baharu) dapat lihat kepentingan penjenamaan untuk jangka masa panjang.

“Ini yang saya impikan kerana secara tidak langsung saya mahu beri suntikan semangat kepada rakan seperjuangan dan pelakon muda, selain buktikan bahawa penjenamaan sangat penting, bukan pasal duit lagi.

“Nak hidup dalam industri perfileman bukan hanya ketika usia muda, aktor senior juga punya peluang besar asalkan ada kredibiliti dan populariti untuk tarik penonton,” luahnya.

Diminta berkongsi kisah awal ketika ditawarkan peluang keemasan tersebut, segalanya bermula dengan pelawaan dua rakan lama dalam industri yang dikenali Rosyam sejak membintangi filem Gila-Gila Remaja ketika berusia belasan tahun.

Hong Kong, pengganas 50-an

Akui Rosyam, kenalannya bertindak sebagai ejen telah mengirimkan profil serta gambarnya kepada produksi Hong Kong. Hasilnya, dia terbang ke Hong Kong menjalani penggambaran selama 15 hari pada Disember 2019.

“Saya tidak pernah terfikir mampu melangkah ke arena antarabangsa pada usia ini, namun semua itu sudah rezeki saya. Tambahan pula, profil untuk watak pengganas memang dalam usia 50-an.

“Senario pasaran di luar negara juga berbeza kerana di sana penerbitan sesebuah filem melihat kepada kematangan pelakon. Jadi segala yang saya raih pada usia 50-an ini berbalik kepada rezeki selain bantuan rakan lama selaku ejen dari Malaysia.

“Sepanjang di sana, setiap pelakon dilayan sebagai superstar lengkap pemandu peribadi. Malah segala aksi ngeri dijayakan pelakon pengganti. Walaupun begitu tetap alami kecederaan sementelah saya lakukan sendiri untuk babak pertarungan akhir.

“Cuma disebabkan Covid-19 semakin serius ketika itu, penggambaran yang sepatutnya di Malaysia membabitkan adegan pembukaan tidak dapat dilaksanakan. Sebaliknya ada pelakon lain menggantikan saya di sana,” katanya.

G Storm yang ditayangkan bermula 31 Disember ialah sekuel kelima naskhah yang berkisar penyiasatan William. Terdahulu, francai tersebut mula ditayangkan pada 2014 dengan edisi pertamanya, Z Storm diikuti S Storm (2016), L Storm (2018) dan P Storm (2019).

Prihatin mangsa banjir

Dalam kesibukan memenuhi promosi G Storm dan menguruskan perniagaan, bintang kesayangan ramai itu turut prihatin dengan situasi mangsa banjir apabila turun padang melaksanakan operasi pembersihan di lokasi terjejas teruk sejak minggu lalu.

Bapa kepada lima cahaya mata itu terdorong meringankan keperitan mangsa selepas sebak membaca luahan ramai bagi meneruskan kehidupan selepas berdepan musibah.

“Segala yang saya lihat semasa turun padang seminggu sangat menyayat hati. Lediaman rosak teruk, penuh lumpur, sementara barang rumah kebanyakannya musnah.

“Kita melihat pun hiba apatah lagi mereka yang melalui pengalaman berdepan air sehingga paras bumbung seperti kejadian di Hulu Langat, Selangor. Selepas pasca banjir pula ada kediaman yang dipenuhi lumpur bercampur air kumbahan,” katanya.

“Bersama dengan 40 sukarelawan lain, kami menjalankan operasi membersihkan rumah mereka dan selepas ini kami akan turun padang lagi ke kawasan lain pula,” katanya yang kagum melihat semangat dan kesungguhan rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu mangsa banjir. K Online

Rosyam Nor, makin tua makin hebat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Aliff Syukri nazak? Ibu minta cepat wasiatkan hartanya

Diva AA Perli Isu Majlis Perkahwinan Kamal dan Uqasha

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker