Selamatkan Muafakat Nasional demi Abata

MASIH terbayang dalam ingatan orang Melayu di seluruh negara, gembira dan bersyukur menyaksikan suasana ribuan ahli UMNO dan Pas serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam dalam Himpunan Penyatuan Ummah yang bersejarah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019. Piagam Muafakat Nasional (MN) dimeteraikan oleh UMNO dan Pas, dua parti terbesar orang Melayu.

Tanggal itu menandakan detik bermulanya perpaduan politik UMNO dengan Pas sekali gus menamatkan perselisihan politik bangsa Melayu lebih dari empat dekad di bumi ini. Di hadapan lebih 10,000 hadirin, kepimpinan UMNO dan Pas serta NGO sama-sama bersalaman memanjat kesyukuran kepada ALLAH SWT atas limpah rahmat-Nya jua akhirnya dua parti politik Melayu Islam terbesar di negara ini kembali bertaut demi agama, bangsa dan negara (Abata).

Biduk lalu kiambang bertaut. Saat yang ditunggu umat Melayu seluruh negara sejak pemisahan Pas daripada Barisan Nasional (BN) pada 1975 menjadi kenyataan. Tidak hanya di PWTC, rata-rata menyambutnya dengan linangan air mata gembira dan kesyukuran kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Dua gergasi politik Melayu Islam bertaut kembali. Gagasan MN dibentuk demi Abata untuk mewujudkan Malaysia yang aman, stabil dan sejahtera. MN lahir untuk menentang musuh-musuh politik kuasa pribumi dan memartabatkan Islam semasa negara di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) diterajui DAP. Bukan satu rahsia lagi tentang persepsi umum bahawa DAP yang memperjuangkan Malaysian Malaysia dan kesamarataan menolak dasar-dasar keistimewaan kaum pribumi dan bumiputera tersirat menerusi kontrak sosial dan diperuntukkan di bawah Perkara 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan.

Selama 22 bulan di bawah PH, orang Melayu melihat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dihina, institusi Melayu dirobek, aset kepentingan Melayu dijual, agama Islam diperlekeh, jabatan dan agensi tertentu ditutup, ribuan rakyat hilang sumber pendapatan, Parti Komunis Malaya (PKM) diagungkan dan bermacam lagi tindakan yang melukakan hati dan perasaan orang Melayu. Rata-rata sekarang orang Melayu sudah mula sedar dan insaf betapa perlunya sebuah kuasa politik Melayu yang kuat dan teguh perlu wujud di negara ini.

Gagasan MN cantuman UMNO dan Pas dengan dukungan parti-parti rakan daripada BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dari Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dari Sabah adalah formula kemenangan terbaik untuk memberi peluang ke arah menzahirkan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil.

BERKUBUR

Justeru, UMNO dan Pas perlu menyelamatkan MN daripada berkubur. Teruskan mencari kesefahaman dan mengeratkan hubungan untuk menjadi sebuah pasukan yang kuat bagi menentang musuh-musuh politik parti lawan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang. Itu sahaja satu-satunya cara untuk menjamin hak dan keistimewaan bangsa Melayu dan kaum bumiputera, kedudukan Perkara 152 dan 153 selamat serta terjamin.

Orang Melayu sudah sedar bahawa bumi bertuah ini perlu dijaga dan diamanahkan kepada gagasam MN yang kuat untuk mewujudkan kestabilan politik berterusan dan disegani dalam dan luar negara. Untuk pencapaian matlamat itu, MN perlu menjadi wadah perjuangan pilihan dengan kuasa undi melebihi lima juta ahli parti, didukung pula lebih sejuta undi penjawat awam, 500,000 pesara awam, sejuta pengundi awam Melayu/bumiputera lain, 200,000 pengundi tentera dan polis.

Diyakini 115 kerusi majoriti Melayu di Semenanjung akan dimenangi MN. Dengan dukungan lebih 45 kerusi daripada BN, GPS dan GRS, kemenangan mudah dua per tiga akan menjadi milik MN, insya-Allah.

Melihat kepada perkembangan dan pergeseran terkini antara Pas dengan UMNO (menerusi beberapa kenyataan kebelakangan ini), amat merisaukan jambatan penyatuan yang terbina sejak September 2019 itu akan runtuh dan MN berkubur. Oleh yang demikian, janganlah jambatan yang dibina dimunsnahkan oleh orang-orang yang mahu melihat MN gagal di separuh jalan.

MN perlu diselamatkan dan jangan dibiarkan berkubur. Pas sebagai pendamai kepada dua pihak yang berkelahi, perlu memilih untuk menzahirkan sebuah pemerintahan MN yang kuat bertunjangkan UMNO dan Pas. Kemenangan dua per tiga amat perlu demi Abata dan kestabilan negara untuk jangka panjang dan berterusan. Justeru, jika sekalipun usaha untuk memujuk UMNO menerima Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam MN menemui jalan buntu, MN UMNO-Pas yang telah wujud itu hendaklah diselamatkan dan diperkasakan demi masa depan bangsa dan kesejahteraan negara.

Kejayaan cemerlang MN dalam PRU15 hendaklah menjadi matlamat akhir yang perlu dicapai.

DATUK Seri Wan Ahmad Wan Omar ialah Penasihat Biro Politik, Pertubuhan Gerakan Qiam.

Selamatkan Muafakat Nasional demi Abata


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bas ekspres langgar 10 kenderaan [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker