6,000 ekor ikan Patin mati di Sungai Pahang ekoran banjir

Ali reda dengan dugaan yang dihadapinya apabila 6,000 ekor ikan Patin sangkar belaannya mati akibat air kotor yang dibawa ke Sungai Pahang. – Foto Astro AWANI

PEKAN: Banjir yang melanda beberapa negeri sejak 18 Disember lalu memberi kesan mendalam kepada mangsa.

Selain barangan rumah rosak, ada juga yang hilang tempat berteduh selepas rumah musnah akibat dibadai bah berserta puing kayu.

Lain pula ceritanya di Pekan, Pahang apabila seorang pengusaha ikan Patin sangkar turut terjejas. Kami bertemu salah seorang pengusaha, Ali Abu Bakar, 62, di kawasan sangkar ikannya di Sungai Pahang.

Dari jauh, wajahnya nampak reda dengan dugaan yang dihadapinya apabila 6,000 ekor ikan Patin sangkar belaannya mati akibat air kotor yang dibawa ke Sungai Pahang.



“Saya menerima kesan daripada banjir tapi kita kena reda, ini ketentuan Allah bukan saya seorang kena sini banyak lagi kawan saya antaranya sangkar pecah, perubahan air menyebabkan ikan mati.

“Saya pula ikan mati, ada yang empat sangkar kita boleh selamatkan, tapi ada yang tak dapat diselamatkan mati di situ,” jelasnya ketika ditemui.

Modal yang telah dihabiskan mencecah RM24,000 dalam tempoh setahun untuk menternak ikan di dua sangkar yang terjejas, namun kesemuanya itu lesap apabila ikannya mati sejak hari pertama bah melanda kawasan itu.

“Saya buat masa sekarang terjejas dua sangkar, ada di antara kawan lebih daripada itu.



“Kira bajet satu sangkar mungkin dalam RM10,000 hingga RM12,000, kalau dua jadi RM20,000 lebih,” katanya lagi.

Setiap sangkar menempatkan kira kira 3,000 ekor ikan patin dengan berat purata satu kilogram seekor.

Ia menjadikan keseluruhan kerugian yang terpaksa ditanggung Ali mencecah RM66,000.

Warga emas maut sakit jantung ketika mahu selamatkan ternakan akibat banjir



Hilang RM66,000 sekelip mata

Akibat itu, punca pencariannya terganggu, malah tempahan yang diterimanya sebelum ini terpaksa digantikan dengan ikan dari sangkar rakan rakannya.

“Memang punca pencarian terganggu, sebab kita kadang-kadang dah terima tempahan daripada pelanggan.



“Bila jadi macam ini, kena cari tempat lain untuk memenuhi tempahan pelanggan kita, terpaksalah.

“Kita sepatutnya pendapatan itu untuk kita seorang sebab hasil daripada ikan kita sendiri, tapi mengalami keadaan macam ini terpaksa kongsi bersama,” ujarnya lagi.

Ketika kejadian ujarnya, dia cuba sedaya upaya menyelamatkan sebanyak ikan yang boleh, namun tidak mampu menyelamatkan semua.

“Setakat mana kita boleh pos keluar (ikan), kita bawa keluar, kena cari pelanggan kena selamatkan dalam keadaan macam itu.



“(Pengusaha) Orang lain pun macam kita juga nak selamatkan semua ikan, jadi turun hargalah. Sekarang RM11 sekilogram, tapi kalau buang harga dia jadi RM10 sekilogram,” katanya lagi.

Tambah pengusaha yang berpengalaman 20 tahun dalam bidang ternakan ikan itu, dia hanya reda dan berserah jika gelombang kedua bakal melanda daerah itu dalam masa terdekat.

Namun semangatnya untuk bangkit, tidak pernah pudar, meskipun terpaksa mengeluarkan simpanan wang yang ada.

“Pertama sekali kita kena reda kalau tidak kita rasa kecewa, ini ketentuan Allah bukan kita seorang kena jadi kita kena bangkit balik.



“Makna kalau kita menyerah kalah dengan apa yang berlaku, sampai sini sahajalah kita.

“Pengalaman dah banyak kali jadi kita dah biasa dah, dah banyak kali rugi, kalau kena musibah dengan air ini, memang banyak kali. Ini cabaran penternak ikan di Sungai Pahang kita kena hadapi,” kata Ali lagi.

Tambah penternak itu, besar harapannya agar pihak berwajib tidak terlepas pandang untuk membantu pengusaha sepertinya yang terkesan.

“Bantuan makna kita belum dapat arahan daripada Jabatan Perikanan tidak ada buat apa lagi.

“Kalau mereka hubungi kita insyaAllah, kita cuba juga untuk minta bantuan sekiranya kerajaan masih ada bajet,” ujar Ali lagi.

6,000 ekor ikan Patin mati di Sungai Pahang ekoran banjir


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


 

‘Banjir terburuk sejak hampir 50 tahun menetap di sini’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker