Mat Rock jiwa mesti kena kental – Yantzen

Mat Rock jiwa mesti kena kental – Yantzen

DIUJI dengan musibah banjir baru-baru ini, legenda rock, Yantzen sedikit pun tidak menunjukkan sisi kesedihan atau ketidakupayaannya dalam berdepan dengan situasi getir itu.

Entah dari mana kekuatannya itu datang sedangkan, sebegitu ramai mangsa banjir lain masih berduka hiba tatkala mengenang hidup yang harus dimulakan semula dari bawah setelah segala yang dibina musnah begitu sahaja.



Tetap ceria, malah boleh bergurau senda, penyanyi berusia 63 tahun ini lantas mengingatkan penulis kepada seorang lagi artis dan selebriti tanah air yang turut terkesan dan diuji dengan musibah banjir, Ebby Yus.

Untuk pengetahuan, kediaman Yantzen yang terletak di Hulu Langat dikatakan hampir musnah dan ia menyaksikan bagaimana usaha dan titik peluhnya selama bergelar anak seni yang dicurahkan pada bentuk harta dunia itu juga sekelip mata hanyut dibawa arus banjir.

Bagaimanapun, rumah yang diberi nama The Legacy Villa itu cuma didiaminya seorang diri sejak ia disiap bina pada tahun 2015, menyaksikan ini tahun ke-17 dirinya hidup menduda.

Menarik minatnya untuk berkongsi lanjut mengenai pengalaman ujiannya baru-baru ini, Yantzen meluahkan rasa bersama Pancaindera.



Yantzen tampak sangat ceria walaupun sedang dilanda ujian berat sebegini. Apa agaknya yang menjadi penguat jiwa?
Reda dan berserah. Itu sahaja pilihan yang ada. Sebab kalau difikirkan semula, siapalah yang mahu dilanda musibah? Siapalah yang ingin hal seperti ini berlaku dalam hidup mereka? Apa yang terjadi, bukan kehendak kita. Lagipun, dalam hidup ini, mana ada perjalanannya lancar tanpa ujian? Tak apalah, harta yang ada pun adalah pinjaman daripada-Nya.

Dengarnya, walau apa pun yang berlaku, tidak mahu berpindah dari rumah ini. Terlalu istimewa tempat tinggal ini di hati Yantzen?

Mestilah istimewa. Rumah ini saya bina dan reka dengan idea sendiri. Ceritanya, selepas menjual rumah di Cheras, saya gunakan duit itu untuk membeli sebidang tanah di kawasan Hulu Langat ini. Semua rekaan dalamannya adalah cetusan idea saya. Malah, ada yang memang saya siapkan dan buat dengan kudrat tenaga sendiri sebab memang suka bertukang. Jadi sayang nak pindah. Bila banjir melanda, teruk juga kerugian saya tanggung tapi tak dapat nak dianggarkan berapa jumlah tepatnya. Dua kereta, dua motosikal, televisyen, perkakas elektronik yang berkaitan kerja muzik saya, habis semua rosak. Nak bersihkan rumah ini pun, ambil masa juga. Bau lumpur pun tak akan boleh hilang dengan sekelip mata.

Khabarnya, Yantzen duduk seorang di rumah. Terbit tak rasa sayu bila mengenangkan sudahlah hidup solo kemudian diuji dengan musibah begini pula? Boleh kongsi?



Memang hidup seorang. Tapi tak terasa macam seorang sebab ada kawan-kawan yang tetap bersama dengan saya. Kita Mat Rock, jiwa mesti kental! Betul, kadang-kadang kawan pun sibuk ada kehidupan sendiri. Tapi mereka tak lupa jenguk saya juga di sini. Saya memang suka duduk seorang diri di rumah. Lepak-lepak di luar buat apa? Saya memang jenis suka duduk di rumah. Buat kerja yang mana boleh saya buat.

Kalau terletak pada orang lain, tentu sahaja boleh jadi ‘gila’ atau hilang arah. Tapi Yantzen sangat berbeza. Macam tak kisah melayan hidup ini apa adanya dengan cara sendiri walau tahu diri sedang dilanda musibah. Betulkah begitu?

Berdasarkan pengalaman. Kalau diri sedang terperangkap dengan ujian, jangan panik! Tetaplah bertenang. Ikut kata hati dan naluri apa yang perlu dilakukan pada waktu itu. Contohnya macam situasi banjir ini, kalau anda panik, tentu tak akan ke mana. Lebih susah. Kita tak akan tahu apa yang akan terjadi, tetapi sekurang-kurangnya boleh mencuba untuk survive. Paling penting, berdoa dan minta pertolongan daripada-Nya. Jangan huru-harakan diri kerana itu bukan cara sebaiknya.

Pandangan anda bila ada segelintir berfikiran dangkal mendakwa golongan selebriti dan artis ini sudah kaya. Jadi kalau dilanda musibah pun tak perlu dibantu sangat sebab mereka ada duit. Wajarkah begitu?



Tak baguslah kalau ada yang fikir macam itu. Kita tahu bahawa memang ada sesetengah orang beranggapan dan bersikap skeptikal dengan golongan artis. Ini terpulang kepada yang mahu membantu. Tak semua orang hidup senang walaupun bergelar artis. Ini pun satu panduan untuk kita semua. Tak semua orang suka bila kita buat baik. Contohnya, saya menyanyi, tak semua orang suka dengan saya. Yang penting, jangan sesekali anggap diri kita baik. Nak tolong, ikhlaskan hati.

Bagaikan ada persamaan Yantzen dan Ebby Yus. Dua-dua hidup solo dan terkesan dengan musibah banjir. Apa yang boleh Yantzen rungkaikan dengan situasi ini?

Saya dapat tahu dia pergi tolong mangsa banjir sebelum dia dimaklumkan rumahnya musnah dibawa arus. Lihatlah, betapa hebatnya Tuhan itu memberikan yang baik-baik pada dirinya. Dia suruh orang selamatkan diri, dia tidak fikir pun soal rumahnya yang sedang banjir. Dengarnya, rumah itu berharga RM200,000 juga ya dia bina? Bukan senang nak kumpul duit bina rumah. Saya amat mengerti perasaan itu. Tetapi, di sebalik semua ini, Tuhan beri sesuatu untuk kita fikir kenapa dan kenapa. Hikmahnya tentu ada.

Bohong sangat kalau kata Yantzen tak sedih langsung dengan situasi musibah ini. Atau memang jenis individu yang suka sembunyikan perasaan? Komen?



Buat apa nak beritahu pada semua orang. Sibuk saja nak tahu (berseloroh). Itu antara saya dan Dia. Secara dalamannya, berbagai rasa dan emosi itu ada bercampur-baur. Terharu ada, sedih ada, terkejut ada. Tapi buat apa nak tunjuk pada orang? Macam bila saya terpaksa berpisah dengan anak tunggal saya dua tahun lepas bila dia hendak ke Yaman untuk belajar. Kami tak pernah terpisah. Bayangkan apa saya rasa? Sedih. Tapi tak adalah saya nak tunjuk pada orang. Begitu juga dengan keadaan sekarang ini. Saya percaya Allah SWT sentiasa ada untuk hamba-hamba-Nya. Saya bukan jenis suka kusutkan kepala. Hidup ini kita jalani saja terus apa adanya. Utusan

Mat Rock jiwa mesti kena kental – Yantzen


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a




Aliff Syukri nazak? Ibu minta cepat wasiatkan hartanya

Diva AA Perli Isu Majlis Perkahwinan Kamal dan Uqasha

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker