Usung bot dari Tanjung Tualang ke Sri Muda bantu mangsa banjir

Sebaran :

Usung bot dari Tanjung Tualang ke Sri Muda bantu mangsa banjir

Sebaik saja mengetahui ada banyak kawasan di sekitar Lembah Klang dilanda banjir dan bot diperlukan untuk membantu mangsa, sepasang suami isteri dari Tanjong Tualang, Perak, tidak menunggu masa yang lama untuk bertindak.

Azura Manas dan suaminya, Mohd Amli Mohd Mohiyadeen bergegas mempersiapkan kereta Myvi mereka untuk membolehkan bot berkenaan ‘diusung’ sekali gus menyertai misi menyelamat sekitar Klang dan Taman Sri Muda, Shah Alam.

Mereka bukanlah orang berada. Ketika ini pasangan terbabit bergantung kepada hasil aktiviti memancing ikan di Perak.



Azura, 37, dan Mohd Amli, 35, baru saja kehilangan pekerjaan gara-gara pandemik Covid-19, namun mereka tetap terpanggil untuk menghulurkan bantuan dengan bot dimiliki mereka.

Dalam misi bersama pasukan Vector Kuala Lumpur Sdn Bhd itu, Azura berkata mereka melalui banyak pengalaman mencabar termasuk nyaris-nyaris dihanyutkan arus deras banjir.

“Ramai kawan dan saudara-mara saya minta kami turun bawa bot. Ketika sampai di Sri Muda (Ahad lalu), dua bot saja yang ada, termasuk bot kami,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Bermula detik itulah, kata Azura, mereka memulakan misi bantuan selama 28 jam tanpa henti dengan membawa keluar seramai mungkin mangsa banjir yang terperangkap.



Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, pada awal misi itu ia memang ada cabaran tersendiri apabila mereka perlu mendayung bot disebab enjin tidak dapat dihidupkan.

Nyaris dihanyutkan air

Keadaan itu berpunca daripada halangan oleh kedudukan kereta-kereta mangsa yang tenggelam dan boleh menjejaskan kenderaan terbabit, malah lebih bahaya mungkin menyebabkan bot karam.

“Cabaran awal kami ialah kereta-kereta yang tenggelam, maka kami tak boleh guna enjin untuk sampai ke lokasi yang diperlukan.



“Justeru saya berjaga-jaga di bahagian depan bot sambil mendayung sambil pastikan laluan kami ada kereta tenggelam atau tidak.

“Kalau terlanggar, kami akan berisiko karam,” katanya yang sebelum ini menetap di Rawang, Selangor.

Apabila air mula surut, ada cabaran lain pula yang menanti. Cerita Azura keadaan itu menyebabkan jarak di antara bot dan aras bumbung tempat mangsa menyelamatkan diri menjadi lebih besar.

Untuk membolehkan mangsa diselamatkan, katanya, dia terpaksa memanjat tembok dan menyediakan bahunya untuk dipijak mangsa sebelum mereka boleh turun ke bot.

Azura yang memiliki ilmu asas pertolongan cemas berkata dia hampir dihanyutkan arus banjir yang deras ketika proses pemindahan mangsa dilakukan di kawasan berhampiran stesen minyak.

Ketika kejadian pada subuh kelmarin itu, katanya, dia turun dari bot untuk menarik kemudahan itu ke gigi air.

“Keadaan masih gelap, apabila sampai di tengah-tengah, tiba-tiba saya ditolak arus dengan kuat dari sisi bot.

“Alhamdulillah saya sempat berpaut pada tali bot. Sewaktu itu baru saya sedar jaket keselamatan yang saya pakai tak berfungsi.

“Mungkin kerana ada tali yang putus dan libut dalam jaket saya terbuka sewaktu membantu menurunkan mangsa dari tingkat dua,” katanya.

Sepanjang menjadi sukarelawan itu, cerita Azura lagi, dia juga berdepan dengan banyak kejadian menyayat hati seperti menemui mangsa yang berada dalam keadaan uzur serta kelaparan.

Misalnya seorang warga emas yang terperangkap tanpa sebarang bekalan makanan selama tiga hari di sebuah rumah dua tingkat yang cuba keluar namun tergelincir dan terjatuh.

“Mujur ada yang dengar suara warga emas itu dan menjerit pada kami.

“Kami berjaya selamatkan dia dan berikan minuman coklat sebelum dibawa kepada pasukan perubatan.

“Keadaan mangsa ketika itu sudah hilang kudrat, apa-apa saja boleh berlaku jika kami terlambat,” katanya yang pernah menyertai kerja-kerja membantu mangsa banjir besar di Dabong, Kuala Krai di Kelantan pada 2014.

Sementara itu, kini Azura dan Mohd Amli kembali ke Taman Sri Muda untuk meneruskan misi kemasyarakatan itu selepas berehat sehari, semalam.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Aktor Taiwan beri RM302,000 kepada pembantu rumah

Ibu saksi anak dirogol bekas suami di depan mata


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *