PRN Sarawak: Parti bakal memerintah Sarawak akan ditentukan dalam 48 jam lagi

EMPAT puluh lapan jam sahaja lagi untuk parti-parti bertanding pilihan raya negeri Sarawak ke-12 (PRN12) memecut meraih sokongan pengundi negeri itu.

Pencabar terkuat (ikut turutan) dari DAP, Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan PKR, masing-masing menampilkan 26, 70, 73 dan 28 terus menggasak hebat Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Setelah lenyapnya isu 1MDB, DAP seakan-akan ‘mati akal’ dalam kempen pilihan raya kali ini. Tindakan pantas Tan Sri Abang Johari Tun Openg membawa keluar segera 18 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) sebulan selepas gabungan itu tumbang 9 Mei 2018 untuk membentuk GPS suatu tindakan berbaloi. Sekurang-kurangnya tidak kaitkan Sarawak dengan kes menggamit laporan media dunia itu.

DAP kali ini tersepit. Ketandusan isu hinggakan wajah-wajah pemimpin politik dari Semenanjung pun mahu ‘dirembatnya’ letak di papan iklan kempen mereka. Dari presiden Pas sampailah ke Najib, Rosmah turut jadi ‘mangsa’. Dipasang di tepi-tepi jalan utama. Bila diarah turun, terus menyinga mengatakan ‘eh! itu fakta, pasal apa DAP tak boleh naikkan’.

Kelmarin, Pengerusi DAP negeri, Chong Chieng Jen bertekad pula mahu batalkan cadangan pembinaan projek Transit Aliran Autonomi (ART) sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang kali ini.

Tapi dibalas Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian:

“Chieng Jen tak tau kah trend pertumbuhan semasa trafik kawasan bandar raya Kuching menyaksikan pertumbuhan jumlah kenderaan dijangka menjangkau 41 peratus dari 317,400 pada 2015 kepada 449,200 pada 2030.”

Berbanding DAP yang memiliki kekuatan jentera dan masih banyak kerusi disandang, parti-parti saingan GPS yang lain kurang menyerlah. Kalau ada cabaran, hanyalah Baru Bian di Ba’Kelalan. Dia dilabel ‘katak besar’ oleh pengkritiknya kerana selalu lompat, dari PBDS ke SNAP, sebelum ke PKR. Ekoran Langkah Sheraton Februari 2020, kelihatannya Baru mahu ke Bersatu, tapi akhirnya pilih PSB.

Di Limbang Sabtu lalu, penduduk Kampung Melaban yang akan menyambut Krismas menerima hadiah berharga – menikmati bekalan elektrik setelah sekian lama bergantung alat jana kuasa.

Projek itu yang sudah lebih 80 peratus siap telah dibentangkan semula apabila ditangguhkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) 22 bulan.

GPS diketuai Abang Johari terus perderas keliling Sarawak dalam seminggu lebih ini. Antaranya melancarkan penarafan beberapa daerah kecil sebagai Daerah Penuh. Pantu dan Lingga yang terbaharu. Ia menjadikan penyampaian perkhidmatan kerajaan menjadi lebih responsif.

Semua urusan pentadbiran seperti pengurusan harta pusaka atau probet, pengurusan anak angkat, mahkamah bumiputera, pentadbiran hal ehwal ketua masyarakat dan ketua kaum serta urusan permohonan kebajikan akan diuruskan di Pejabat Daerah Pantu, tanpa perlu di Sri Aman lagi. – UTUSAN

PRN Sarawak: Parti bakal memerintah Sarawak akan ditentukan dalam 48 jam lagi


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bantuan Khas Sarawakku Sayang bantu rakyat terkesan COVID-19

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker