Kejayaan pindaan MA63 kesinambungan komitmen Najib, BN

SHAH ALAM – Kejayaan kerajaan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah hasil kesinambungan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) dipimpin bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin berkata, kelulusan pindaan dengan majoriti sokongan dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat itu juga pastinya memberi sinar baharu kepada rakyat Sabah dan Sarawak susulan kedudukan mereka semakin diiktiraf di dalam Persekutuan Malaysia.

Jelas beliau, dahulu BN semasa pentadbiran Najib sebagai Perdana Menteri sangat komited dalam merealisasikan tuntutan-tuntutan dikemukakan dalam MA63 selain berusaha mengiktiraf hak-hak rakyat Sabah dan Sarawak.



“Sebagai buktinya banyak usaha-usaha pembangunan telah kita lakukan untuk negeri Sabah pada waktu itu, seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, menaik taraf sekolah daif di bawah Kementerian Kerja Raya dan meluaskan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, kerajaan BN di bawah Najib juga berjaya mempertingkatkan kawalan keselamatan sempadan, program transformasi pembangunan luar bandar dan merapatkan jurang pembangunan melalui koridor pembangunan negeri Sabah selain melantik perwakilan Jawatankuasa Pemilih Khas bagi membincangkan MA63 daripada Sabah (Datuk Seri Anifah Aman) dan Sarawak (Datuk Seri Nancy Shukri),” katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

Justeru, melalui pencapaian pindaan Perlembagaan berkaitan MA63, peluang pekerjaan akan lebih bersifat inklusif kepada orang Sabah dan Sarawak, kata Rosnah.

Pada Selasa, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun mengumumkan keputusan sidang Parlimen meluluskan RUU pindaan Perlembagaan berkaitan MA63 selepas usul itu disokong 200 ahli Parlimen melalui proses undi belah bahagian.



Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika membentangkan pindaan RUU itu berkata, pindaan Perlembagaan tersebut bertujuan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Beliau berkata, apa yang dilaksanakan sekarang adalah untuk memasukkan perjanjian Malaysia itu ke dalam Perlembagaan.

Mengulas lanjut, Rosnah yang juga Penasihat Khas Menteri Kesihatan menegaskan implikasi positif pindaan Perlembagaan berkaitan MA63 akan memastikan proses Borneosasi dengan mengutamakan kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak dalam sosioekonomi negeri itu akan diperkukuhkan.

ROSNAH
ROSNAH

Ujarnya, proses Borneosasi akan memastikan usaha mengangkat anak-anak Sabah dan Sarawak memegang jawatan penting di jabatan-jabatan kedua-dua Kerajaan Negeri itu diperluaskan lagi.



“Contohnya di dalam sektor pendidikan negeri Sabah, jawatan-jawatan guru akan dipenuhi oleh anak-anak Sabah sendiri.

“Justeru, melalui pencapaian pindaan Perlembagaan berkaitan MA63, peluang pekerjaan akan lebih bersifat inklusif kepada orang Sabah dan Sarawak,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut berharap pindaan itu menjadi batu loncatan kepada kerajaan Pusat untuk mengiktiraf lebih banyak hak rakyat Sabah dan Sarawak.

“Saya juga berharap pindaan itu membolehkan kerajaan lebih komited melaksanakan lebih banyak pembangunan luar bandar dan infrastruktur awam, terutamanya dari aspek memperluaskan jaringan pengangkutan awam di kedua-dua negeri itu,” katanya.



Kejayaan pindaan MA63 kesinambungan komitmen Najib, BN


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Untung Berbilion Ringgit, Semua Bank Wajar Serap Caj MEPS RM1.00 – Pemuda UMNO



Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker