Jumlah Harimau Malaya kurang 200 ekor

Sebaran :

Jumlah Harimau Malaya kurang 200 ekor

Spesies Harimau Malaya atau harimau belang dijangka pupus dalam tempoh lima hingga 10 tahun jika tindakan drastik tidak diambil dengan segera mengatasi kepupusan haiwan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Harimau Malaya sememangnya diancam kepupusan kerana data menunjukkan populasinya berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

Beliau berkata, berdasarkan dapatan Survei Harimau Pertama yang dilaksanakan mulai 2016 hingga 2020, anggaran populasi Harimau Malaya terkini adalah kurang daripada 200 ekor.



“Justeru, Jemaah Menteri pada 16 Jun lalu bersetuju dengan sembilan tindakan strategik konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun bermula tahun 2021 hingga 2030 melalui tiga pendekatan,” katanya menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) pada sesi Waktu PertanyaanMenteri (MQT), di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Alias ingin mengetahui usaha yang dilakukan oleh Kementerian Tenaga dan Suber Asli bagi memastikan Harimau Malaya menjadi spesies ikonik negara tidak pupus.

Wan Junaidi menjawab soalan itu bagi mewakili Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Beliau menjelaskan antara usaha dilakukan kementerian mengatasi kepupusan harimau adalah mengukuhkan rondaan penguatkuasaan dan pengawalan serta pemeliharaan dan pemuliharaan habitat semula jadi Harimau Malaya.



Katanya, keduanya, kementerian meningkatkan tadbir urus baik dan keberkesanan dalam melaksanakan konservasi Harimau Malaya melalui penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (MyTTF), Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Jabatan PERHILITAN, Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai pusat kecemerlangan konservasi ex-situ Harimau Malaya.

“Langkah ketiga kementerian adalah memperkasakan inisiatif bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya melalui penyediaan instrumen kewangan inovatif dan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.

“Adalah diharapkan tindakan strategik ini dapat memberi keberhasilan yang signifikan dalam memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya,” katanya.

Menjawab soalan tambah Che Alias mengenai konflik antara manusia dan harimau serta tindakan yang boleh di ambil jika manusia bertemu dengan haiwan berkenaan, Wan Junaidi berkata, konflik ini berlaku kerana tindakan manusia yang menganggu habitat harimau.



Selain itu, katanya, kawasan rayau Harimau Malaya semakin mengecil selain kekurangan sumber makanan iaitu Rusa Sambar kerana turut diburu manusia.

“Sebenarnya jika kita boleh henti pembalakan pokok dan konservasi diperluaskan maka ini akan meluaskan lagi kawasan rayau hidupan liar termasuk Harimau Malaya maka ia boleh menghalang konflik antara manusia dan hidupan liar.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Hasan Baharom (PH-Tampin) mengenai usaha meningkatkan bilangan Harimau Malaya, katanya kementerian kini mewujudkan kerjasama dengan zoo dan pihak universiti bagi membiak haiwan itu.

“Kerjasama dengan pihak luar pula dilaksanakan bagi pembiakan (captive breeding) Harimau Malaya dan Rusa Sambar dalam kurungan untuk tujuan pelepasan ke habitat asal,” katanya. BH

Jumlah Harimau Malaya kurang 200 ekor


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Laungan PAS nak satukan ummah cuma halwa telinga

Lelaki mabuk bogelkan ibunya dan cuba merogolnya


Sebaran :

Leave a Reply