Siap siaga hadapi ‘bencana dalam bencana’ – Ismail

Siap siaga hadapi ‘bencana dalam bencana’ – Ismail

Setiap agensi perlu memberi tindak balas atau menjadi responder yang baik semasa menyelamat atau menguruskan pusat-pusat pemindahan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, ia berikutan situasi dan risiko ‘bencana dalam bencana’, termasuk cabaran yang dibawa penularan pandemik COVID-19 dan varian-variannya yang masih belum lagi terhapus sepenuhnya dari negara ini.

Untuk itu, katanya, ia akan memerlukan penyelarasan sumber dan kerjasama padu antara agensi-agensi kerajaan dalam menghadapi situasi ‘bencana dalam bencana’, terutama dengan ketibaan Monsun Timur Laut pada 3 November lalu.

“Menyedari situasi dan risiko ‘bencana dalam bencana’ ini, saya ingin menekankan pentingnya untuk setiap agensi menjadi responder yang baik semasa menyelamat atau menguruskan pusat-pusat pemindahan.

“Ia bagi mengurangkan risiko penularan COVID-19 semaksimum mungkin dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) atau garis panduan yang disediakan,” katanya ketika merasmikan Program #KeluargaMalaysiaSiagaBencana anjuran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, semua pihak digalakkan berganding bahu merealisasikan semua perancangan yang disusun bagi menghadapi apa jua bentuk dan intensiti bencana.

Terdahulu, Perdana Menteri menjelaskan, pengwujudan Daftar Risiko Bencana (NRR) memudahkan semua pihak merancang dan membuat keputusan secara bermaklumat, selaras dengan sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Berikutan itu, katanya, kajian NRR dilaksanakan untuk meningkatkan pemahaman terhadap risiko bencana yang sudah atau berpotensi berlaku.

Katanya lagi, bagi memantapkan usaha-usaha itu, beberapa inisiatif sudah dilaksanakan bersama rakan strategik seperti MERCY Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan komuniti Keluarga Malaysia.

Antara inisiatif berkenaan, kata Perdana Menteri, termasuk platform e-sumbangan yang menyelaras permintaan dan pembekalan barangan bantuan di antara penderma, iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat dan orang perseorangan dengan penerima, iaitu Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah.

“Selain itu adalah NRR yang mengandungi maklumat-maklumat bencana yang boleh diperluaskan seiring peredaran masa,” katanya.

Beliau berkata, turut dilaksanakan adalah ‘Community-Based Disaster Risk Management –Pandemic’ (CBDRM-P) yang membabitkan peranan komuniti dan pengurusan bencana serta Kajian Kapasiti Negeri dan Kerajaan Tempatan di Malaysia terhadap Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana (DRRM).

“Apa yang penting, perancangan dan pelaksanaannya memerlukan kerjasama semua pihak dalam memastikan kelangsungan kegiatan ekonomi dan sosial,” katanya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut menyampaikan hadiah kepada 29 pemenang Pertandingan Komuniti Zon Hijau COVID-19 yang dilancarkan pada April lalu bertujuan memperkasakan peranan komuniti melalui jalinan kerjasama di antara kerajaan, NGO dan masyarakat untuk mewujudkan lebih banyak kawasan bebas jangkitan wabak itu.

“Alhamdulillah, selepas enam bulan berusaha, hari ini kita akan menobatkan juara yang terdiri daripada komuniti-komuniti yang mempamerkan kesungguhan dalam memastikan masyarakat setempat peka terhadap pandemik COVID-19. Ia membabitkan 82 kampung tradisional, kampung Orang Asli dan kawasan luar bandar serta 18 bandar,” katanya. BH

Siap siaga hadapi ‘bencana dalam bencana’ – Ismail


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

PH sudah tersilap, jangan buat lagi dalam isu calon KM Melaka – Guan Eng

Nik Abduh, Khairuddin kalah kerana bukan team presiden?

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker