PRN Melaka: BN fokus kempen positif

SHAH ALAM – Jentera Barisan Nasional (BN) sudah digerakkan sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka termasuk mendapat bantuan daripada jentera negeri-negeri angkat.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, BN meneruskan kempen bersendirian dengan memfokuskan ‘kempen positif’ meskipun menyedari pertembungan dengan Perikatan Nasional (PN) tidak dapat dielakkan kerana Pas memilih untuk terus mempertahankan PN.

Menurutnya, dalam menghadapi kempen kali ini, BN akan menawarkan khidmat bakti dan berusaha meyakinkan rakyat Melaka akan keupayaan BN mentadbir urusan rakyat serta negeri.

 



infografik prn melaka

 

“Ia berasaskan rekod prestasi yang cemerlang selama lebih 60 tahun mengemudi negara dan negeri dengan stabil, aman serta makmur.

“Sebab itulah motto kami untuk PRN Melaka kali ini ialah ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ yang menjadi asas kepada kesejahteraan rakyat yang majmuk dan melihat perlunya kerajaan stabil selepas pilihan raya demi kepentingan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut mengenai persiapan jentera parti, Asyraf Wajdi berkata, jentera BN Melaka telah digerakkan sejak dua minggu lalu dengan dibantu jentera dari negeri-negeri angkat.



Beliau berkata, pendekatan jentera BN lebih kepada ‘sasaran mikro’ yang menyasarkan setiap individu pengundi yang telah dikenal pasti berasaskan senarai pemilih yang terbaharu.

“Selain itu, kita juga menggunakan media sosial yang akan menjadi wahana utama untuk mendekati setiap pengundi setelah mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Jika ada pun kelonggaran dari segi SOP yang bakal diumumkan kelak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), keutamaan kempen pastinya dalam ruang lingkup SOP yang ditetapkan.

“Ia demi memastikan keselamatan dan kesihatan semua pihak terpelihara dalam suasana pandemik yang belum berakhir sepenuhnya,” ujarnya.



BN membuat keputusan untuk bergerak secara solo dalam PRN Melaka pada 20 November ini dengan bertanding di kesemua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada jumlah itu, sebanyak 20 kerusi akan ditandingi UMNO, selain tujuh kerusi untuk MCA dan satu kerusi diwakili MIC dengan penampilan sebanyak 86 peratus muka baharu.

PRN Melaka: BN fokus kempen positif


Baca Artikel Menarik:



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rauf dan Mas Ermieyati bakal berentap di Dun Tanjung Bidara

 



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker