Tetapkan harga siling bagi penerbangan Malaysia Timur

Tetapkan harga siling bagi penerbangan Malaysia Timur

Seorang pakar pengangkutan menggesa kerajaan menetapkan harga siling bagi tiket penerbangan antara Semenanjung dan Malaysia Timur, selain membenarkan Sarawak menubuhkan syarikat penerbangan butik untuk mengurangkan tambang penerbangan.

Perunding pengangkutan, Rosli Azad Khan berkata, Indonesia melaksana dan menguruskan dasar itu selama bertahun-tahun untuk laluan domestiknya yang dipatuhi syarikat penerbangan.



“Malaysia patut mempunyai azam politik melaksanakan dasar harga siling ini. Lagipun, Malaysia Airlines milik kerajaan, melalui Khazanah Nasional Bhd. Jadi, ia sepatutnya mudah dilaksanakan.

“Selepas Malaysia Airlines beroperasi dengan harga siling bagi laluan ini, syarikat penerbangan lain perlu ikut. Ia harus dinyatakan dengan jelas dalam lesen perkhidmatan udara mereka, sama seperti tambang bas, yang kini dikawal,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, syarikat penerbangan perlu menganggap penerbangan di laluan domestik ini sebagai “perkhidmatan awam” dan mereka tidak patut dibenarkan mengaut keuntungan daripada penerbangan ini.

Mengulas rancangan Sarawak menubuhkan syarikat penerbangan butiknya, Rosli berkata, jika diluluskan, syarikat penerbangan itu pasti akan menawarkan tambang rendah pada permulaan untuk menarik pelanggan.



Tetapi katanya, ia tiada pilihan selain menawarkan kadar harga pasaran bagi tambang penerbangan dari semasa ke semasa, jika negeri itu mahu mendapatkan semula pelaburannya.

“Mensubsidi operasi syarikat penerbangan adalah mahal, seperti ditunjukkan pelbagai usaha kerajaan menyelamatkan Malaysia Airlines, yang masih merugikan selepas semua pengurangan destinasi dan perkhidmatan.

“Bagaimanapun, isu utama ketersambungan antara Semenanjung dan Malaysia Timur ialah semua penerbangan berpusat di Kuala Lumpur atau dari Kuala Lumpur, yang tidak cukup baik.

“Lebih banyak penerbangan terus perlu disediakan antara bandar dan bandar di rantau ini.”



Pada 2021, Premier Sarawak, Abang Johari Openg dilaporkan berkata, negeri itu bercadang menubuhkan syarikat penerbangan yang dikendalikan Hornbill Skyways, syarikat penerbangan domestik milik kerajaan negeri.

Katanya, syarikat penerbangan baharu dapat membantu menstabilkan tambang penerbangan, yang dianggap mahal.

Tiga hari lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bersetuju dengan rancangan Sarawak kerana syarikat penerbangan baharu itu dapat mengurangkan kos tambang penerbangan antara Semenanjung dan Malaysia Timur.

Bekas pegawai Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Agyl Wan Hassan menggesa Putrajaya dan Sarawak menubuhkan panel sendiri untuk mengkaji permintaan pasaran dan saingan untuk penerbangan ke Malaysia Timur.



Beliau berkata, syarikat penerbangan milik Sarawak itu boleh terbang di laluan yang kurang dilalui syarikat penerbangan sedia ada, membezakan diri melalui perkhidmatan mengikut kesesuaian dan laluan eksklusif.

Memetik isu ketersambungan Malaysia Timur, katanya, syarikat penerbangan dicadangkan itu perlu memfokuskan peningkatan kebolehcapaian ke lokasi luar bandar dan menyediakan penerbangan ke hab utama.

“Ini akan membantu merapatkan jurang sambungan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi serantau.”

Beliau berkata, kerajaan patut meneroka kemungkinan menetapkan siling harga bagi tambang penerbangan, tetapi perlu ada penilaian bagaimana ia akan menjejaskan saingan, kewangan syarikat penerbangan dan kecekapan pasaran secara keseluruhan.



“Mencapai keseimbangan antara kemampuan dan kemampanan penting untuk daya maju jangka panjang industri penerbangan Malaysia.”

Ditanya sama ada Putrajaya perlu membuka pasaran domestik kepada syarikat penerbangan antarabangsa, Wan Agyl berkata, ini boleh memberi kesan buruk kepada syarikat penerbangan domestik, menjejaskan kestabilan kewangan dan penguasaan pasaran mereka.

Katanya, penting untuk melindungi kepentingan syarikat penerbangan domestik dan mengekalkan kawalan ke atas pasaran penerbangan domestiknya. FMT

Tetapkan harga siling bagi penerbangan Malaysia Timur



Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kenapa Ogy tampar Tya Ariffin?

Ibu maafkan kau Sol, tapi….

Amelia sertai Miss Universe Malaysia

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker