Sumpah LAKNAT: Zahid sedia, Muhyiddin ada berani?

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesanggupannya untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin bahawa dia pernah meminta pertolongan berkaitan perbicaraan kesnya di mahkamah.

Zahid mempersoalkan dakwaan itu yang menurutnya hanya timbul menjelang musim pilihan raya, merujuk PRN Johor yang bakal diadakan bulan depan.

“Saya tidak pernah pergi berjumpa dengan Muhyiddin ketika beliau menjadi perdana menteri untuk meminta tolong dilepaskan dari tuduhan mahkamah.



“Apatah lagi dengan membawa timbunan fail seperti yang didakwa dan minta untuk dilepaskan.

“Bagi membuktikan kebenaran ini, saya sanggup dan bersedia untuk melakukan sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan jahat Muhyiddin ke atas saya,” katanya dalam hantaran Facebook dua hari lalu.

Zahid turut mencabar Muhyiddin untuk bersumpah laknat untuk mempertahankan dakwaan yang dibuatnya.

Dalam ceramah di Tangkak, Johor pada 17 Febuari lalu, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mendakwa Zahid melawatnya selepas dia dilantik sebagai perdana menteri dengan membawa ‘fail bertimbun’.



“Fail itu rupanya fail kes dia, kes mahkamah dia. Dia bawa pada saya dan kata Tan Sri ini fail saya. Saya tanya dia buat apa bawa dan dia kata Tan Sri tolonglah, saya tidak buat apa-apa (kesalahan),” kata Muhyiddin menceritakan tentang pertemuannya dengan Zahid.

Kata Muhyiddin lagi, dalam pertemuan itu dia berkata kepada Zahid bahawa jika ahli parlimen Bagan Datuk itu tidak bersalah, dia perlu melalui proses perbicaraan di mahkamah.

Dalam hantaran Facebooknya lagi, Zahid berkata kemungkinan ada lagi dakwaan seumpama itu dibangkitkan menjelang PRN Johor sebagai strategi menyerang Umno di peringkat nasional.

“Dalam cerita-cerita ini, prinsipnya mudah – kebenaran itu berpilih-pilih. Perkara yang dianggap jahat dan menyalahgunakan kuasa hanya akan menjadi salah dan jahat jika tidak menyebelahi pihak mereka.



“[…] Strategi mereka, jika tidak boleh menyerang calon-calon Umno di Johor, alihkan perhatian ke drama di peringkat nasional,” kata bekas timbalan perdana menteri itu lagi.

Untuk rekod, Ahmad Zahid diarahkan mahkamah untuk membela diri dalam 47 pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan dana berpuluh juta ringgit daripada Yayasan Akalbudi.

Ia melibatkan 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah, dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram ke atasnya.

Sumpah LAKNAT: Zahid sedia, Muhyiddin ada berani?




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Bukan isteri arwah yang kejar harta tetapi plaintif – Hakim



Kembali dalam politik, Ini jawapan Rafizi Ramli

Mengapa MUDA Sangat Mesra Dengan DAP



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker