Rumah Kampung di Bota berusia lebih 100 tahun dialih ke Alor Setar

Rumah Kampung di Bota berusia lebih 100 dialih ke Alor Setar

SUATU ketika dahulu, rumah tradisi Melayu berusia lebih 100 tahun ini berdiri megah di tebing Sungai Perak dan pernah menjadi menjadi lokasi persinggahan keluarga diraja Perak untuk berehat ketika mudik ke hulu.

Difahamkan rumah ini siap dibina pada 1910 dan dimiliki oleh seorang bangsawan. Dikhabarkan juga Almarhum Sultan Yusof dan Almarhum Sultan Idris pernah santap dan beradu di rumah ini suatu ketika dahulu.

Selepas lebih sedekad, rumah itu masih berdiri teguh di Kampung Tua Lambor Kanan Bota, Perak dengan menyimpan 1,001 macam memori indah buat pemilik dan penghuninya hidup dalam suasana desa nan permai.



Namun, rumah berkenaan kemudiannya dibeli oleh bekas Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Datuk Seri Ibrahim Abdul Rahman daripada pemilik asalnya.

Seiring perjalanannya waktu, demi mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak Ibrahim kemudiannya memindahkan rumah berkenaan dari tapak asalnya di Bota ke Jalan Dato Kumbar, Alor Setar, selepas beliau berpencen wajib pada Ogos 2019.

Tanpa mengusik atau mengubah kedudukan reka bentuknya, rumah kayu bercirikan Melayu tradisional itu didirikan semula dengan struktur kekal seperti asal. Kos bagi bina semula dan bahan tambahan melebihi RM200,000.

Rumah dikenali sebagai Astana Bidasari dibeli Ibrahin daripada pemilik asalnya seorang bangsawan. – Foto/Ihsan Ibrahim
Rumah dikenali sebagai Astana Bidasari dibeli Ibrahin daripada pemilik asalnya seorang bangsawan. – Foto/Ihsan Ibrahim
Rumah seluas 185.8 meter persegi itu dengan empat bilik termasuk satu dikhaskan untuk bilik pengantin, siap dipasang semula, pada 1 Februari 2020, kelihatan tersergam indah di lokasi baharu.



Kini, rumah berkenaan dikenali sebagai Astana Bidasari sejajar dengan hasrat Ibrahim mahu menjadikannya sebagai muzium supaya orang ramai dapat melihat keindahan dan keunikan rumah itu daripada dekat.

Ambil masa 3 bulan dipasang semula

Uniknya, rumah kutai atau kotai (lama) itu turut mengekalkan ukiran tradisional seperti elemen papan manis berjurai, kayu tunjuk langit, bendul dan bumbung lima.

Bercerita lanjut, bapa kepada empat anak ini, berkata proses ‘meleraikan’ rumah itu mengambil masa dua minggu sebelum dibawa ke Alor Setar dan mengambil masa tiga bulan untuk dipasang semula.



“Saya menanda setiap tiang kerana ia mempunyai pasak sendiri, bagi memastikan tiang-tiang ini akan dipasang semula ke tempat yang sama, begitu juga dengan papan dinding, cuma saya hanya menukar atap zink kepada atap genting bagi mengurangkan bahang kepanasan cahaya matahari.

“Lantai pada bahagian dapur reput sedikit, saya ganti yang baharu, saya juga buat bilik air di salah sebuah bilik, selain membina beranda di belakang rumah,” katanya.

Dibina di tepi sawah, didatangi burung hijrah

Keputusan Ibrahim menetap di kampung halaman isterinya di Alor Setar, Salehah Abdul Hak, 60, ternyata sangat berbaloi kerana keindahan dan keunikannya rumah didirikan bersebelahan kawasan sawah menghijau dan kini menjadi tumpuan ramai.

Menariknya kawasan itu sering didatangi beribu ekor burung hijrah menambah suasana damai dengan panorama mengagumkan.

Uniknya lagi, terdapat satu petak sawah terbiar dipenuhi air berhampiran rumah itu sehingga ia kelihatan seperti sebuah tasik.

Sawah berkenaan menjadi tumpuan beribu ekor burung hijrah yang singgah pada bulan tertentu untuk mencari makanan dan berehat sebelum meneruskan perjalanan ke tempat lain.

“Pelbagai spesies burung lain turut ada di sini seperti merbuk, terkukur dan lain-lain spesies. Pemandangan di sini menyejukkan mata dan sangat tenang sambil mendengar bunyi kicauan burung.

“Yang pastinya rumah ini akan terus kami duduki untuk memastikan warisan kita bukan setakat menjadi tontonan dan menjadi perhiasan semata-mata,” katanya.

Minat rumah tradisi Melayu

Ibrahim, 63, berkata beliau sangat meminati rumah tradisi Melayu kerana ia membuktikan orang Melayu sangat mahir dalam ilmu jurubina atau arkitek selain rajin dalam bertukang menggunakan alatan tradisional.

“Dahulu semasa saya kecil, ada kayu balak hanyut dari sungai di tepi rumah nenek, saya dan abang saya bawa kayu balak itu dan kami bertukang hanya menggunakan kapak dan gergaji biasa.

“Banyak memori saya dengan rumah tradisional kita kerana itu saya mahu beli rumah ini. Tambahan pula rumah ini sudah berusia lebih 100 tahun.

“Rumah ini pada asalnya mengadap ke Sungai Perak dan terbiar, ada bahagian rumah yang ditumbuhi pokok liar, saya terpaksa memujuk waris rumah ini untuk menjualnya kepada saya daripada terus dibiarkan usang.

“Akhirnya mereka bersetuju. Oleh kerana ia dibina menggunakan kayu cengal, lebih 90 peratus rumah ini masih lagi berada dalam keadaan baik dan hanya sedikit sahaja perlu ditukar kerana reput,” katanya yang kini sudah dua tahun tinggal di rumah itu.

Jadikan Pusat Kecemerlangan Busana Melayu

Beliau turut bercadang menjadikan rumah itu sebagai Pusat Kecemerlangan Busana Melayu supaya lebih ramai generasi akan datang mengenali pakaian tradisional yang semakin dilupakan.

“Saya mahu mengangkat martabat tradisi Melayu termasuk diadakan pertunjukan mengenai ikatan tengkolok, tanjak dan destar.

“Kita paparkan perhiasan busana Melayu, reka bentuk baju Melayu lelaki dan wanita zaman dahulu seperti baju layang, samping, songket kebaya serta banyak lagi.

Kita akan menunjukkan 37 cara memakai tanjak atau tengkolok yang ramai orang tidak tahu,” katanya.

Selepas dua tahun pembinaan Astana Bidasari atau bermaksud rumah klasik ini, menggunakan halaman rumah yang luas untuk penganjuran pelbagai acara termasuk majlis perkahwinan.

Laman Astana Bidasari dinamakan sebagai Laman Laksamana apabila mereka membina Dewan Laksamana dengan kadar sewaan yang berpatutan.

“Sebahagian ruang di rumah ini dijadikan tempat khas untuk tetamu yang datang, bahagian bawah rumah boleh disewa untuk majlis sambutan hari jadi dan sebagainya

“Untuk majlis perkahwinan atau majlis berendoi orang ramai boleh menyewa Dewan Laksamana yang boleh memuatkan jumlah minimum tetamu seramai 300 orang,” katanya.

Nostalgia zaman dahulu

Selain ia boleh menjana pendapatan menerusi penganjuran itu, Ibrahim berkata, ia dapat menarik minat golongan muda memperkasakan tradisi Melayu.

Di sini turut hiasan melengkapkan busana tradisional seperti dokoh dan cekak sanggul lintang untuk wanita manakala tanjak untuk lelaki.

“Saya tahu ramai peminat rumah tradisional Melayu di luar sana, ada yang membinanya untuk dijadikan muzium dan juga chalet atau inap desa.

“Bagi melengkapkan dan merasai kehidupan di desa, saya menyediakan pengunjung makan di dalam talam dan duduk bersila.

“Kami gunakan pinggan bunga kangkung dengan masakan tradisi Melayu, sekali gus mengingatkan nostalgia zaman berada di kampung halaman.

“Orang ramai boleh menempah terlebih dahulu sekiranya mahu menikmati hidangan makanan di sini, sambil itu mereka boleh memakai perhiasan yang saya sediakan dan mengambil gambar kenangan.

“Seperti mana orang Jepun bangga dengan pakaian tradisional mereka iaitu kimono, kita juga patut kekalkan nilai tradisional budaya dan warisan Melayu menerusi cara ini,” katanya.

Apa ditawarkan bukannya hanya memikirkan keuntungan semata-mata, tetapi mahu warisan Melayu tradisional terus kekal dan mekar sehingga generasi akan datang.

Rumah Kampung di Bota berusia lebih 100 dialih ke Alor Setar


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Janda bengang dengan jiran puaka (Video)

https://mykmu.net/2022/02/16/saman-ali-puteh-terhadap-balu-arwah-abam-keputusan-jumaat-ini/

Pemandu tayang gari disahkan anggota polis

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button
%d bloggers like this:

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker