Taraf wanita diangkat dalam Bajet 2022

Sebaran :

BAJET 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat dijangka berupaya memulihkan ekonomi negara.

Bernilai RM332.1 bilion, Bajet 2022 merupakan yang terbesar dalam sejarah dan tiga peratus lebih tinggi berbanding Bajet 2021 yang bernilai RM322.5 bilion.

Dengan membawa tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan, bantuan bajet kali ini lebih menumpukan pemulihan kehidupan rakyat setelah hampir dua tahun dihimpit pandemik Covid-19.

Antaranya Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) bermula Januari 2022 serta peruntukan RM25 juta kepada Yayasan Keluarga Malaysia untuk melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak yatim Covid-19.



Menariknya, selain fokus kepada fasa pemulihan rakyat dan negara dalam meneruskan kehidupan bersama-sama Covid-19, pembentangan bajet turut memperincikan beberapa inisiatif memperkasa golongan wanita.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan RM5 juta kepada Yayasan Kepimpinan Wanita bagi merancakkan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi antaranya latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan.

Serta beberapa lagi inisiatif lain yang memberi kelebihan kepada wanita, sudah pasti ia satu perkara yang baik namun adakah ia seperti mahu ‘membeli jiwa’ wanita?

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berpandangan, semua inisiatif tersebut adalah keperluan semasa pihak kerajaan bagi memastikan wujudnya timbang tara antara lelaki dan wanita.



“Ia juga mengetengahkan keupayaan wanita yang mempunyai daya saing tinggi serta hebat agar turut bersama-sama dengan kerajaan memacu ekonomi negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, inti pati dalam Bajet 2022 mengenai wanita menunjukkan kematangan kerajaan untuk mengimbangkan lagi jurang jantina terutama melibatkan lebih ramai lagi wanita sebagai pentadbir, pemimpin korporat dan pelbagai lagi.

“Tidak dinafikan kita mempunyai ramai wanita yang berkeupayaan, mempunyai nilai yang setanding dengan lelaki malah di sesetengah sektor mereka telah terbukti berjaya,” tegasnya sambil menyimpulkan bajet kali ini menunjukkan komitmen kerajaan kepada kebajikan rakyat, kesinambungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) demi memulihkan ekonomi, terutamanya ekonomi domestik.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban, Dr Nor Azira Ayob, inisiatif memperkasa wanita dalam Bajet 2022 menunjukkan golongan itu sebenarnya mampu untuk menerajui dan menjadi pemimpin.



“Peluang yang diberikan kepada golongan wanita adalah sangat baik kerana ia memberi impak besar kepada ekonomi keluarga, malah turut memberi kesan baik kepada perkembangan ekonomi negara.

“Selain itu, penglibatan wanita sebagai pengusaha dan usahawan juga dititikberatkan dalam bajet kali ini. Ini sangat bertepatan apabila kerajaan umumkan untuk memperkukuhkan latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan melalui yayasan kepimpinan wanita,” katanya.

Tambah Nor Azira lagi, kerajaan cuba memastikan tiada golongan yang terjejas atau tercicir dan tetap mendapat faedah daripada pembentangan Bajet 2022 seperti pelepasan cukai pendapatan, cukai individu dan syarikat.

“Untuk golongan bujang, mungkin tidak spesifik diberikan atau ditujukan, tetapi ada bantuan pendidikan, pengurangan bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tablet untuk pelajar IPT (B40), membuka peluang pekerjaan dan lain,” katanya.

Sementara itu, ada juga keluh kesah mengatakan bajet kali ini sekali lagi hanya memberi kelebihan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) namun tidak kepada golongan berpendapatan sederhana (M40).

Mengulas perkara itu, Mohd Faisol berkata, jika golongan B40 diabaikan atau disama ratakan dengan golongan lain, ini akan menyebabkan golongan itu akan jauh terkebelakang malah mungkin tidak mampu menghadapi cabaran-cabaran di musim pandemik

Taraf wanita diangkat dalam Bajet 2022


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Melaka: MKT Umno beri PM mandat berunding, elak parti dalam kerajaan bertembung


Sebaran :

Leave a Reply