PRN Melaka: MKT Umno beri PM mandat berunding, elak parti dalam kerajaan bertembung

PRN Melaka: MKT Umno beri PM mandat berunding, elak parti dalam kerajaan bertembung
FMT Reporters -October 30, 2021 8:20 PM
facebook sharing button twitter sharing buttonwhatsapp sharing buttonemail sharing button

Ismail Sabri Yaakob berkata, MKT Umno memberinya mandat untuk berunding dan berbincang dengan parti dalam kerajaan bagi mengelak pertembungan.
PETALING JAYA: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memberi mandat kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk berunding, termasuk berbincang dengan parti dalam kerajaan agar tidak berlaku pertembungan ketika pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Ismail yang juga Naib Presiden Umno, berkata partinya dan Barisan Nasional (BN) akan berusaha mengelak pertembungan tiga penjuru antara parti dalam kerajaan, termasuk dengan Bersatu, dalam PRN berkenaan, bulan depan.

Katanya, beliau sedang menjalankan rundingan dengan PAS dan Bersatu bagi memastikan pertembungan sesama sendiri pada pilihan raya dapat dielakkan, serta bagi menentukan bentuk kerjasama pada PRN Melaka, selaras mandat yang diberi MKT.

“Keputusan Umno adalah kita berhasrat mengelakkan pertembungan dengan mana-mana parti dalam kerajaan, terutama tiga parti di Semenanjung.

“MKT Umno memberi mandat kepada saya untuk berunding dan berbincang dengan parti dalam kerajaan bagi mengelak pertembungan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Ismail berkata demikian ketika ditanya mengenai bentuk kerjasama di antara Umno dan PAS dalam PRN Melaka, memandangkan PAS akan turut bekerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Pada 28 Oktober lalu, Mesyuarat Khas MKT Umno memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS pada PRN Melaka, selaras ketetapan Perhimpunan Agung Umno 2020, iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

Ismail Sabri menegaskan, hanya parti pembangkang yang akan meraih keuntungan sekiranya berlaku pertembungan antara tiga parti kerajaan itu dalam PRN Melaka.

“Kalau berlaku pertembungan tiga penjuru, pihak lain yang dapat keuntungan dan faedah. Mereka memang tengah tunggu untuk lihat parti kerajaan bertembung. Seperti kata orang dulu-dulu, ‘antan sama antan berlaga, beras tertumpah keluar’ dan ayam di tepi lesung yang kenyang. Ini kita kena elakkan, (sebab itu) kita sedang mengadakan rundingan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka pada 8 November ini, manakala tarikh mengundi pula pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada 4 Oktober lalu apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Idris Haron (Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas). FMT

PRN Melaka: MKT Umno beri PM mandat berunding, elak parti dalam kerajaan bertembung


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Mee rebus gerai Kak Dah RM2

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker