SOP ketat PRN sangat wajar

GESAAN Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein agar semua pihak, termasuk parti politik dari blok kerajaan, mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah satu ingatan yang sangat tepat.

Hishammuddin nyata tidak peduli dengan kemungkinan berhadapan dengan tindak balas negatif partinya yang awal-awal telah mengkritik keras keputusan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mengambil iktibar dari PRN Sabah September tahun lalu, Khairy Jamaluddin bertegas melarang sebarang sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.

Walaupun larangan ini mungkin berubah sebaik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertemu titik penyesuaian, namun tindakan pantas dan serta-merta kerajaan sangat bertepatan dengan usaha menjaga kemaslahatan yang lebih besar.

PRN Sabah setahun lalu telah menjadi percikan kemunculan gelombang baharu pandemik Covid-19 yang sehingga kini belum kembali kepada angka-angka rendah sebelumnya.

Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri Dr Adham Baba telah membawa cadangan kepada MKN agar semua mereka yang pulang dari Sabah dikenakan kuarantin 14 hari. Bagaimanapun cadangan ini ditolak dan kemudiannya hanya dilaksanakan sehari selepas tamat PRN.

Kegagalan MKN bertindak sewajarnya menyebabkan pandemik yang telah reda kembali aktif seperti gunung berapi yang memuntahkan laharnya. Rakyat mula menyalahkan ahli politik, ahli politik saling menuding jari. Akhirnya kerajaan juga menjadi sasaran kemarahan.

Sudah ramai ahli perniagaan gulung tikar, rakyat hilang pekerjaan dan sumber pendapatan makin berkurangan. Namun kita memperjudikan usaha pemulihan negara ini hanya kerana beberapa orang politik hilang jawatan Ketua Menteri dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.

Oleh kerana nasi telah menjadi bubur, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka telah dibubarkan, kerajaan tiada pilihan kecuali memenuhi tuntutan Undang-Undang Tubuh Negeri Melaka mengadakan PRN dalam tempoh 60 hari.

Hujah paling menarik bagi penentang keputusan kerajaan mengetatkan larangan himpunan politik ialah kita sudah mencapai kadar vaksinasi lengkap melebihi 90 peratus bagi penduduk dewasa.

Vaksinasi penuh bukan jaminan anda tidak mendapat Covid-19 atau tidak boleh menjadi penyebar virus ini. Vaksinasi hanya akan mengurangkan impak ke atas organ badan dan mengurangkan peluang penyebaran virus kepada orang lain.Namun faktor lebih kritikal ada kira-kira 30 peratus lagi penduduk negara ini, yang terdiri daripada anak-anak kita, belum divaksinasi. Mereka ini berisiko mendapat impak yang teruk jika dijangkiti virus ini.

Selama lebih setahun kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai sepatutnya telah sedar pergerakan manusia adalah punca virus ini merebak dengan cepat.

Sudah tentu ada yang bertanya apa beza kempen PRN dengan kebenaran merentas negeri, melancong dan berhimpun untuk kegiatan sosial?

Beza terbesar ialah, ketika semua aktiviti ini kita dinasihati mengurangkan kontak dan menjaga jarak fizikal, kempen pilihan raya sentiasa menarik kesesakan manusia dan menyebabkan pematuhan SOP sukar dipantau.

Kedua, kempen pilihan raya juga menyebabkan pergerakan dan pusingan kitaran kontak antara manusia berlaku dengan laju. Pasukan kempen akan berada di beberapa tempat dalam sehari dan beriltizam menemui seramai mungkin orang bagi menarik sokongan.

SPR dan kerajaan tidak sewajarnya berlembut dalam hal kempen bersemuka ini kerana menentukan siapa ketua menteri atau parti mana menjadi kerajaan ketika ini haruslah bukan keutamaan.

Keutamaan kita ialah memastikan proses pemulihan ekonomi negara tidak akan terencat dengan kerakusan ahli politik merebut kuasa.

Rakyat sudah penat!

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

SOP ketat PRN sangat wajar


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Melaka: MKT Umno beri PM mandat berunding, elak parti dalam kerajaan bertembung

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker