China uji peluru berpandu hipersonik dari angkasa lepas?

Kapal angkasa Long March didakwa digunakan untuk membawa peluru berpandu hipersonik China ke luar atmosfera bumi. – Foto AFP

PADA Sabtu lalu, akhbar Financial Times melaporkan bahawa China melakukan satu ujian peluru berpandu hipersonik dari angkasa lepas dekat dengan bumi pada Ogos lalu.

Ia juga melaporkan bahawa peluru berpandu tersebut mampu membawa peledak nuklear sekali gus mencetuskan tanggapan bahawa Beijing telah menang ke atas Amerika Syarikat (AS) dari segi perlumbaan senjata hipersonik.

Peluru berpandu itu dilaporkan dibawa ke angkasa lepas dengan menggunakan sebuah roket Long March milik China .

Ia kemudian mengelilingi bumi dengan kelajuan sehingga March 5 atau lima kali ganda dari kelajuan bunyi.



Peluru berpandu itu dilaporkan turun semula ke bumi tetapi tersasar dari sasarannya iaitu sejauh kira-kira 30 kilometer (km), mengikut sumber-sumber yang dipetik oleh akhbar berkenaan.

Dalam laporannya, akhbar Financial Times itu memetik lima sumber yang dikatakan rapat dengan perkembangan pelancaran peluru berpandu hipersonik tersebut dengan menyatakan ia terbang pada ketinggian yang rendah di orbit bumi.

Menurut pakar-pakar, kelajuan peluru berpandu hipersonik adalah lebih lima kali daripada kelajuan bunyi atau kira-kira 6,200 kilometer sejam (km/j) dan direka supaya ia dapat bergerak pada ketinggian yang rendah sebelum menuju ke sasarannya.

Berita yang disebarkan oleh akhbar Financial Times itu juga menjadi satu kejutan kerana ia memberikan petunjuk bahawa program peluru berpandu negara komunis tersebut adalah lebih maju ke hadapan daripada yang disangkakan oleh beberapa penganalisis senjata sebelum ini.



 

Tentera China mempunyai peluru berpandu balistik hipersonik DF-17 yang dipamerkan di Beijing pada tahun 2019. - Foto Xinhua
Tentera China mempunyai peluru berpandu balistik hipersonik DF-17 yang dipamerkan di Beijing pada tahun 2019. – Foto Xinhua

 

TAMPARAN KE ATAS WASHINGTON

Akhbar Global Times yang dianggap sebagai lidah rasmi kerajaan komunis pula menyiarkan artikel dengan memberikan ulasan bahawa ujian tersebut memberikan tamparan hebat ke atas mentaliti Washington yang sering menganggap kekuatannya mengatasi China.



Namun, kini timbul satu persoalan iaitu adakah berita yang disiarkan oleh akhbar Financial Times itu tepat? Persoalan itu timbul selepas China menafikan ia telah melancarkan satu ujian peluru berpandu hipersonik.

Beijing sebaliknya menjelaskan bahawa ia sebenarnya melakukan ujian sebuah kapal angkasa lepas.

Penjelasan itu diberikan oleh Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian pada Isnin lalu yang menyatakan bahawa laporan akhbar Financial Times itu tidak benar dan ia hanya melancarkan satu ujian teknologi yang mungkin akan mengurangkan kos pelancaran sebuah kapal angkasa lepas.

Lijian dilaporkan berkata, mengikut pemahamannya, ia hanyalah merupakan satu ujian rutin sebuah kapal angkasa lepas.



Menurutnya, ia juga bagi menguji teknologi kapal angkasa lepas bagi mencari kaedah dan cara yang murah untuk melancarkan sesebuah kapal angkasa lepas.

Adakah penafian China itu diterima oleh AS? Ruangan editorial lidah rasmi kerajaan komunis negara tersebut, Global Times menyatakan bahawa jika laporan akhbar Financial Times itu diterima, ia bermakna terdapat satu ‘anggota’ baharu dalam sistem pertahanan nuklear China.

Taiwan enggan tunduk kepada China



Global Times juga mengulas bahawa jika laporan akhbar berkenaan diterima, ia sekali gus memberi tamparan baharu terhadap mentaliti AS yang mengagungkan-agungkan kelebihan kekuatannya ke atas China.

Laporan itu juga disiarkan selepas Setiausaha Tentera Udara AS, Frank Kendall membuat ucap tama pada Persidangan Udara, Angkasa Lepas dan Siber di Maryland, AS pada September lalu bahawa China muncul sebagai pesaing setara dengan Amerika yang berpontensi boleh melancarkan satu serangan dari angkasa lepas.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas ucapan itu, Kendall mendakwa China membangunkan sistem senjata di angkasa lepas berdasarkan kepada Sistem Pecahan Pembedilan Orbit atau FOBS yang digunakan ketika era Kesatuan Soviet tetapi kini dibubarkan dan lebih dikenali sebagai Rusia.

Ketika era Perang Dingin, AS dan Kesatuan Soviet menimbang untuk menempatkan senjata nuklear di angkasa lepas.



Menurut Kendall, Kesatuan Soviet itu menggunakan konsep FBOS iaitu sistem yang menggabungkan peluru berpandu-peluru berpandu yang terbang rendah bersama peledak nuklear pada ketinggian paling rendah di orbit bumi.

Bagaimanapun, selepas berita Financial Times itu didedahkan, Duta Konvensyen Perlucutan Senjata AS, Robert Wood menyatakan bahawa negaranya bimbang dengan teknologi peluru berpandu hipersonik dan penggunaannya oleh tentera China dan Rusia.

Beliau dilaporkan berkata di Geneva, Swizerland pada Isnin lalu bahawa AS juga bimbang dengan pembangunan pantas China berhubung penggunaan nuklear untuk tujuan kekuatan strategik.

China juga menyatakan bahawa ia melakukan ujian kapal angkasa lepas pada Julai lalu.

Justeru, kenapakah berita tentang ujian peluru berpandu hipersonik China itu sengaja disebarkan? Itulah yang menjadi persoalan kerana ia berlaku di tengah-tengah kehangatan bahawa China akan menyerang Taiwan. – Agensi

China uji peluru berpandu hipersonik dari angkasa lepas?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Perangai ‘syaitan’ pihak berkuasa China didedahkan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker