DSP didakwa ugut nak bunuh wanita kini disiasat polis

Sebaran :

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan siasatan ke atas seorang pegawai kanan mereka yang didakwa membuat ancaman bunuh ke atas seorang wanita pada minggu lalu.

Menurut sumber, ancaman berkenanan didakwa dibuat pada 7 Okt lalu ketika kedua-dua individu terbabit bertelagah berhubung pinjaman bernilai RM100,000. Wang tersebut didakwa diperlukan seorang pegawai polis berpangkat timbalan superintendah (DSP) untuk “membeli” pangkat superintendan.

pegawai terbabit bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan. Dia dikatakan berkunjung ke sebuah kedai bak kut teh di Klang untuk bertemu wanita berkenaan bagi membincangkan kedudukan pinjaman tersebut.

Perbincangan itu bagaimanapun bertukar menjadi panas dan DSP berkenaan – yang ditemani seorang lelaki didakwa anggota kumpulan samseng – melakukan ugutan bunuh.

“Berdasarkan laporan yang dibuat wanita berusia 36 tahun itu, dia cuba mendapatkan semula wang yang dipinjamkan kepada pegawai polis tersebut.

“Dia mendakwa, semasa mahu meninggalkan restoran tersebut pegawai polis berkenaan mengancam untuk membunuh mangsa serta seluruh ahli keluarganya,” kata sumber tersebut.

Wanita berkenaan, kata sumber itu, mendakwa ditampar lelaki yang menemani pegawai polis berkenaan. Lelaki terbabit, katanya, didakwa turut membuat ugutan bunuh jika dia terus menuntut semula wang berkenaan.

Difahamkan wanita itu bekerja sebagai jurubahasa mahkamah dan pernah menjalin hubungan romantik dengan DSP berkenaan. Pegawai polis itu pula sudah berumah tangga.

 

Turut disiasat JIPS Bukit Aman

Sementara itu Ketua Polis Klang Utara ACP Vijaya Rao Samachulu ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan berkenaan insiden berkenaan.

“Kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan menyebabkan kecederaan, dan seksyen 506 iaitu kesalahan melakukan ugutan jenayah.

Katanya polis juga sudah mengambil keterangan daripada semua pihak yang terbabit. Namun Vijaya Rao menafikan rakan DSP yang dikaitkan dengan kejadian itu merupakan anggota kumpulan samseng.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Selangor CP Arjunaidi Mohamed berkata dua individu sudah ditahan bagi membantu siasatan ke atas laporan yang dibuat.

Namun Arjunaidi tidak menyatakan sama ada salah seorang individu berkenaan adalah DSP terbabit.

PDRM juga menggesa orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan salinan laporan polis berkaitan insiden tersebut kerana siasatan mengenainya sedang disiapkan.

“Polis Selangor memberi jaminan siasatan akan dilakukan secara telus dan menyeluruh.

“Polis jugta tidak akan berkompromi dengan sesiapa saja yang didapati melanggar undang-undang walaupun orang itu adalah anggota pasukan ini,” katanya.

Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi menjelaskan, siasatan juga sedang dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Perdana Menteri sebak sentuh isu kemiskinan


Sebaran :

Leave a Reply