Tiket penerbangan domestik ‘laku keras’

SHAH ALAM – Tiket penerbangan perjalanan domestik ‘laku keras’ selepas rentas negeri dibenarkan berkuat kuasa pada Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, sejak pengumuman kebenaran perjalanan merentas negeri, AirAsia mencatat lonjakan trafik yang tinggi di aplikasi Super AirAsia sebanyak 140 peratus.

“Antara destinasi yang mempunyai permintaan tertinggi adalah Kuala Lumpur, Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching, Kota Bharu dan Pulau Pinang,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, sebagai permulaan pembukaan perjalanan dalam negeri, AirAsia akan mengendalikan sebanyak 61 penerbangan harian ke 16 destinasi domestik.

“AirAsia Malaysia akan beroperasi dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang sebanyak 21 penerbangan, Johor Bahru (10 penerbangan), Kuala Terengganu (28 penerbangan) dan Kota Bharu (35 penerbangan) dalam seminggu.

“Lebih banyak laluan dan kekerapan akan ditambah apabila permintaan perjalanan meningkat seiring dengan pembukaan semula lebih banyak destinasi percutian dalam masa terdekat dan tertakluk kepada persetujuan daripada pihak berkuasa,” katanya.

Selain itu, salah satu faktor peningkatan penawaran dalam tiket penerbangan domestik adalah promosi AirAsia di mana pelanggan boleh menikmati tambang rendah dari hanya RM12 sehala.

“Para tetamu juga boleh menikmati penjimatan sehingga 60 peratus dengan pakej penerbangan dan hotel oleh SNAP, termasuk penerbangan dua hala dan penginapan 3 hari 2 malam di hotel.

“Bagi mereka yang memilih untuk membuat tempahan hotel secara berasingan, mereka boleh menikmati diskaun tambahan 10 peratus untuk semua hotel tempahan dari sekarang hingga 17 Oktober 2021 dan tempoh perjalanan dari 1 November 2021 hingga 30 April 2022,” katanya.

Walau bagaimanapun beliau berkata, AirAsia hanya akan menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya dalam penerbangan dan memastikan semua penerbangan dikendalikan oleh juruterbang, kru kabin, kakitangan operasi serta pengendali bagasi di terminal telah divaksin sepenuhnya.

 

Gambar dari kiri: Riad Asmat, Kapten Izham
Gambar dari kiri: Riad Asmat, Kapten Izham

 

PENINGKATAN POSITIF

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Berhad (MAB), Kapten Izham Ismail berkata, kelonggaran merentas negeri itu dapat memberi impak positif kepada perniagaan sektor penerbangan di samping meningkatkan sosio ekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Kita dapat melihat peningkatan positif dalam tempahan tiket penerbangan daripada pelanggan dan penawaran yang hebat untuk melancong bersama MAS.

“Kami juga amat gembira untuk berkongsi bahawa MAS merekodkan peningkatan sebanyak 500 peratus dalam tempahan tiket penerbangan domestik selepas pembukaan di Langkawi baru-baru ini.

“Pakej Malaysia Airlines Holidays (MHolidays) juga menunjukkan peningkatan trend dalam pakej percutian yang dijual 100 peratus melebihi target kami. MAS akan terus memberi komitmen yang tinggi sekaligus meningkatkan frekuensi penerbangan kami demi memenuhi permintaan yang kuat dari pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Malaysia Airlines (MAS) memaklumkan, syarikat penerbangan itu turut berdepan peningkatan tempahan tiket penerbangan selepas kebenaran merentas negeri diumumkan.

“Kami menjangkakan penempahan tiket penerbangan akan terus meningkat dalam beberapa minggu ini,” kata jurucakap MAS.

MAS menawarkan tiket perjalanan sehala serendah RM59 ‘all in’ untuk penerbangan ekonomi dan diskaun sehingga 50 peratus untuk pakej MHolidays sempena negara meraikan pengumuman kelonggaran merentas negeri.

“Tambang tiket penerbangan ke Sarawak dan Sabah pula bermula dari RM109 dan RM159. Tawaran ini sah untuk tempahan mulai 10 Oktober hingga 31 Oktober untuk perjalanan segera sehingga 21 April 2022,” katanya.

Tiket penerbangan domestik ‘laku keras’


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Shahril Hamdan sebagai Pengarah Ekonomi PMO bukti PM iktiraf orang muda

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker