Pendedahan Kertas Pandora perlu dibahas di Parlimen

KUALA LUMPUR: Parlimen wajar membenarkan pendedahan Kertas Pandora yang membongkar fail sulit kewangan individu tertentu termasuk orang kenamaan untuk dibahaskan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Transparency International Malaysia (TI-Malaysia), Dr. Muhammad Mohan berkata, menjadi tanggungjawab semua ahli Parlimen membahaskan isu tersebut dan menjelaskannya kepada orang awam.

Menurut beliau, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun wajar memberi kerjasama kepada mana-mana ahli politik yang mahu isu tersebut dibahaskan kerana melibatkan kepentingan awam.

“Individu-individu disebut nama tidak semestinya bersalah selagi tidak dibuktikan bersalah, tetapi sebagai wakil rakyat mereka ada tanggungjawab untuk memberi penjelasan kepada rakyat.

“Kerajaan juga kena mewujudkan undang-undang yang mewajibkan pengisytiharan harta untuk semua ahli politik dan undang-undang pemilik yang bermanfaat supaya ada ketelusan dalam syarikat-syarikat untuk mendedahkan syarikat milik siapa,” katanya ketika dihubungi semalam.

Senada, Pengarah Eksekutif badan penyelidik, Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, keengganan bertindak segera di Parlimen dibimbangi menimbulkan tanggapan negatif rakyat sekali gus mencemarkan imej negara di peringkat antarabangsa.

“Isu ini menjadi spekulasi meluas dan dimanipulasi pihak tertentu jika tidak dijelaskan,” kata beliau.
Sejak kelmarin, heboh me­ngenai laporan Kertas Pandora yang merupakan pendedahan fail kewangan sulit kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ).

Pendedahan itu melibatkan lebih 11.9 juta dokumen rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuh dan menguruskan syarikat Shell dan pemegang amanah di tempat perlindungan cukai di seluruh dunia.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, perbahasan di Parlimen adalah bagi menentukan jika benar terdapat perlanggaran undang-undang oleh pemegang amanah akibat memindahkan aset ke tempat perlindungan cukai di seluruh dunia.

Katanya, seseorang individu berjawatan menteri bertanggungjawab mengisytiharkan aset kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum atau selepas dilantik ke dalam kerajaan.

Sementara itu, Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara dan SPRM perlu membuka siasatan terhadap ahli politik sama ada semasa dan selepas berperanan dalam jawatan masing-masing merujuk kepada pelaporan di dalam Kertas Pandora.- UTUSAN

Pendedahan Kertas Pandora perlu dibahas di Parlimen


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Skandal Ahli Politik, Ahli pernigaan & Selebriti Dunia. Pendedahan terbesar ‘Pandora Papers’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker